Tuesday, 13 March 2012

Lokek : Kedekut atau Panas Baran


Gambar Hiasan
Situasi
Satu pagi di tempat letak kereta sebuah jabatan kerajaan di ibu negara…

Zam : Celaka betullah! Dilanggarnya side mirrow aku sampai terpelanting lepas tu bagi isyarat lucah pulak. Nak kejar jalan jem pulak, kalau dapat tadi mampus aku kerjakan!
Mad : Apa yang lokek sangat ni? Yang sudah tu sudahlah!
Zam : Siapa kata aku lokek? Hari-hari kau sapu rokok aku, itupun kau kata lokek lagi!
Mad : Lokek le tu,…pagi-pagi dan marah-marah. Aku tegur pun marah. Tak  baik tau marah-marah pagi-pagi buta ni,…rezeki lari! Apa hal sebenarnya ni? Cuba cerita pelan-pelan.
Zam : Tadi ni haa, tengah jem-jem ada seorang mat rempit ni cilok disapunya side mirror kiri Myvi aku.
Mad : Pecah ke?
Zam : Bukan lagi pecah! Tercabut, terpelanting atas jalan. Kena handle dia kut? Dahlah side mirror tu import punya, bukan yang asal. Mahal tau aku beli tu, mahal satu hal…nak dapat pun susah! Bukannya dia nak bayar, bila aku hon dia pandang dan tunjuk isyarat lucah lepas tu terus hilang celah-celah jem tu. Ini yang aku hangat ni! Kau pulak bagi tambah hangat aku ni tuduh aku lokek pulak! Dahlah rokok aku sapu, tak cakap terima kasih pun!
Mad : Ooo, tu ke sebabnya mu lokek sangat pagi ni!
Zam : Ni nak kena pelangkung le ni! Balik-balik kau tuduh aku lokek! Kena sedas kang baru tau! Orang tengah hangat, dia tuang minyak lagi.
Mad : Haa! Tu lokek le tu. Orang lokek ni kuat marah-marah tak tentu pasal! Faham tak?!
Zam : Aku ingat kau tuduh aku kedekut, setau aku lokek tu maknanya kedekut. Kalau aku kedekut, aku tak bagi kau supply rokok tiap-tiap hari.
Mad : Siapa kata mu kedekut? Tadi tu aku hairan kenapa mu garang sangat, orang garang macam tu orang tempat aku kata lokek. Kalau kedekut tu orang tempat aku panggil kupik hangik!
Zam : Kupik Hangik? Kau jaga sikit mulut tu, jangan nak mencarut nanti dengar dek orang, boleh dituduh gangguan seksual!
Mad : Gangguan seksual apanya?!

Analisis
Dalam dialog di atas merupakan salah satu salah faham terhadap maksud perkataan ‘lokek’ terhadap pandangan sesebuah komuniti. Dalam dialog tersebut, kedua-dua penutur menggunakan perkataan lokek yang mempunyai makna yang berbeza. Perbezaan maksud lokek ini telah menyebabkan pergaduhan telah berlaku antara mereka. Penggunaan dan maksud perkataan lokek adalah berbeza mengikut negeri-negeri di Malaysia. Misalnya, di negeri Kedah, lokek bermaksud kedekut atau tangkai jering, manakala di kampung saya, iaitu di kampung Kuak Hulu, Perak, lokek membawa maksud orang yang garang dan selalu naik angin. Contoh ayat :

i) Osman seorang lelaki yang lokek.
ii) Osman seorang lelaki yang lokek.

    Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan lokek membawa maksud yang berbeza. Dalam ayat (i), lokek membawa maksud kedekut. Osman seorang lelaki yang kedekut atau tangkai jering, manakala dalam ayat (ii) lokek membawa maksud orang yang garang dan selalu naik angin. Osman seorang lelaki yang sangat garang dan selalu naik angin. Namun, jika saya bertembung dengan penutur atau orang luar dari tempat saya, akan wujud ketidakfahaman dan pergaduhan berkaitan dengan perkataan lokek ini. Contohnya, jika saya, orang Perak bertutur dengan orang Kedah akan terjadi seperti dalam dialog di atas. Masing-masing mempunyai pegangan berbeza tentang makna perkataan lokek dalam komuniti kami. Jika situasi ini berlaku akan wujud satu lagi bahasa, iaitu bahasa itik dan ayam antara kami.

