Saya telah membaca satu
artikel yang begitu menarik di dalam sebuah majalah yang bertajuk MINDA terbitan Karangkraf Publication Sdn. Bhd keluaran Oktober 2004. Artikel
tersebut membincangkan dan menghuraikan tentang “Tentang bahasa Melayu, Terpinggir di bumi sendiri”. Artikel
tersebut turut menyentuh penggunaan bahasa Inggeris di IPTA, peranan bahasa
Melayu dahulu kala dan kini, dan perbandingan bahasa Melayu dengan bahasa Jepun
dan Perancis.
Tindakan
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Rancangan pihak UPM untuk
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk semua kursus,
kecuali Kesusasteraan Melayu, Tamadun Islam, dan Pendidikan Sivik, amat tidak
dipersetujui banyak pihak. Bagi aktivis dan pejuang bahasa, perkembangan ini
dilihat sebagai penzahiran kepada rasa kurang yakin universiti kepada bahasa
Melayu untuk menjadi wahana perkembangan ilmu di negara ini.
Penggunaan
bahasa Inggeris di IPTA
Kenyataan bekas Ketua
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk A. Aziz Deraman mendedahkan bahawa
lebih 10 buah IPTA masih menggunakan bahasa Inggeris termasuk ke peringkat
ekstrem, iaitu mengajar Kesusasteraan Melayu. Semua ini seolah-olah menunjukkan
nasib bahasa Melayu terus dipinggirkan di bumi sendiri.
Penggunaa
bahasa Inggeris di IPTS
Kini, terdapat lebih 600
buah IPTS yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal ini
merupakan suatu fenomena laksana ‘api
dalam sekam’ dan akan terus mencacatkan peranan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi dan bahasa kemajuan negara.
Kenapa
perlu bahasa Inggeris?
Banyak pihak memberikan justifikasi bagi penggunaan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar adalah disebabkan bahasa tersebut kini
menjadi bahasa antarabangsa. Tambahan pula, di zaman Sains dan Teknologi (ICT),
keperluan untuk menguasainya menjadi lebih mendesak. Keadaan ini mewujudkan dua
pilihan, sama ada kita wajar mengorbankan bahasa Melayu atau kita perlu
mengubah keadaan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah?.
Gambar Hiasan |
Kita
perlu belajar daripada pengalaman lalu
Bekas Wakil Tetap Malaysia
ke UNESCO dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Hassan Ahmad yang merakamkan
budaya berbahasa rakyat Jepun dan Perancis di dalam bukunya, Imbasan.
Menurut beliau, tabiat rakyat Jepun
begitu ketara jika dibandingkan dengan masyarakat tempatan. Sebagai contoh,
walaupun rakyat Jepun mampu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam
perbualan sesama sendiri, mereka tetap memilih untuk bertutur dalam bahasa
ibunda sendiri, tidak dalam bahasa Inggeris atau bahasa ‘rojak’ Jepun-Inggeris. Bagi rakyat Jepun perbuatan berbual-bual
dalam bahasa Inggeris di antara dua orang rakyat Jepun adalah suatu perlanggaran
kepada adat budaya masyarakat Jepun sendiri. Pengajaran di sini ialah
masyarakat Jepun mempunyai kesedaran bahawa seseorang yang mampu untuk bertutur
dalam bahasa Inggeris dengan fasih sekalipun tidak semestinya membuktikan
bahawa mereka lebih baik, maju atau bertamadun daripada orang yang memilih
untuk bertutur dalam bahasa ibunda sendiri.
Gambar Hiasan |
Budaya
rakyat Perancis
Umum mengetahui betapa
rakyat Perancis merupakan rakyat yang begitu setia mendukung bahasa mereka,
malah ada yang tidak berkompromi langsung dalam soal bahasa. Sebagai contoh,
dalam siaran televisyen mereka, seandainya ada liputan berkaitan ucapan
pemimpin luar, pihak penyiar akan mematikan suaranya dan akan menyiarkan ucapan
yang telah dialih suarakan. Begitu juga dengan filem-filem dari Hollywood.
Selain itu, terdapat juga undang-undang
yang melarang penggunaan bahasa Inggeris dalam sebarang bentuk iklan, papan
tanda, papan kenyataan, dan sebagainya. Malah, dalam insiden terbaru, beliau
menyebut bahawa dalam suatu mesyuarat tergempar yang terpaksa beliau
pengerusikan, kemudahan terjemahan serentak tidak dapat disediakan. Kebetulan
ketika itu, seorang wakil Kerajaan Perancis turut hadir. Wakil kerajaan
Perancis tersebut memberikan kata dua bahawa seandainya beliau tidak dibenarkan
menggunakan bahasa ibundanya, beliau akan keluar daripada menyertai mesyuarat
tersebut. Yang lebih menarik semua peserta mesyuarat itu mengetahui bahawa
wakil tersebut mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris.
