Monday 28 May 2012

Daftar Istilah


1. Lingua Franca
Bahasa yang terdapat dalam kawasan pertembungan bahasa yang intensif yang digunakan oleh penutur-penutur bahasa daripada pelbagai komuniti bahasa sebagai bahasa perantara sepunya dalam berkomunikasi.

2. Bahasa Slanga
Satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baharu digubal dan sifatnya cepat berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh golongan remaja dan profesional. Dalam bahasa ini, kata-kata baru muncul dan kemudian hilang dengan cepat.

3. Bilingualisme
Seseorang mengetahui dan menguasai 2 bahasa dan mengamal dan menggunakan kedua-dua bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.

4. Bahasa Sindiran
Perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebutkan dengan tepat, hanya disigung dengan dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak suka hendak menyebutnya terang-terang.

5. Bahasa Mengejek
Bahasa yang mengatakan seseorang atau seseuatu kumpulan dengan perkataan yang tepat tetapi dengan gaya yang mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkan dia supaya Nampak bodohnya, atau sia-sianya atau ditertawakan orang.

6. Setia Bahasa
Dengan setia bahasa, timbullah rasa cinta yang bermakna bahawa kita mesti memelihara kedudukan bahasa berkenaan supaya tidak tersisih dari kehidupan masyrakatnya.
(Asmah Hj. Omar, 2002:64)
7. Cinta Bahasa
Sikap cinta bahasa memerlukan kita menjaga kedudukan bahasa itu sebagai lambang perpaduan kita dalam erti kata lain ‘kepunyaan kita bersama.’

8. Bangga bahasa
Sikap menggunakan bahasa menurut peraturan-peraturan yang sudah dipersetujui oleh masyarakat, atau dalam erti kata lain ‘menggunakan bahasa dengan baik.’

Friday 4 May 2012

Komentar Penulis

Penulis
Kesimpulannya, saya berjaya menyiapkan 40 situasi berkaitan dengan ilmu Sosiolinguistik yang dimuatkan di dalam blog saya, iaitu KOREK BAHASA. 7 minggu (mula minggu 3-10) saya mengambil masa untuk menyiapkan 40 situasi tersebut dan pelbagai situasi Sosiolinguitik yang saya telah jumpa dalam kehidupan saya di sekeliling seperti slanga, dialek, santun dan tidak santun bahasa, variasi bahasa, setia bahasa, bahasa kasar, bahasa halus, bahasa panggilan dan sebagainya. Kepelbagaian situasi ini telah membantu dan memberi faham kepada saya berkaitan dengan ilmu Sosiolinguistik yang sebenarnya. Bagi saya, pembelajaran secara teori seperti di dalam kelas dan kuliah kurang membantu dalam memahami sesuatu ilmu, tetapi apabila digabungkan teori dengan praktikal barulah saya dapat memahami dan    menguasai sesuatu ilmu tersebut.

    Ucapan terima kasih kepada pensyarah Sosiolinguistik, Puan Husna Faredza Binti Mohamed Redzwan yang menyediakan tugasan blog untuk menulis dan mengumpulkan situasi-situasi Sosiolinguitik yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia seharian. Bagi saya tugasan berbentuk blog ini bagus dan sesuai digunakan, kerana apa-apa yang kita tulis dapat dikongsi bersama-sama dengan orang lain di laman maya. Orang lain juga dapat memberi komen dan pandangan terhadap penulisan kita. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan Kursus Sosiolinguistik yang memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada saya dalam mencari dan menyiapkan 40 situasi ini selama 7 minggu - Mohd Kodri Bin Ab Malik


Thursday 3 May 2012

Pola penggunaan Kata Ganti Nama


Di antara Mentua dengan Menantu

Perhubungan mereka lebih formal dan menantu menunjukkan tanda hormat kepada mentuanya. Oleh hal yang demikian, menantu biasanya tidak akan menggantikan kata ganti pertama dirinya dengan namanya. Tetapi mentua mempunyai pilihan. Dia boleh menggunakan Bahasa Kasar (BK) bagi orang pertama dan kedua dan dia juga boleh menggantikan dengan bahasa panggilan (BP), sebagai tanda kemesraan, atau saling hormat-menghormati. Apabila mertua bergaduh atau tiadak puas hati dengan menantunya, dia boleh menukarkan pola penggunaan ini kepada BK. Tetapi hak yang sama tidak ada pada menantunya. Contoh :

Situasi (a)
Mentua : Man, mari makan dengan ayah.
Menantu : Baiklah ayah, nanti man tukar pakaian dahulu.
Situasi (b)
Mentua : Hafiz, aku tak suka akan perangai kau yang tidak bertanggungjawab ini.
Menantu : Ayah tak faham tujuan saya.




Wednesday 2 May 2012

Pola-pola penggunaan Kata Ganti


Dalam konteks kampung

Anggota-anggota sesebuah kampung biasanya memiliki perhubungan kekerabatan secara umum di antara satu sama lain, dan hal ini mempunyai manifestasi dalam bentuk-bentuk panggilan, misalnya Pak Mat, Pak Cu, Pak Man dan sebagainya. Tetapi di dalam sesebuah kampung itu terdapat juga orang-orang lain yang tidak tergolong dalam kaum kerabat, seperti orang-orang yang mendatang, guru-guru dan pegawai-pegawai yang dihantar bertugas dan orang-orang yang terasing dari status, sama ada bersifat tradisional, misalnya ketua kampung. Dalam perkara ini, terdapat dua faktor harus diberi pertimbangan, iaitu :

1. Umur atau status ialah dua faktor dalam penggunaan kata ganti, dan
2. Terdapat secara perbandingan, gejala jarak di antara penutur-penutur yang tidak menjadi anggota keluarga seseorang.
Oleh itu, bagi pola bahasa Kasar (BK) – bahasa Halus (BH) kata ganti orang pertama jarang diambil alih oleh bahasa panggilan (BP), tetapi kata ganti orang kedua digantikan dengan BP oleh pihak yang lebih ‘rendah’ kepada yang lebih tinggi.

i) BK  -  BH, digunakan oleh :
a) Orang tua dengan muda
b) Pihak yang lebih tinggi dengan yang lebih rendah.
Misalnya :

Situasi 1
Pak Cu : Mad, aku hendak ajak engkau ke rumahku
Mad : Mengapa Pak Cu hendak ajak saya ke rumah Pak Cu?

Situasi 2
Penghulu kepada :
Penutur yang tua : Pak Cu, tolong bawa barang ini ke rumah saya.
Penutur yang muda : Samad, bawa barang ini ker rumahku
Pak Cu dan Man : Baik  Tuk Penghulu, nanti saya bawakan.

Tuesday 1 May 2012

Pola penggunaan Kata Ganti Nama


Di antara Anggota- anggota keluarga

1. Ibu bapa dengan Anak-anak

Pola yang biasa terdapat dalam kalangan ibu bapa dan anaknya ialah bahasa tidak Hormat atau Bahasa Kasar (BK), bahasa Halus Bahasa Hormat (BH). Misalnya ibu bapa meggunakan BK orang pertama dan kedua dan menerima BH orang pertama dan membentuk panggilan bagi orang kedua. Misalnya :

Ibu : Aku pergi, tapi kau tak boleh pergi.
Anak : Kalau mak pergi, saya pun pergi  juga.
Ini merupakan pola umum apabila ibu bapa dan kaum keluarga yang lebih tua bercakap dengan anak-anak atau orang-orang yang lebih muda dalam sesebuah keluarga. Situasi ini menunjukkan taraf mereka yang bercakap lebih tinggi daripada pihak yang dilawan bercakap. Demikian juga wajib bagi orang-orang yang lebih muda menggunakan bentuk BH bagi kata ganti pertama apabila bercakap dengan orang-orang yang lebih tua dan menggunakan nama panggilan seperti mak, ayah, pak cik, kak long, bagi orang kedua apabila bercakap dengan mereka.

   Walau bagaimanapun, satu variasi kepada pola di atas, terdapat dalam bentuk kedua-dua pihak memberikan dan menerima Bahasa Panggilan atau bahasa hormat bagi kata ganti. Misalnya :

Ibu : Mak pergi, tapi Ali tak boleh pergi.
Anak : Kalau mak pergi, Ali pun pergi  juga.
Pola ini mempunyai keseringan yang agak tinggi juga, tetapi khusus dalam kalangan kaum keluarga yang agak rapat. Pola ini menunjukkan keeratan perhubungan dan kekurangan perasaan tegang dan jarang timbul dalam keluarga yang disiplinnya  kuat, terutama jika bapa itu berperangai agak pemarah atau pendiam.