Orang Kedah :
Zam : Siapa kata aku lokek? Hari-hari kau sapu rokok aku, itupun kau kata lokek lagi!
Orang Kelantan :
Mad : Siapa kata mu kedekut? Tadi tu aku hairan kenapa mu garang sangat, orang garang macam tu orang tempat aku kata lokek.

Kesimpulan
Terdapat beberapan perkataan dalam bahasa Melayu terutama dalam dialek-dialek mempunyai makna yang berbeza bagi setiap negeri. Contoh perkataan yang paling ketara ialah perkataan lokek yang berbeza makna bagi setiap penutur dialek dalam sesebuah negeri. Apabila kedua-dua penutur yang berbeza dialek berhubung atau bercakap, mungkin wujud ketidakfahaman dan pergaduhan berkaitan dengan fungsi lokek. Masing-masing hendak mempertahankan fungsi perkataan tersebut dalam dialek masing-masing. Hal ini demikian kerana, perkataan lokek serta maksudnya telah disepakati (kovensional) oleh penuturnya dalam sesebuah komuniti dan pergaduhan akan wujud apabila terdapat penutur luar dialek mereka memberi makna baru dan berbeza dengan konvesi mereka terhadap perkataan lokek tersebut. Oleh itu, untuk mengelakkan wujudnya ketidakfahaman dan pergaduhan kita perlu belajar dan mengkaji juga beberapa perkataan dalam dialek penutur negeri lain jika terdapat persamaan perkataan agar kita dapat mengetahuinya apabila kita bertutur dengan mereka.

Glossari
Lokek
i - kedekut, bakhil, kikir
ii - (dialek Kelantan,Perak) lekas marah, garang, panas baran
Kupik hangik - (dialek Kelantan) terlalu kedekut

Monday, 12 March 2012

Percampuran Kod dalam Lirik lagu


“Atok oh atok, Tabiat Tak Pa”
Semasa sesi pengajian mikro minggu lepas, ada rakan saya telah menayangkan video berkaitan dengan pencemaran alam sekitar. Video yang ditayangkan oleh rakan saya berupa nyanyian oleh beberapa pelakon terkenal di Malaysia. Tajuk lagu tersebut ialah Atok oh atok (Tabiat tak pa). Dalam lirik lagu tersebut, saya telah mendapati beberapa kesalahan ayat telah berlaku dalam baris-baris lagu  yang menyalahi rumus tatabahasa Melayu. Terdapat beberapa baris lirik sahaja yang menggunakan rumus tatabahasa dengan betul. Jadi, saya telah menulis beberapa kesalahan tatabahasa yang terdapat di dalam lagu tersebut. Antara kesalahan yang saya kesan adalah seperti di bawah :
…..
Itu toksik…ikan mana boleh nyawa…?Orang pun boleh mati tau…!
Aiyo…semua kasi buang, plastic buang! Botol buang! Tin buang! Aiyo yo..
Macam mana aku tak kotor, depa buang sampah! Depa kata… ‘Tak Pa’
Yala…sudah la..cincai-cincailah..!Aiya…nanti arr..ada orang mali angkat itu sampah..lah
Jangan dok gabra, sat lagi depa mai kutip la…’Tak Pa’!!
Banyak sangat Carbon Dioxide…Sulphur Dioxide..Nitrus Oxide..
….
  (Atok oh atok,Tabiat Tak Pa)

    Dalam lirik lagu yang saya nyatakan di atas, terdapat pelbagai percampuran kod telah berlaku sehingga menjadikan lirik tersebut cacar merba. Di situ kita dapat lihat, bahasa Melayu sudah kehilangan nilai dan mutunya akibat daripada percampuran kod tersebut. Antara percampuran kod yang terdapat dalam lirik lagu di atas ialah percampuran dialek, bahasa Tamil, bahasa Cina, dan bahasa Inggeris. Jadi, laras bahasa yang digunakan di dalam lirik lagu di atas adalah bahasa rendah dan ia hanya layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas dan sebagainya.

Analisis
Itu toksik…ikan mana boleh nyawa…?Orang pun boleh mati tau…!
Ayat yang betul ialah itu toksik, ikan mana boleh nyawa? Orang pun boleh mati tahu. Perkataan ‘tau’ merujuk kepada dialek Kedah yang merujuk kepada tahu dalam bahasa Melayu Standard.

Aiyo…semua kasi buang, plastik buang! Botol buang! Tin buang! Aiyo yo..

