Wednesday, 7 March 2012

Bahasa Rojak


Gambar Hiasan
Konsep
Bahasa rojak adalah dua jenis percakapan di Malaysia yang menakrifkan amalan beralih kod (mencampurkan pelbagai bahasa dalam satu pertuturan) yang serupa. Walaupun bagaimanapun, bahasa dasarnya ialah bahasa Melayu. Misalnya, percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahas India.
Isu bahasa rojak
Ibarat kad pengenalan diri, bahasa melambangkan jati diri setiap individu, namun penggunaan bahasa rojak generasi muda berleluasa dalam kalangan bangsa Melayu pada masa kini seolah-olah memperlihatkan sikap tidak peduli terhadap identiti mereka. Penggunaan perkataan Inggeris seperti You, I, so, thank you, advice, excuse me dan sebagainya merupakan sebahagian daripada bahasa rojak yang sering saya dengar dalam perbualan seharian antara generasi muda tanpa mengira tempat dan masa. Mereka seolah-olah berasa bangga dengan segala macam pencemaran bahasa.

Situasi
Apa yang saya perhatikan , kewujudan bahasa rojak acap kali hadir dalam situasi tidak rasmi seperti di dalam internet, facebook, twitter, dan sms. Tapi, ia turut hadir di dalam program televisyen, radio, atau novel serta di dalam akhbar, komik majalah dan sebagainya. Contoh paling hampir saya dapat kesan penggunaa bahasa rojak ini melalui program di TV3, iaitu Karnival Sure (pasti) Heboh. Jelas di sini, syarikat telekomunikasi swasta tersebut menggunakan nama program mereka menggunakan bahasa rojak untuk menarik perhatian orang ramai.

Antara penggunaan bahasa rojak di dalam pelbagai situasi pernah saya temui :

1. Internet, terutama dalam laman-laman sosial Facebook, Twitter, dan sebagainya. Contoh bahasa rojak yang digunakan dalam Facebook :

i) Org baru ni.... Baru nk belaja naik highway...
ii) dia kira lagu ni.. mu aku zmal hari2 dok melawak style bertengkar siap sepak punggong.. tup2 dia masuk umah kita.. pastu dia g wat banner kat kd zmall, lekat di dinding umah kita tu.. "" maha begadoh supa lemung woo""" kah kah kah.. mungkin dia baru g bayar broadben kot, tlepas yg sudah2 kita dok bincang.

2. Penggunaan bahasa rojak dalam short message service (sms). Contoh ayat :

i) Mesyuarat suluk semi final ahad esk,jam 6 petang audi. Please puncture. pra raptai akan dbt sekali.
ii) Salam, malam ni ada meeting AJK untuk program khamis nie.
iii) Pak cik, tak jadi buat discussion malam ni, maybe buat esok kot.

3. Penggunaa bahasa rojak di dalam televisyen. Saya kerap menonton berita bahasa Melayu televisyen Malaysia untuk mengikuti perkembangan isu semasa. Namun, saya dapati ada suatu keganjilan apabila kata-kata atau istilah khas dan terjemahan dituturkan. Misalnya, saya hairan mengapa apabila istilah-istilah atau Kata Nama Khas disebut, ia tidak diterjemahkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh apabila ia melibatkan angka, maka angka tersebut akan diucapkan dalam bahasa Inggeris. Misalnya :

i) Airbus A380 disebut Airbus three-eight-zero, bukan Airbus tiga-lapan-kosong/sifar.
ii) Flu H1N1 disebut Flu H-one-N-one, tidak pula Flu H-satu-N-satu.

Gambar Hiasan
4. Penggunaan bahasa rojak dalam ruangan karikatur dalam surat khabar, terutama Utusan Melayu. Misalnya :

i) You semalam pi mana? I waiting for you so long men! I think you tak bestlah sebab tak tunggu aku!
ii) S: Anak pak cik kata, kamu ni kerja sebagai guru sains. Boleh pak cik test sikit? Can you explain to me, how the photosynthesis cycle happens?
J : Err…err.one day..eh silap! Actually the photosynthesis is

5. Bahasa rojak (bahasa Melayu campur bahasa Cina), contoh ayat :

i) Nak makan sini ke nak tapau (bungkus)?
ii) Jangan susah hati maa, lu punya bos mesti boleh kaw tim (tolak ansur) maa?
iii) Ya, lu mau angkat apa?

6. Bahasa Rojak (bahasa Melayu campur bahasa India), contoh ayat :

i) Hei macha, apa macam ari ni?

7. Bahasa rojak (bahasa Melayu campur bahasa Inggeris), contoh ayat :

i) Hang memang terror (hebat) la!
ii) Sorry (maaf), aku tak sengaja
iii) Aku nak test (uji) meriam buluh ini, kuat tak kuat.

Kesimpulan
Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan generasi muda sudah menjadi gaya hidup ‘wajib’ bagi mereka untuk membuktikan bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa. Sebaliknya, individu yang menggunakan bahasa Melayu baku dianggap sebagai skema dan ketinggalan zaman. Justeru, bagi menghalang bahasa Melayu daripada terus dipengaruhi unsur luar secara melulu, para pemimpin dan pendidik perlulah terus memupuk generasi muda dengan memberi bimbingan dan teladan kepada mereka agar sikap menghargai bahasa rasmi negara ini dapat berterusan. Istilah    "Jangan lupa diri", sering didengar di kawasan bandar dan luar bandar di Malaysia. Istilah ini merupakan satu frasa yang menyatakan bahawa seseorang itu harus ingat akan asal-usul diri mereka dan nenek moyang mereka, sekalipun ia bersifat perkauman.

Rujukan 



Tuesday, 6 March 2012

Kesantunan Berbahasa


Konsep
Kesantunan (politeness), kesopansantunan, atau etiket adalah tatacara, adat, atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang diterapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu masyarakat tertentu hingga kesantunan itu menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial.

Kesantunan berbahasa dalam aspek kehidupan seharian
Pertama, kesantunan memperlihatkan sikap yang mengandungi nilai sopan santun atau etika dalam pergaulan seharian. Ketika orang dikatakan santun, maka dalam diri seseorang itu terpapar nilai sopan santun yang berlaku secara baik dalam masyarakat tempat seseorang itu mengambil bahagian sebagai anggotanya. Apabila seseorang itu melakukan perkara yang sopan, masyarakat memberikan nilai kepadanya, sama ada secara seketika (mendadak) atau secara konvesional (panjang,memakan waktu lama). Situasi ini pernah saya alami semasa saya dan rakan-rakan membantu orang kampung dalam menjalankan sesuatu upacara seperti perkahwinan, gotong-royong, membina rumah dan sebagainya. Ayat pujian yang dikeluarkan oleh mereka penuh kesantunan misalnya :

i) Terima kasih kerana menolong mak cik mengangkat barang.
ii) Bagus budak ni, bercakap dengan sopan dengan ibu bapa, rakan-rakan, dan orang kampung.

        Kedua-dua dialog di atas menunjukkan bagaimana masyarakat memberi nilai kepada seseorang di dalam komuniti mereka. Nilai yang diberikan oleh masyarakat tersebut berbentuk positif dan penuh beretika, seperti penggunaan perkataan terima kasih, bagus, dan bercakap sopan. Saya menggolongkan nilai tersebut sebagai konvesional (waktu lama) kerana perkataan-perkataan tersebut sering digunakan apabila masyarakat kampung saya memberikan penilaian kepada seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang baik.
      Kedua, kesantunan sangat kontekstual, iaitu berlaku dalam masyarakat, tempat, atau situasi tertentu, tetapi belum tentu berlaku bahagian masyarakat, tempat, atau situasi lain. Ketika seseorang berjumpa dengan dengan rakan karib, boleh sahaja dia menggunakan kata yang kasar dengan suara keras, tetapi hal itu tidak sopan apabila digunakan kepada kawan yang baru dikenali. Situasi sebegini sering saya alami jika saya pulang ke kampung dan bercakap bersama-sama rakan-rakan. Sebelum memulakan perbicaraan atau bertanya khabar, penggunaan kata-kata kesat dan kasar sudah menjadi rutin kami dan ini sudah dianggap sebagai gurauan dan lawak semata-mata. Antara perkataan kasar yang sering digunakan ialah bodoh, bengong, benak, bahalol, tolol, bangang, dan sebagainya. Contoh ayat :