Monday 30 April 2012

Perancangan Bahasa


Kebanyakan tugas pengembangan dan pembinaan bahasa Melayu (BM) ditanggung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), badan perancangan bahasa yang telah ditubuhkan pada tahun 1956. F.X. Karam (1974) menganggap DBP sebagai satu badan yang menjalankan atau mengawasi tiga aktiviti perancangan bahasa yang berkaitan, iaitu perancangan, pelaksanaan, dan penilaian. Pada peringkat pelaksanaan, kegiatan-kegiatannya ialah yang terlibat dengan bahasa itu sendiri, iaitu penentuan norma, kondifikasi norma melalui sistem tulisan, penyusunan tatabahasa dan kamus (teknikal dan bukan teknikal) dan penyebaran norma-norma ini kepada pengguna-pengguna. Satu tinjauan sepintas lalu akan kegiatan-kegiatan DBP dapat menggambarkan kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan.

Konsep perancangan bahasa
Menurut Haugan (1972:287), perancangan bahasa ialah aktiviti normatif sesebuah akademi atau jawatankuasa bahasa, semua bentuk aktiviti yang dikenal nama pemupukan bahasa (language cultivation) dan semua cadangan yang menuju kea rah reformasi bahasa atau penyeragaman.

    Menurut Rubin & Jernudd (1971), perancangan bahasa meliputi kegiatan-kegiatan yang membawa perubahan kepada bahasa yang ‘dirancangkan oleh badan-badan yang ditubuhkan khas untuk tujuan-tujuan ini atau yang diberikan mandat untuk menjalankan tugas-tugas ini.’(Ham. xvi). Badan-badan ini dinamakan badan perancangan bahasa.

Tujuan penubuhan DBP
Di Malaysia, badan yang penting dalam perancangan bahasa ialah DBP yang ditubuhkan sebagai satu jabatan dalam Kementerian Pendidikan pada tahun 1956. Di awal penubuhan DBP, badan ini bergelar Balai Pustaka, namun atas cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, namanya diubah kepada namanya sekarang DBP. Pada tahun 1959, melalui Akta Parlimen, DBP berubah menjadi sebuah perbadanan.

    Tujuan utama penubuhan DBP ialah untuk memupuk dan memperkaya BM melalui penyelidikan, penerbitan, dan penyebaran bahan-bahan dalam BM. Sejak lebih 30 tahun penubuhannya, banyak kemajuan telah dicapai. Antara aktiviti yang telah dilakukan DBP termasuklah :
  
1. Yang bersifat mempopularkan BM
Aktiviti-aktiviti ini dijalankan pada peringkat awal penubuhannya dan bertujuan untuk memperkenalkan kebolehan dan kemampuan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan.

2. Pemodenan bahasa
Dalam bidang ini termasuklah kegiatan penyelidikan dan penyediaan aspek-aspek bahasa yang bertujuan untuk melengkapkan BM sesuai dengan tugas-tugas baharunya. Aktiviti yang paling Berjaya pemodenan perbendaharaan kata, iaitu penciptaan istilah-istilah baru. Kegiatan-kegiatan lain ialah penyediaan kamus, buku-buku teks, dan bahan-bahan bacaan termasuklah penghasilan majalah-majalah dan risalah tentang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan.

3. Penyeragaman bahasa
DBP cemerlang menjayakan penyelesaian masalah ejaan, terutama tercpainya ejaan bersama Melayu-Indonesia pada tahun 1972. Aspek-aspek lain ialah penyeragaman tatabahasa dan sebutan.

4. Pemupukan kesusasteraan
DBP berfungsi sebagai sumber penghasilan dan penyebaran bahan-bahan kesuasasteraan.

5. Penerbitan
DBP mengadakan bahan bacaan, terutama buku-buku teks untuk institusi pengajian. DBP turut menerbitkan majalah yang bermutu dan mendapat sambutan.

Laporan Tahunan 1986 :

a) Pembinaan dan pengembangan bahasa
Ini dicapai melalui kegiatan dalam bidang-bidang seperti penyelidikan, peristilahan, perkamusan, dan pelaksanaan.

     Dalam bidang penyelidikan, aspek-aspek yang dikaji ialah korpus bahasa, kaji selidik pemasyarakatan bahasa, pembinaan pangkalan data bahasa kebangsaan dan penyusunan dan penulisan sejarah bahasa Melayu.

  Dalam bidang peristilahan, matlamat adalah untuk membina dan memperkaya peristilahan Melayu dan menyebarkan penggunaannya pada peringkat kebangsaan dan rantau Asean. Contoh MABBIM.