Ayat yang betul ialah Semua kasi buang, plastic buang! Botol! Tin kosong!. Perkataan aiyo dan aiyo yo merupakan perkataan di dalam bahasa Tamil merujuk kepada sesuatu yang menimpa mereka dan perkataan itu akan diucapkan oleh mereka.

Macam mana aku tak kotor, depa buang sampah! Depa kata… ‘Tak Pa’

Ayat yang betul ialah Macam mana aku tidak kotor, mereka buang sampah! Mereka kata…tidak apa. Perkataan tak merujuk kepada sinkorf, iaitu penggguran beberapa perkataan sama ada di awal atau di akhir perkataan. Tak sepatutnya ditulis tidak dalam dalam bahasa Melayu Standard. Perkataan depa pula merujuk kepada dialek, iaitu dialek Kedah yang merujuk kepada Kata Nama Diri Ketiga, mereka dalam bahasa Melayu Standard.

Yala…sudah la..cincai-cincailah..!Aiya…nanti arr..ada orang mali angkat itu sampah..lah

Ayat yang betul ialah sudah..cincai-cincai…! Nanti ada orang mari angkat sampah itu. Dalam baris lirik di atas terdapat perkataan dalam bahasa Cina diselitkan, iaitu perkataan aiya, mali, dan lah. Mali dalam bahasa Cina merujuk kepada perkataan mari dalam bahasa Melayu Standard.

Jangan dok gabra, sat lagi depa mai kutip la…’Tak Pa’!!

Ayat yang betul ialah jangan bimbang, nanti mereka datang kutip…tidak apa!!. Dalam lirik lagu di atas terdapat penggunaan dialek Utara, iaitu dialek Pulau Pinang, seperti dok gabra, sat, depa dan tak pa. Gabra bermaksud bimbangsat bermaksud sekejap depa bermaksud mereka dan tak pa bermaksud tidak mengapa dalam bahasa Melayu Standard.

Banyak sangat Carbon Dioxide…Sulphur Dioxide..Nitrus Oxide..

Ayat yang betul ialah banyak sangat Karbon Dioksida.. Sulfur Dioksida.. Nitrus OksidaCarbon Dioxide, Sulphur Dioxide, Nitrus Oxide merupakan ejaan di dalam bahasa Inggeris. Jika ingin menulis di dalam bahasa Melayu ia perlu ditulis seperti berikut Karbon Dioksida, Sulfur Dioksida dan Nitrus Oksida.

Lirik lagu yang telah dibaiki
…..
Itu toksik…ikan mana boleh nyawa…?Orang pun boleh mati tahu…!
semua kasi buang, plastik buang! Botol buang! Tin buang!
Macam mana aku tidak kotor, mereka buang sampah! mereka kata… ‘Tidak apa’
sudah ..cincai-cincai..! nanti ada orang mari angkat sampah itu,
Jangan bimbang nanti mereka mari kutip…’Tidak apa’!!
Banyak sangat Karbon Dioksida…Sulfur Dioksida..Nitrus Oksida..
….(Atok oh atok,Tabiat Tak Pa)

Kesimpulan
Selepas ini, para pencipta lagu di Malaysia supaya lebih berhati-hati di dalam mencipta lagu supaya pencemaran bahasa tidak berlaku. Perkara ini akan menyebabkan bahasa Melayu akan tercemar sebagai bahasa rasmi di negara ini. Seperti kata pepatah ‘yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.

Friday, 9 March 2012

Bahasa Rendah (Pasar)


Pada masa kini, ada kecenderungan pengacara televisyen dan radio menggunakan bahasa pasar, iaitu bahasa campuran. Terdapat beberapa ciri-ciri untuk kita mengenali bahasa pasar ini :
1. Ayatnya mungkin terdiri daripada bahasa lain daripada bahasa Melayu
2. Struktur ayat tidak lengkap
3. Imbuhan tidak digunakan, tidak mematuhi rumus tatabahasa
4. Ganti nama dipinjam daripada bahasa Inggeris
5. Kata-kata tidak signifikan (seperti istilah) pun dipinjam, proses pemimjaman tidak menentu
6. Kosa kata terdiri daripada kata-kata rendah bercampur
7. Digunakan dalam konteks rendah, interaksi sosial yang rendah.

   Kebanyakan, bahasa ini (pasar) berupa bahasa slanga yang sering dituturkan oleh remaja. Meskipun, bahasa ini ternyata dapat menyampaikan maklumat, tetapi bahasa ini bukanlah bahasa budaya tinggi. Bahasa pasar ini tidak rapi, bercampur-aduk, banyak menggunakan bahasa slanga. Ini adalah bahasa rendah yang hanya mampu mengungkapkan budaya rendah. Bahasa ini juga tidak layak menjadi bahasa yang digunakan untuk saluran rasmi pemerintah seperti radio dan televisyen.

Gambar Hiasan
Situasi

Dialog 1
Pengacara sebuah rancangan kelab remaja di televisyen mengeluarkan ungkapan seperti berikut :
Pengacara : Masa cuti lalu I…beserta kru televisyen…we all buat syuting di…harap you all akan menonton apa yang we all sediakan untuk you all…

Dialog 2
Seorang artis wanita mengiklankan segmen muziknya untuk penonton. Bahasa artis tersebut adalah seperti berikut:
 Artis: I sudah rakamkan empat buah album untuk you all. You all mesti dengar lagu-lagu I. I akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk you ... Penerbit I dan member kru telivisyen ... they all telah menyediakan rancangan spesyel untuk you all. We all telah bekerja keras untuk you all.

Dialog 3
Pengguna bahasa pasar mudah menyamatarafkan semua orang dengan tarafnya sendiri (Kampung Baru, Ogos 1997)
Pelayan: You nak makan apa? You seleklah makan dari meja tu, you ambiklah apa you nak. Kemudian you bawak kat I, I kira bagi kat you.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: You tak suka tak pa ...we all tak pernah dengar orang komplen pun ....

Analisis
Bahasa pasas ialah bahasa  ialah  bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu, tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dan sebagainya.
   Bahasa pasar ialah bahasa orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapu dan bahasa rasmi. Ini adalah bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas dan sebagainya. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar ialah :

1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam suasana rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.
2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.
3. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.
4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.
5. Tidak menggunakan neka bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.
6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.
  Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah, dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I.
   Apabila kita mahu menggunakan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjaman. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.

Dialog yang sudah dibaiki (bahasa yang berbudi bahasa)

Dialog 1
Pengacara kelab remaja.
Pengacara: Masa cuti lalu saya berserta kru televisyen. Kami membuat penggambaran di (...) Saya harapkan saudara semua akan menonton apa yang kami sediakan untuk saudara semua.

Dialog 2
Artis: Saya sudah rakamkan empat buah album untuk saudara semua. Saudara semua mesti mendengar lagu-lagu saya. Saya akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk saudara semua. Penerbit saya dan ahli kru telivisyen kami, semuanya telah menyediakan rancangan spesel untuk yaudara semua. Kami telah bekerja keras untuk saudara semua.

Dialog 3
Pelayan: Tuan-tuan dan Puan-puan hendak makan apa? Tuan-tuan dan puan-puan bolehlah memilih makanan dari atas meja itu. Tuan-tuan dan Puan-puan bolehlah mengambil apa makanan yang dikehendaki. Kemudian, bawalah kepada saya, saya kira untuk Tuan-tuan dan Puan-puau.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat.
Pelayan: Sekiranya Tuan tidak suka tidak mengapa. Kami tidak pernah orang bersungut mengenai hal ini.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, bahasa kacukan bukanlah bahasa budaya tinggi. Penuturnya dengan sendirinya menurunkan tarafnya kepada taraf orang tidak terpelajar, tidak berbudaya tinggi, main-main, tidak serius, tidak menghormati majlis dan pendengarnya. Penutur bahasa kacukan menurunkan karisma penuturnya.

Rujukan 



Thursday, 8 March 2012

Dilema bahasa Melayu

Saya telah membaca satu artikel yang begitu menarik di dalam sebuah majalah yang bertajuk MINDA terbitan Karangkraf Publication Sdn. Bhd keluaran Oktober 2004. Artikel tersebut membincangkan dan menghuraikan tentang “Tentang bahasa Melayu, Terpinggir di bumi sendiri”. Artikel tersebut turut menyentuh penggunaan bahasa Inggeris di IPTA, peranan bahasa Melayu dahulu kala dan kini, dan perbandingan bahasa Melayu dengan bahasa Jepun dan Perancis.

Tindakan Universiti Putra Malaysia (UPM)
Rancangan pihak UPM untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk semua kursus, kecuali Kesusasteraan Melayu, Tamadun Islam, dan Pendidikan Sivik, amat tidak dipersetujui banyak pihak. Bagi aktivis dan pejuang bahasa, perkembangan ini dilihat sebagai penzahiran kepada rasa kurang yakin universiti kepada bahasa Melayu untuk menjadi wahana perkembangan ilmu di negara ini.

Penggunaan bahasa Inggeris di IPTA
Kenyataan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk A. Aziz Deraman mendedahkan bahawa lebih 10 buah IPTA masih menggunakan bahasa Inggeris termasuk ke peringkat ekstrem, iaitu mengajar Kesusasteraan Melayu. Semua ini seolah-olah menunjukkan nasib bahasa Melayu terus dipinggirkan di bumi sendiri.

Penggunaa bahasa Inggeris di IPTS
Kini, terdapat lebih 600 buah IPTS yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal ini merupakan suatu fenomena laksana ‘api dalam sekam’ dan akan terus mencacatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kemajuan negara.

Kenapa perlu bahasa Inggeris?
Banyak pihak memberikan justifikasi bagi penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar adalah disebabkan bahasa tersebut kini menjadi bahasa antarabangsa. Tambahan pula, di zaman Sains dan Teknologi (ICT), keperluan untuk menguasainya menjadi lebih mendesak. Keadaan ini mewujudkan dua pilihan, sama ada kita wajar mengorbankan bahasa Melayu atau kita perlu mengubah keadaan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah?.

Gambar Hiasan
Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu
Bekas Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Hassan Ahmad yang merakamkan budaya berbahasa rakyat Jepun dan Perancis di dalam bukunya, Imbasan.
    Menurut beliau, tabiat rakyat Jepun begitu ketara jika dibandingkan dengan masyarakat tempatan. Sebagai contoh, walaupun rakyat Jepun mampu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam perbualan sesama sendiri, mereka tetap memilih untuk bertutur dalam bahasa ibunda sendiri, tidak dalam bahasa Inggeris atau bahasa ‘rojak’ Jepun-Inggeris. Bagi rakyat Jepun perbuatan berbual-bual dalam bahasa Inggeris di antara dua orang rakyat Jepun adalah suatu perlanggaran kepada adat budaya masyarakat Jepun sendiri. Pengajaran di sini ialah masyarakat Jepun mempunyai kesedaran bahawa seseorang yang mampu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih sekalipun tidak semestinya membuktikan bahawa mereka lebih baik, maju atau bertamadun daripada orang yang memilih untuk bertutur dalam bahasa ibunda sendiri.

Gambar Hiasan
Budaya rakyat Perancis
Umum mengetahui betapa rakyat Perancis merupakan rakyat yang begitu setia mendukung bahasa mereka, malah ada yang tidak berkompromi langsung dalam soal bahasa. Sebagai contoh, dalam siaran televisyen mereka, seandainya ada liputan berkaitan ucapan pemimpin luar, pihak penyiar akan mematikan suaranya dan akan menyiarkan ucapan yang telah dialih suarakan. Begitu juga dengan filem-filem dari Hollywood.
  Selain itu, terdapat juga undang-undang yang melarang penggunaan bahasa Inggeris dalam sebarang bentuk iklan, papan tanda, papan kenyataan, dan sebagainya. Malah, dalam insiden terbaru, beliau menyebut bahawa dalam suatu mesyuarat tergempar yang terpaksa beliau pengerusikan, kemudahan terjemahan serentak tidak dapat disediakan. Kebetulan ketika itu, seorang wakil Kerajaan Perancis turut hadir. Wakil kerajaan Perancis tersebut memberikan kata dua bahawa seandainya beliau tidak dibenarkan menggunakan bahasa ibundanya, beliau akan keluar daripada menyertai mesyuarat tersebut. Yang lebih menarik semua peserta mesyuarat itu mengetahui bahawa wakil tersebut mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris.
   Buktinya, negara Jepun dan Perancis walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris, mereka mampu menjadi negara hebat di pentas dunia. Jepun mampu bangkit selepas Nagasaki dan Hiroshima dileburkan oleh bom atom ketika kemuncak Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 dan menjadi kuasa ekonomi dan teknologi yang tiada tandingnya walaupun, negara-negara maju yang lain menggunakan bahasa Inggeris. Negara Perancis tetap menjadi negara yang kaya dengan khazanah budaya, intelektual, warisan pemikiran, dan jati diri mereka.