i) Bengong sungguh mung ni.
ii) Tu la makan banyak kepala ikan, sebab tu la benak.
ii) Mung ni dah la bodoh, tolol, bengong, bahlol, bangang. Buat pa pon semua tak jadi.

Gambar Hiasan
  Perkataan seperti bengong, benak, bodoh, bengong, bahlol, dan bangang di atas merupakan perkataan yang sering digunakan oleh rakan-rakan saya di kampug jika kami berbual atau berjenaka. Bagi kami, perkataan tersebut sudah biasa dalam perbualan. Tetapi, ia akan nampak pelik dan janggal jika orang luar dari kampung saya datang ke sini (kampung), persepsi mereka mungkin akan menganggap kami sebagai orang yang suka bercakap kasar dan mereka takut untuk bergaul dengan kami.
  Ketiga, kesantunan selalu bipolar, iaitu memiliki hubungan dua kutub, seperti antara anak dengan ibu bapa, antara orang muda dengan orang lebih tua, antara lelaki dengan wanita, dan murid dengan guru. Dalam konteks kesantunan bipolar, situasi yang saya banyak alami ialah hubungan anak dengan ibu bapa, orang muda dengan orang tua, dan hubungan lelaki dengan wanita. Saya mahu fokus terhadap hubungan anak dengan ibu bapa. Saya kerap mendengar rakan-rakan saya membahasakan diri mereka seperti aku, orang,nama timbangan keluarga dan nama sendiri ketika berbual dengan ibu bapa mereka. Begitu juga dengan saya, saya membahasakan diri orang ketika saya berbual dengan emak saya sejak dari kecil hingga sekarang. Contoh ayat :

i) Mak, tolong ambik baju aku sat.
ii) Orang tak makan lagi mak.
iii) Mak, angah demam hari ni.
iv) Mak, Lan dah nak keluar ni.

   Bagi saya, penggunaan perkataan aku dan orang sebagai bahasa diri ketika bercakap dengan ibu bapa. Hal ini demikian kerana, ibu bapa merupakan orang yang berjasa kepada kita dan perlu dihormati. Penggunaan perkataan angah (nama timbangan keluarga), dan Lan ( nama sendiri) adalah lebih baik kerana ia menunjukkan rasa hormat dan sedap didengar oleh ibu bapa.      

Kesimpulan
Kesantunan (politeness), kesopansantunan, atau etiket adalah tatacara, adat, atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang diterapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu masyarakat tertentu hingga kesantunan itu menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. Kesantunan berbahasa ini berlaku dalam pelbagai situasi kita seharian sama ada dengan ibu bapa, masyarakat, guru, rakan-rakan, saudara mara, dan sebagainya. Jadi, kita sebagai orang Melayu yang kaya dengan adat dan budaya, perlu menggunakan kesantunan berbahasa dalam pelbagai situasi sama ada formal atau tidak formal. Hal ini demikian kerana, penggunaan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian membolehkan diri kita dihormati dan disanjung oleh masyarakat. Jauhi  mengamalkan penggunaan kata-kata kesat, kasar, dan lucah ketika berbual atau berkomunikasi. Penggunaan kata-kata tersebut menyebabkan kita dibenci dan dipinggir oleh masyarakat.

Rujukan 

Percampuran Kod dalam bahasa Melayu


Definisi Konsep
Percampuran kod (code mixing) merupakan satu fenomena biasa dalam kalangan mereka yang boleh berbahasa lebih daripada satu. Percampuran kod berlaku apabila seorang bertutur mencampuradukkan bahasa atau dialek dengan bahasa atau dialek yang lain atau antara satu dialek dengan dialek-dialek lain. Fenomena ini amat berleluasa di Malaysia kerana di sini terdapat pelbagai jenis bahasa dan dialek seperti bahasa Melayu, Cina, Tamil dan suku kaum serta dialek tempatannya.

Majalah Solusi Mac 2011
Situasi
Terlalu banyak percampuran kod ini berlaku di mana-mana sahaja di persekitaran kita. Malah, percampuran kod ini berlaku sehari-hari dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari. Percampuran kod ini turut menular di dalam media-media seperti akhbar, majalah, televisyen, radio dan sebagainya. Percampuran kod di dalam media-media tersebut merupakan salah satu daripada usaha majikan atau pemilik syarikat untuk menikmati keuntungan daripada produk yang dikeluarkan oleh mereka sehingga meminggirkan kepentingan bahasa Melayu.
       Sebagai contoh, saya terbaca salah satu dialog di dalam sebuah majalah popular masa kini, iaitu Solusi keluaran Mac 2011. Di dalam dialog tersebut, karikatur majalah tersebut menggunakan ayat-ayat yang mengandungi percampuran kod. Tujuan karikatur menggunakan percampuran kod mungkin untuk menarik perhatian pembaca untuk membaca isi dan tema yang ingin disampaikan olehnya. Teknik dan niatnya betul, tetapi salah di sisi penggunaan bahasa. Hal ini demikian kerana, percampuran kod di dalam dialog tersebut telah mencemari dan merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
      Bagaimanakah jika dialog ini dibaca oleh kaum-kaum lain yang menjadi penutur minoriti bahasa Melayu?, mungkin mereka juga turut mempertikaikan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Malah, mereka turut terikut-ikut ayat yang terkandung di dalam dialog tersebut. Kesannya, bahasa Melayu menjadi bahan ejekan daripada kaum-kaum lain dan menjatuhkan maruah bahasa Melayu itu sendiri serta bangsanya, kaum Melayu.

Percampuran kod yang digunakan
Percampuran kod yang digunakan di dalam dialog tersebut terdiri daripada gabungan dua bahasa, iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, singkorf, dan dialek. Contoh, dialog antara lelaki dan perempuan tersebut :
   L : Kita nikah nanti, I nak simple-simple aje tau
  P : Man boleh, yang. Ibu I dah tempah mak andam yang paling famous di negara kita, tau… ibu I kata, masa bersanding nanti kita ada 10 sepersalinan pakaian tau.

Analisis berdasarkan dialog di atas
Penggunaa I dan simple-simple dalam dialog di atas tidak sesuai kerana kedua-dua perkataan tersebut merupakan perkataan daripada bahasa Inggeris. Jika diterjemah di dalam bahasa Melayu I bermaksud saya, manakala simple-simple bermaksud sederhana.
     Begitu juga dengan perkataan nak, aje, dan tau. Perkataan nak, aje, dan tau merupakan sinkorf, iaitu pengguguran beberapa perkataan sama ada di hadapan atau di belakang kata. Sinkorf ini sering berlaku di dalam perbualan kita sehari-hari. Ejaan yang betul ialah hendak, sahaja, dan tahu. Jadi, ayat yang betul ialah “kita nikah nanti, saya hendak sederhana sahaja”.
     Dialog yang kedua pula, menggunakan sinkorf dan bahasa Inggeris. Contoh sinkorf man, dah, dan tau, dan bahasa Inggeris famous. Perkataan yang betul ialah mana, sudah dan tahu, manakala famous di dalam bahasa Melayu bermaksud terkenal. Jadi ayat yang betul ialah “Mana boleh, Ibu saya sudah tempeh mak andam yang paling popular di negara kita. Ibu saya kata, masa bersanding nanti kita ada 10 persalinan pakaian”.