Buktinya, negara Jepun dan Perancis walaupun
tidak menggunakan bahasa Inggeris, mereka mampu menjadi negara hebat di pentas
dunia. Jepun mampu bangkit selepas Nagasaki
dan Hiroshima dileburkan oleh bom
atom ketika kemuncak Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 dan menjadi kuasa
ekonomi dan teknologi yang tiada tandingnya walaupun, negara-negara maju yang
lain menggunakan bahasa Inggeris. Negara Perancis tetap menjadi negara yang
kaya dengan khazanah budaya, intelektual, warisan pemikiran, dan jati diri
mereka.
Perbandingan
Malaysia dengan negara bekas jajahan Inggeris
Kita juga boleh membuat
perbandingan dengan 128 buah negara bekas jajahan Barat (contohnya Congo, Mali, Haiti, Ivory Coast) yang
masih menggunakan bahasa Inggeris, Sepanyol, dan Perancis sebagai bahasa rasmi
negara tersebut. Hakikatnya, hampir kesemua negara-negara tersebut masih
dibelenggu kemiskinan, tidak maju, dan tergolong dalam kelompok negara-negara
Dunia Ketiga. Sebaliknya, negara-negara yang berani menggunakan bahasa
ibundanya sebagai bahasa rasmi sudah pun mencapai tahap negara maju atau
sekurang-kurangnya sedang maju.
Wujud
perang mempertahankan bahasa ibunda
Mungkin hakikat bahawa
bahasa Melayu pernah menjadi lingua
franca ketika era kegemilangan Melaka tidak lagi mampu menjadi kebanggaan
buat generasi muda, apatah lagi graduan yang menganggur kerana tidak fasih
berbahasa Inggeris. Namun, hakikatnya kita tidak boleh melupakan bahawa dalam
konteks Malaysia, fungsi bahasa Melayu adalah sangat penting, terutama sebagai
alat penyatu kaum di negara ini.
Gambar Hiasan |
Sebagai contoh konflik perkauman terus
berlaku di Sri Langka antara kaum minoriti Tamil dan kaum majoriti Singhalese
dan bahasa dikenal pasti sebagai
salah satu faktor penyumbang kepada masalah tersebut.
Kerajaan Belgium juga sentiasa mengalami
pertukaran kerana wujud pertembungan antara pihak yang ingin memilih sama ada
untuk menggunakan bahasa Wallon atau Fleemish. Sebagai salah satu elemen
dalam kontrak sosial, bahasa Melayu perlu terus dipertahankan sebagai bahasa Kebangsaam
dan menjadi jambatan kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Perlembagaan
Persekutuan turut mengabadikan kedaulatan bahasa Melayu dan kedudukannya tidak
boleh dipertikaikan dalam apa jua keadaan berdasarkan Perkara 152.
Kita
perlu yakin dengan bahasa Melayu
Dalam membina keyakinan
kita terhadap kemampuan bahasa Melayu, kita memahami dua isu penting. Pertama,
bahasa Melayu berkembang dengan berkembangnya ilmu pengetahuan. Sebagai contoh
penciptaan istilah akan berlaku bagi membolehkan konsep ilmu dan takrif
dilakukan dalam bahasa Melayu. Kedua, kita jangan terperangkap dengan fahaman
cetek bahawa dengan mendukung bahasa Melayu, kita boleh berasa puas hati dan
tidak menguasai bahasa-bahasa lain.
Kesimpulan
Pemikir Barat, John
Naisbit mengungkapkan frasa “think
globally, act locally” di dalam bukunya, Global Paradox. Maksud kata-kata beliau, sementara kita mengakui globalisasi memiliki ciri-ciri hegemoni,
walaupun dalam soal bahasa Inggeris terhadap ke atas bahasa-bahasa lain, kita
harus tetap merangka, berfikir dan mencari jalan agar bahasa Melayu masih mampu
untuk menjadi bahasa ekonomi, pentadbiran, perundangan, ilmu, sains, dan
lain-lain. Kita masih belum terlewat untuk mengangkat kembali martabat bahasa
Melayu.
Rujukan
Majalah Minda, Oktober 2004, Karangkraf Publication Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment