Gambar Hiasan |
Bahasa
politik yang merujuk penggunaan dan pemilihan diksi dalam penulisan dan ucapan yang
bersifat “retorik” sejak kebelakangan
ini kelihatan semakin luas dengan pelbagai penggunaan kosa kata yang membawa
konotasi buruk sehingga melahirkan perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat.
Kekeliruan timbul sekiranya makna kosa kata politik itu disamakan dengan parti
politik yang membawa pelbagai ideologi yang berasaskan kepentingan kelompok dan
puak serta kumpulan masing-masing.
Seni
berbahasa
Seni berbahasa secara
mudahnya merupakan seni yang menggunakan bahasa dan disiplin ilmunya berkaitan
rapat dengan asas penggunaan bahasa yang berkesan dalam komunikasi, sama ada
secara lisan ataupun bertulis. Namun begitu, pada asalnya seni berbahasa
merujuk seni pengucapan yang berkesan, iaitu yang berkaitan dengan lisan.
Seni
berbahasa juga merujuk kebolehan seseorang individu itu menguasai kemahiran
berbahasanya dalam bentuk lisan atau penulisan. Malangnya, maksud yang difahami oleh kebanyakan orang jauh tersasar
daripada maksud yang sebenarnya apabila maksud seni dalam berbahasa yang
berkaitan secara langsung dengan politik itu telah disalahertikan sebagai
sesuatu yang menimbulkan asosiasi
kepada perbuatan yang tidak jujur, curang dan merosakkan bahasa.
Isu
1
Kebanyakan daripada kita
tidak suka apabila bahasa ditambah-tambah dengan istilah baru dan pelik didengar. Kadang-kadang mereka ini tidak
suka hanya kerana pencipta istilah baharu itu duduk dalam parti politik yang tidak
mereka gemari. Namun, inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita; bahasa adalah sesuatu yang sering
dipolitikkan.
Apabila Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Mohammad
Najib bin Tun Haji Abdul Razak memperkenalkan perkataan ‘glokal’ yang berasal daripada ‘global’
dan ‘lokal’, ramai orang marah dan
tidak berpuas hati kepada beliau. Sesetengah pihak beranggapan bahawa istilah ‘glokal’ semata-mata dicernakan untuk
mencapai kepentingan politik Najib. Demi politik, beliau telah merosakkan
bahasa. Situasi inilah apa yang rata-rata dirasai oleh pejuang bahasa.
Situasi ini berbeza pula dengan bekas
Sasterawan Negara, A. Samad Said. Tiada pejuang bahasa mempersoalkan apabila
Pak Samad membuat bidaah bahasa
dengan memperkenalkan istilah ‘catakserukin’
yang merupakan gabungan ‘cakap tak serupa
bikin’?. Istilah ini pertama kali diperkenalkan di dalam satu majlis
politik anjuran Pakatan Rakyat; maka jelas istilah ini bersifat politik. Ia
bukan lagi satu spekulasi. Lalu,
mengapa tiada seorang pejuang bahasa yang bising-bising? Kenapa Najib Razak tak
boleh, tapi Pak Samad boleh? Adakah kerana beliau merupakan Sasterawan Negara?
Jika ya, bukankah ini akan merencatkan perkembangan bahasa kerana kita
seolah-olah hanya membenarkan golongan elit
bahasa sahaja yang berhak untuk mencipta sebarang istilah baru?.
Isu
2
Sebelum ini, apabila
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan istilah ‘bajet’ dan bukannya ‘belanjawan’, pun ramai orang marah dan
menuduh beliau sebagai perosak bahasa. Mengapa kita perlu memimjam lagi istilah
daripada bahasa Inggeris? Bukankah kita sudah ada istilah yang jauh lebih ‘Melayu’ bunyinya di dalam kamus kita,
iaitu ‘belanjawan’, dan ‘peruntukan’.
Isu
3
Namun, belum pernah lagi
saya dengar cerita-cerita pejuang bahasa yang mempertikaikan mengapa para
penulis muda kita di luar negara telah bersetuju untuk sama berpayung di bawah
kumpulan yang dinamakan Grup Karyawan
Luar Negara. Kenapa grup?
Walaupun perkataan ini memang termaktub di dalam Kamus Dewan, namun bukankah
ada banyak lagi perkataan lain yang lebih 'Melayu'
bunyinya seperti kumpulan, gabungan,
pertubuhan, persatuan, atau sekurang-kurangnya kelab.
Jika anda pejuang bahasa yang adil lagi
saksama, maka anda akan menerima apa sahaja istilah baru yang masuk ke dalam
bahasa ibunda kita. Kalau ia tidak sesuai lagi janggal, maka bukan anda yang
menolaknya, tetapi pengguna bahasa itu sendiri yang akan mengenepikannya
sendiri secara beransur-ansur.
Contohnya ketika era lewat
90-an di waktu orang kita baru mahu kenal apa itu ‘internet’, kita telah menggunakan istilah 'hiperangkai' sebagai terjemahan kepada 'hyperlink'. Namun, oleh kerana istilah ini terlalu janggal di
telinga dan lidah, kita telah menolaknya secara perlahan-lahan. Kini, istilah 'pautan' telah memupuskan 'hiperangkai'.
Cuba bayangkan anda hidup di zaman ketika
istilah 'buku' (Eng: book) mula
dipopularkan. Anda bermati-matian menentang 'buku'
kerana 'kitab' sudah ada pun sedia
ada di dalam bahasa kita. Ditakdirkan Allah, usia anda panjang: Anda hidup
sehingga hari ini. Maka pasti anda akan malu apabila
kesudahannya, orang kita sudah selesa dan terbiasa menggunakan 'buku'. Bahkan, etimologi 'kitab' itu sendiri kini sudah berubah
apabila ia hanya merujuk kepada bahan bacaan yang lebih bersifat keagamaan
sahaja.
Bagaimana
pula dengan istilah ini?
i)
Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM ), bukannya ( PBSM ),
ii)
Pusat Dagangan Dunia ( PWTC ), bukannya ( PDD ),
iii)
Litar Antarabangsa Sepang ( SIC ), bukannya ( LAS )
iv)
Sistem Penerbangan Malaysia ( MAS ), bukannya ( SPM )
Kesemua istilah-istilah di
atas ada kalanya menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Apakah matlamat
mereka mewujudkan istilah-istilah tersebut? Adakah untuk kepentingan politik
atau keuntungan? Di manakah kedudukan dan peranan pejuang bahasa dalam
membincangkan isu ini?. Sama-samalah kita fikir dan renungkan.