Kesimpulan
Percampuran kod bahasa ialah fenomena biasa bagi semua masyarakat di dunia.  Penutur yang boleh berbahasa lebih daripada satu, tidak kira bahasa utama atau dialek-dialek daerah secara sedar atau tidak akan mencampurkan bahasa-bahasa yang diketahuinya mengikut situasi semasa. Percampuran bukan sahaja berlaku di dalam perbualan kita seharian, malah ia turut menular di dalam media-media sama ada bercetak atau elektronik.Sebagai contoh majalah Solusi yang saya katakan di atas. Jadi, kita perlulah menjaga dan memlihara bahasa ibunda, bahasa Melayu daripada terus terancam dan terus berusaha mengekalkan keasliannya pada generasi akan datang.

Sumber :


Monday, 5 March 2012

Konsep Sosiolinguistik


Bidang linguistik telah muncul pada Mei 1964 dalam satu persidangan khas untuk
membicarakan hubungan antara bahasa dan masyarakat. Sebagai satu bidang ilmiah, sosiolinguistik mula muncul pada abad ini. Pada mulanya, ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, misalnya “linguistik antropologi”, “bahasa dan kebudayaan”, dan sebagai satu disiplin yang diajar dalam Jabatan Antropologi di Amerika Syarikat. Pada tahun-tahun 60-an, istilah sosiolinguistik mula digunakan dan kini statusnya sebagai satu disiplin yang tersendiri telah diterima umum. Keadaan ini wujud kerana ahli bahasa mendapati bahawa di samping kajian terhadap bahasa, kajian bahasa yang dikaitkan dengan masyarakat penggunanya menjadi tajuk menarik. Justeru, usaha untuk mewujudkan sosiolinguistik sebagai satu disiplin ilmu bermula dari sini.
   Sosiolinguistik adalah salah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik-disiplin yang meneliti bahasa. Sosiolinguistik adalah bahagian pengajian (studies) dan pengkajian (research) yang menggabungkan dua disiplin, iaitu sosiologi dan linguistik. Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Sosiolinguistik menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara kedua-dua entiti tersebut yang rapat. Pengkajian dan pengajian sosiolinguistik bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik yang wujud antara struktur bahasa dengan struktur sosial, iaitu sama ada sesuatu struktur bahasa itu menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu atau sebaliknya (Teo Kok Seong: 42-43).
    Menurut Dittmar (1976), istilah sosiolinguistik pertama kali muncul dalam tulisan Currie (1952) yang menyatakan bahawa kajian tersebut bertujuan untuk melihat hubungan antara perlakuan bahasa dan status sosial. Istilah tersebut, yang pada mulanya bermaksud untuk menyatakan suatu pendekatan antara-disiplin untuk penyelidikan mendapat penerimaan umum. Di England, tugas sosiolinguistik muncul dengan buah fikiran Malinowski yang diluaskan oleh Firth. Walaupun istilah institutional linguistics lebih digunakan, namun bidang yang diliputi tidak berbeza daripada yang dimaksudkan dengan sosiolinguistik. Bidang sosiolinguistik juga merupakan daya usaha kelompok ahli antropologi dan sesuai dengan hakikat bahawa sosiolinguistik itu merupakan cabang kepada bidang antropologi, khususnya antropologi sosial yang mementingkan analisis struktur sosial masyarakat (Nik Safiah Karim, 1981: 1).
    Menurut Fishman, kajian sosiolinguistik adalah bersifat kualitatif. Sosiolinguistik lebih berhubungan dengan perincian-perincian penggunaan bahasa yang sebenarnya seperti deskripsi pola-pola pemakaian bahasa atau dialek di dalam budaya tertentu, pilihan pemakaian bahasa atau dialek tertentu yang dilakukan penutur, topik dan latar pembicaraan.