Perbandingan Malaysia dengan negara bekas jajahan Inggeris
Kita juga boleh membuat perbandingan dengan 128 buah negara bekas jajahan Barat (contohnya Congo, Mali, Haiti, Ivory Coast) yang masih menggunakan bahasa Inggeris, Sepanyol, dan Perancis sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Hakikatnya, hampir kesemua negara-negara tersebut masih dibelenggu kemiskinan, tidak maju, dan tergolong dalam kelompok negara-negara Dunia Ketiga. Sebaliknya, negara-negara yang berani menggunakan bahasa ibundanya sebagai bahasa rasmi sudah pun mencapai tahap negara maju atau sekurang-kurangnya sedang maju.

Wujud perang mempertahankan bahasa ibunda
Mungkin hakikat bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca ketika era kegemilangan Melaka tidak lagi mampu menjadi kebanggaan buat generasi muda, apatah lagi graduan yang menganggur kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Namun, hakikatnya kita tidak boleh melupakan bahawa dalam konteks Malaysia, fungsi bahasa Melayu adalah sangat penting, terutama sebagai alat penyatu kaum di negara ini.
Gambar Hiasan
  Sebagai contoh konflik perkauman terus berlaku di Sri Langka antara kaum minoriti Tamil dan kaum majoriti Singhalese dan bahasa dikenal pasti sebagai salah satu faktor penyumbang kepada masalah tersebut.
  Kerajaan Belgium juga sentiasa mengalami pertukaran kerana wujud pertembungan antara pihak yang ingin memilih sama ada untuk menggunakan bahasa Wallon atau Fleemish. Sebagai salah satu elemen dalam kontrak sosial, bahasa Melayu perlu terus dipertahankan sebagai bahasa Kebangsaam dan menjadi jambatan kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan turut mengabadikan kedaulatan bahasa Melayu dan kedudukannya tidak boleh dipertikaikan dalam apa jua keadaan berdasarkan Perkara 152.

Kita perlu yakin dengan bahasa Melayu
Dalam membina keyakinan kita terhadap kemampuan bahasa Melayu, kita memahami dua isu penting. Pertama, bahasa Melayu berkembang dengan berkembangnya ilmu pengetahuan. Sebagai contoh penciptaan istilah akan berlaku bagi membolehkan konsep ilmu dan takrif dilakukan dalam bahasa Melayu. Kedua, kita jangan terperangkap dengan fahaman cetek bahawa dengan mendukung bahasa Melayu, kita boleh berasa puas hati dan tidak menguasai bahasa-bahasa lain.

Kesimpulan
Pemikir Barat, John Naisbit mengungkapkan frasa “think globally, act locally” di dalam bukunya, Global Paradox. Maksud kata-kata beliau, sementara kita mengakui globalisasi memiliki ciri-ciri hegemoni, walaupun dalam soal bahasa Inggeris terhadap ke atas bahasa-bahasa lain, kita harus tetap merangka, berfikir dan mencari jalan agar bahasa Melayu masih mampu untuk menjadi bahasa ekonomi, pentadbiran, perundangan, ilmu, sains, dan lain-lain. Kita masih belum terlewat untuk mengangkat kembali martabat bahasa Melayu.

Rujukan
Majalah Minda, Oktober 2004, Karangkraf Publication Sdn. Bhd.


Wednesday, 7 March 2012

Bahasa Rojak


Gambar Hiasan
Konsep
Bahasa rojak adalah dua jenis percakapan di Malaysia yang menakrifkan amalan beralih kod (mencampurkan pelbagai bahasa dalam satu pertuturan) yang serupa. Walaupun bagaimanapun, bahasa dasarnya ialah bahasa Melayu. Misalnya, percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahas India.
Isu bahasa rojak
Ibarat kad pengenalan diri, bahasa melambangkan jati diri setiap individu, namun penggunaan bahasa rojak generasi muda berleluasa dalam kalangan bangsa Melayu pada masa kini seolah-olah memperlihatkan sikap tidak peduli terhadap identiti mereka. Penggunaan perkataan Inggeris seperti You, I, so, thank you, advice, excuse me dan sebagainya merupakan sebahagian daripada bahasa rojak yang sering saya dengar dalam perbualan seharian antara generasi muda tanpa mengira tempat dan masa. Mereka seolah-olah berasa bangga dengan segala macam pencemaran bahasa.

Situasi
Apa yang saya perhatikan , kewujudan bahasa rojak acap kali hadir dalam situasi tidak rasmi seperti di dalam internet, facebook, twitter, dan sms. Tapi, ia turut hadir di dalam program televisyen, radio, atau novel serta di dalam akhbar, komik majalah dan sebagainya. Contoh paling hampir saya dapat kesan penggunaa bahasa rojak ini melalui program di TV3, iaitu Karnival Sure (pasti) Heboh. Jelas di sini, syarikat telekomunikasi swasta tersebut menggunakan nama program mereka menggunakan bahasa rojak untuk menarik perhatian orang ramai.

Antara penggunaan bahasa rojak di dalam pelbagai situasi pernah saya temui :

1. Internet, terutama dalam laman-laman sosial Facebook, Twitter, dan sebagainya. Contoh bahasa rojak yang digunakan dalam Facebook :

i) Org baru ni.... Baru nk belaja naik highway...
ii) dia kira lagu ni.. mu aku zmal hari2 dok melawak style bertengkar siap sepak punggong.. tup2 dia masuk umah kita.. pastu dia g wat banner kat kd zmall, lekat di dinding umah kita tu.. "" maha begadoh supa lemung woo""" kah kah kah.. mungkin dia baru g bayar broadben kot, tlepas yg sudah2 kita dok bincang.

2. Penggunaan bahasa rojak dalam short message service (sms). Contoh ayat :

i) Mesyuarat suluk semi final ahad esk,jam 6 petang audi. Please puncture. pra raptai akan dbt sekali.
ii) Salam, malam ni ada meeting AJK untuk program khamis nie.
iii) Pak cik, tak jadi buat discussion malam ni, maybe buat esok kot.

3. Penggunaa bahasa rojak di dalam televisyen. Saya kerap menonton berita bahasa Melayu televisyen Malaysia untuk mengikuti perkembangan isu semasa. Namun, saya dapati ada suatu keganjilan apabila kata-kata atau istilah khas dan terjemahan dituturkan. Misalnya, saya hairan mengapa apabila istilah-istilah atau Kata Nama Khas disebut, ia tidak diterjemahkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh apabila ia melibatkan angka, maka angka tersebut akan diucapkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya :

i) Airbus A380 disebut Airbus three-eight-zero, bukan Airbus tiga-lapan-kosong/sifar.
ii) Flu H1N1 disebut Flu H-one-N-one, tidak pula Flu H-satu-N-satu.

Gambar Hiasan
4. Penggunaan bahasa rojak dalam ruangan karikatur dalam surat khabar, terutama Utusan Melayu. Misalnya :

i) You semalam pi mana? I waiting for you so long men! I think you tak bestlah sebab tak tunggu aku!
ii) S: Anak pak cik kata, kamu ni kerja sebagai guru sains. Boleh pak cik test sikit? Can you explain to me, how the photosynthesis cycle happens?
J : Err…err.one day..eh silap! Actually the photosynthesis is

5. Bahasa rojak (bahasa Melayu campur bahasa Cina), contoh ayat :

i) Nak makan sini ke nak tapau (bungkus)?
ii) Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (tolak ansur) maa?
iii) Ya, lu mau angkat apa?

6. Bahasa Rojak (bahasa Melayu campur bahasa India), contoh ayat :

i) Hei macha, apa macam ari ni?

7. Bahasa rojak (bahasa Melayu campur bahasa Inggeris), contoh ayat :

i) Hang memang terror (hebat) la!
ii) Sorry (maaf), aku tak sengaja
iii) Aku nak test (uji) meriam buluh ini, kuat tak kuat.

Kesimpulan
Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan generasi muda sudah menjadi gaya hidup ‘wajib’ bagi mereka untuk membuktikan bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa. Sebaliknya, individu yang menggunakan bahasa Melayu baku dianggap sebagai skema dan ketinggalan zaman. Justeru, bagi menghalang bahasa Melayu daripada terus dipengaruhi unsur luar secara melulu, para pemimpin dan pendidik perlulah terus memupuk generasi muda dengan memberi bimbingan dan teladan kepada mereka agar sikap menghargai bahasa rasmi negara ini dapat berterusan. Istilah    "Jangan lupa diri", sering didengar di kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia. Istilah ini merupakan satu frasa yang menyatakan bahawa seseorang itu harus ingat akan asal-usul diri mereka dan nenek moyang mereka, sekalipun ia bersifat perkauman.

Rujukan