   Bahagian perkamusan menerbitkan pelbagai jenis kamus yang dapat mencerminkan kedudukan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Pada tahun 1986, DBP terlibat dalam usaha menerbitkan lima buah kamu, iaitu Kamus Inggeris-Melayu, Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Kamus Berilustrasi Bahasa Malaysia, Kamus Ilmu Sains Am, dan tambahan kepada Kamus Dewan.

   Unit pelaksanaan Bahasa Kebangsaan bertujuan meningkatkan taraf penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu di sector awam, sector pendidikan, media massa, dan masyarakat umum. Antara aktiviti yang dilakukan ialah ceramah, kursus, penyemakan, dan penyebaran maklumat.

b) Pembinaan dan pengembangan sastera
Pada tahun 1986, tiga projek baru dimulakan, iaitu Kumpulan Pantun Melayu, Malaysia Dalam Puisi, dan Panduan Teks Melayu Klasik. Terdapat juga Glosari Istilah Kesusasteraan, Wajah (Biografi Penulis) (edisi kedua), Kaji Selidik Pembaca Sastera, Konsep dan Pendekatan Sastera, penerbitan novel-novel Melayu sebelum Perang Dunia Ke-2, Sejarah Kesusasteraan Melayu II, dan Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik.

      DBP juga memperkenalkan Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Malaysia, Penulis Tamu DBP, Kelab Sastera, ceramah dan bengkel serta kegiatan bertaraf antarabangsa seperti Pengucapan Puisi Kuala Lumpur.

c) Penebitan buku dan majalah
Pada tahun 1986, 376 judul buku berjaya diterbitkan, iaitu 204 judul baru dan 172 judul yang dicetak semula. Pembahagian judul dibahagi kepada bidang bahasa 48 (27 buah), sastera 142 (75 buah), sains 74 (41 baru), kemanusiaan 67 (43 baru), agama/baru 29 (11 baru), dan seni dan budaya 16 (7 baru).

   Dalam penerbitan majalah dan jurnal, DBP meneruskan penerbitan lima buah majalah dan sebuah jurnal pada setiap bulan. Antara majalah yang diterbitkan DBP ialah Dewan Masyarakat 50,000, Dewan Sastera 4,000, Dewan Budaya 4,000, Dewan Siswa 13,000, Dewan Pelajar 36,000, dan jurnal Dewan Bahasa 3000.

  Bahagian penerbitan Am juga mengadakan program pembangunan penerbitan, antaranya Bantuan Dermacipta, Minggu Remaja, dan Minggu Kawanku Buku.

Nik Safiah Karim (1981). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Dewan
Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.




Friday 27 April 2012

Fungsi bahasa yang berbeza-beza


Berdasarkan situasi di bawah :

Situasi : Perbualan di antara seorang isteri dengan suaminya. Si isteri hendak mengalihkan sebuah meja besar dari suatu tempat ke tempat yang lain. Tetapi, dia bersendirian dan tidak mampu.Lantas dia meminta pertolongan daripada suaminya. Berdasarkan dialog di bawah :

Isteri : Abang, boleh abang tolong Ain?
Suami : Boleh, apa dia?
Isteri : Tolong angkat meja yang berat ini ke sana.
Suami : Baiklah, Nah! Hendak letak di mana?
Isteri : Di sini, di penjuru bilik ini. Elok-elok, perlahan-lahan, nanti rosak   pula.
Suami : Jangan khuatir. Abang orang kuat. Ada lagi apa-apa yang boleh abang angkat?
Isteri : Tak da. Terima kasih, abang.
Suami : Sama-sama.
    Apakah penggunaan bahasa dalam kejadian kecil di atas? Secara umum dapat dikatakan bahawa dengan penggunaan bahasa, si isteri Berjaya meminta pertolongan suaminya, iaitu untuk mengerjakan sesuatu. Tanpa menggunakan bahasa, perkara ini dapat juga dilaksanakan, iaitu dengan isteri menyampaikan buah fikiran yang sama dengan menggunakan bahasa isyarat, dengan gerak-geri tangan dan kakinya, dan melakonkan apa yang hendak dilakukan mereka berdua. Tetapi buah fikiran itu dengan senang dapat disampaikan melalui bahasa.

  Dengan mengucapkan dua tiga ayat, serta dengan gerak badan yang sesuai, maksud sesuatu dapat dijelaskan. Inilah satu fungsi utama bahasa kita, bahasa Melayu : Bahasa digunakan sebagai alat perhubungan, alat untuk menyatakan buah fikiran, dan dengan demikian alat untuk menjayakan aktiviti seharian.