   Bidang sosiolinguistik membincangkan pelbagai aspek hubungan bahasa dengan masyarakat. Antara aspek tersebut ialah kedwibahasaan, kepelbagaian bahasa, bahasa, kelainan bahasa, sikap terhadap bahasa, perancangan bahasa dan sebagainya. Bidang sosiolinguistik terapan pula menggabungkan kajian sosiolinguistik dengan kajian pendidikan. Bidang ini telah menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri.
    Secara kasarnya, sosiolinguistik ialah bidang yang memperkatakan aspek-aspek hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Mengikut Bright (1966), tugas ahli sosiolinguistik ialah “untuk memperlihatkan perbezaan-perbezaan yang saling mempengaruhi antara struktur bahasa dengan struktur sosial”. Hymes (1968) mendefinisikan kegiatan bidang sosiolinguistik sebagai satu aktiviti disiplin di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan penting masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik (Wong Shek Seng, 1987: 1).
   Sosiolinguistik sering ditakrifkan sebagai bidang ilmu yang meneliti segala macam aspek yang berkenaan hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Lingkungan hubungan antara bahasa dengan masyarakat adalah amat luas dan boleh mengambil pelbagai bentuk atau manifestasi. Contohnya, gaya bercakap yang berlainan antara masyarakat Timur dengan masyarakat Barat. Selain itu, terdapat beberapa pengertian lain kepada konsep sosiolinguistik (Zulkifley Hamid, Ramli Salleh dan Rahim Aman, 2006: 113).
  Sosiolinguistik merupakan disiplin antara sosiologi dan linguistik, iaitu dua bidang ilmu empiris yang mempunyai kaitan sangat erat. Sosiologi adalah kajian yang objektif dan ilmiah mengenai manusia dalam masyarakat, dan mengenai lembaga dan proses sosial yang ada dalam masyarakat. Sosiologi berusaha mengetahui bagaimana masyarakat itu terjadi, berlangsung dan tetap ada. Dengan mempelajari lembaga sosial dan segala masalah sosial dalam satu masyarakat, akan diketahui cara manusia menyesuaikan diri dengan lingkungannya, bagaimana mereka bersosial dan menempatkan diri dalam tempat masing-masing dalam masyarakat. Linguistik pula adalah bidang ilmu yang mempelajari bahasa atau bidang ilmu yang mengambil bahasa sebagai objek kajiannya. Dengan demikian, kesimpulannya ialah sosiolinguistik itu adalah bidang ilmu disiplin yang mempelajari bahasa dalam kaitannya dengan penggunaan bahasa itu dalam masyarakat (Noriah Mohamed, 1998: 2).
    Berkaitan dengan konsep sosiolinguistik ini juga, de Saussure (1961) telah menyebutkan bahawa bahasa adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga kemasyarakatan yang lain seperti perkahwinan, pewarisan harta peninggalan dan sebagainya. Dimensi kemasyarakatan bukan hanya memberi ‘makna’ kepada bahasa, tetapi juga menyebabkan terjadinya ragam-ragam bahasa. Ragam-ragam bahasa ini bukan hanya dapat menunjukkan adanya perbezaan sosial dalam masyarakat, tetapi juga memberi indikasi mengenai situasi berbahasa dan mencerminkan tujuan, topik, kaedah dan modus-modus penggunaan bahasa (Noriah Mohamed, 1998: 3).
   Charles Morris dalam bukunya ’Sign, Language and Behaviour’ (1946) membicarakan bahasa sebagai sistem lambang yang membezakan tiga macam kajian bahasa berkenaan dengan fokus perhatian yang diberikan. Jika perhatian difokuskan pada hubungan antara lambang dengan maknanya, ini disebut semantik. Jika fokus perhatian diarahkan pada hubungan lambang dengan lambang, ia disebut sintaksis dan kalau fokus perhatian diarahkan pada hubungan antara lambang dengan para penuturnya disebut pragmatik. Kajian antara lambang dengan penuturnya disebut sebagai sosiolinguistik (Noriah Mohamed, 1998: 3).
   Sebagai objek dalam sosiolinguistik, bahasa tidak dilihat atau didekati sebagai bahasa seperti dilakukan oleh sosiolinguistik umum, melainkan dilihat atau didekati sebagai sarana interaksi atau komunikasi dalam masyarakat manusia. Sosiolinguistik juga lazimnya didefinisikan sebagai ilmu yang mempelajari ciri dan pelbagai variasi bahasa serta hubungan antara bahasawan dengan ciri fungsi variasi bahasa itu dalam suatu masyarakat bahasa (Kridalaksana 1978: 94). Pengkajian bahasa dengan dimensi masyarakat disebut juga sosiolinguistik (Nababan 1984: 2).
Sosiolinguistik adalah kajian tentang ciri-ciri khas variasi bahasa, fungsi-fungsi bahasa dan pemakai bahasa kerana ketiga-tiga unsur ini selalu berinteraksi, berubah dan saling mengubah satu sama lain dalam satu masyarakat tutur atau masyarakat bahasa (Fishman 1972: 4). Menurut beliau lagi, sosiolinguistik berbeza daripada linguistik. Dalam sosiolinguistik, pada umumnya, yang dikaji bukan deskripsi linguistik secara terperinci dari segi kegramatisan tetapi tentang perbahanan dan pemahaman tentang perhubungan antara bahasa dengan berbagai-bagai institusi sosial. Selain itu, sosiolinguistik adalah kajian mengenai bahasa dan pemakaiannya dalam konteks sosial dan budaya (Appel, Hubert dan Meijer 1976: 10).
   Fishman (1968, 5-13) juga menyatakan bahawa sosiolinguistik merupakan kajian terhadap ‘pattern co-variation of language and society’, iaitu kajian yang mementingkan kewujudan kelainan bahasa seperti dialek (geografi dan sosial), laras, gaya bahasa dan sebagainya dalam sesebuah komuniti bahasa. Dalam hal ini, Fishman (1968) juga menyatakan bahawa hanya sosiolinguistik yang merupakan satu-satunya disiplin ilmu yang mementingkan kajian terhadap bahasa dan hubungannya dengan pengguna bahasa. Sosiolinguistik adalah cabang ilmu linguistik bersifat interdisipliner dengan ilmu sosiologi dengan objek penelitian hubungan antara bahasa dengan faktor-faktor sosial dalam suatu masyarakat tutur atau secara lebih operasional lagi seperti yang dikatakan Fishman (1972, 1976), “...study of who speak what language to whom and when” (1998: 5).
    Menurut Criper dan Widdowson (1975: 156), sosiolinguistik adalah kajian bahasa dalam penggunaannya, dengan tujuan untuk meneliti bagaimana konvensi pemakaian bahasa berhubungan dengan aspek-aspek lain dari tingkah laku sosial. Sementara itu, menurut Booji, Kersten dan Verkuyl (1975:139), sosiolinguistik adalah subdisiplin ilmu bahasa yang mempelajari faktor-faktor sosial yang berperanan dalam penggunaan bahasa dan pergaulan sosial.  Bagi Hickerson pula, sosiolinguistik adalah pengembangan subbidang linguistik yang memfokuskan penelitian pada variasi ujaran serta mengkajinya dalam suatu konteks sosial. Sosiolinguistik meneliti korelasi antara faktor-faktor sosial itu dengan variasi bahasa (1998: 4).
Di samping itu, Hymes pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai satu bidang yang mengkaji perlakonan bahasa dari segi hubungan antara latar (setting), peserta (participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama sendiri. Beliau juga mendefinisikan bidang sosiolinguistik sebagai suatu aktiviti antara disiplin, di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik (Nik Safiah Karim, 1981: 4).
    Menurut Trudgill, sosiolinguistik adalah sebahagian daripada linguistik yang bersangkutan dengan bahasa sebagai suatu fenomena sosial dan budaya. Sosiolinguistik menggunakan bahan, metodologi atau penemuan sains sosial (khususnya sosiologi dan antropologi), tetapi beberapa aspek geografi sosial atau manusia disentuh juga (1974: 32-33).
Berdasarkan pendapat Hudson, beliau pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian tentang perhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Sosiolinguistik merupakan sebahagian daripada kajian bahasa (1980:1). Wackey pula berpandangan bahawa sosiolinguistik menuntut kemunculan kedua-dua kategori sosial dan kategori bahasa serta kemungkinan kajian perhubungan antara kedua-duanya, iaitu perhubungan antara kategori sosial sebagai tingkah laku, budaya, etnik, pekerjaan, keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa sebagai dialek, aksen, perbendaharaan kata, laras bahasa dan jenis bahasa (1982: 295). Hudson (1980: 5) pula membicarakan sosiolinguistik sebagai suatu kajian bahasa yang berhubungan dengan masyarakat. Di sebaliknya, sosiologi bahasa adalah kajian masyarakat yang berhubungan dengan bahasa. Perbezaan sosiolinguistik dengan sosiologi bahasa adalah dari segi penekanan sahaja.
    Sosiolinguistik juga adalah suatu cabang linguistik yang mengkaji aspek linguistik, struktur dan penggunaan bahasa yang berhubungan institusi atau fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Skop sosiolinguistik ini meliputi soal seperti perhubungan antara demografi dan pemeliharaan bahasa, penemuan bahasa dan kedwibahasaan, perkembangan bahasa pidjin dan kreol serta dialek sosial, penukaran kod dan perancangan bahasa termasuk standardisasi bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987:2).
  Wolfram dan Fasold (1974: xiii) pernah membahagikan skop kajian sosiolinguistik kepada sosiologi bahasa, etnografi pertuturan, linguistik am dan ekologi bahasa. Sosiologi bahasa adalah bidang yang mengkaji interaksi antara faktor-faktor secara besar-besaran dengan bahasa atau situasi dialek. Etnografi pertuturan pula adalah mengenai kegunaan bahasa yang sebenarnya sebagai suatu peristiwa pertuturan. Linguistik am adalah kajian bahasa dalam konteks sosial dan dihubungkan dengan teori linguistik. Sementara itu, ekologi bahasa melihat perhubungan bahasa dengan persekitaran sosial. Hal ini melibatkan aplikasi pengetahuan linguistik kepada masalah sosial atau pendidikan seperti masalah perancangan bahasa, standardisasi bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987: 2).
    Sosiolinguistik juga didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji perhubungan antara bahasa dan gejalanya dengan masyarakat. Salah satu perkara yang berdepan dengan ahli-ahli bahasa ialah masalah bahasa. Masalah ini dengan langsungnya melibatkan pembinaan dan perancangan bahasa. Pada prinsipnya, sosiolinguistik mengkaji aspek-aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan penggunaan bahasa yang ada hubungan dengan fungsi-fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Dengan perkataan lain, sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa sebagai alat kehidupan manusia. Bidang ini memperlihatkan satu kadar pertalian antara bahasa dan masyarakat.
Tetapi sosiolinguistik bukan sekadar mengenai disiplin yang terkandung di dalamnya sahaja. Kajiannya juga melampaui dialek dan bentuk-bentuk pertuturan yang berbeza oleh perbezaan status individu-individu dalam sesebuah masyarakat bahasa. Jadi, fakta penting dalam sosiolinguistik ialah bentuk-bentuk kelakuan sosial masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu. Sosiolinguistik juga adalah bidang yang mengkaji berbagai bahan sosiobudaya yang berhubung dengan aspek-aspek linguistik seperti perhubungan sosial yang berkaitan pula dengan kebudayaan, masyarakat, kumpulan sosial, bahasa, dialek dan bentuk-bentuk gaya yang dibezakan oleh keperihalan taraf pemakai-pemakainya dan sebagainya (Arbak Othman, 1983: 156).
   Walaupun sosiolinguistik dikatakan mengkaji aspek hubungan antara bahasa dengan masyarakat atau sebaliknya, mentakrifkan secara tepat pola hubungan antara bahasa dengan masyarakat merangkumi banyak aspek dan belum ada ahli sosiolinguistik yang menyediakan satu teori sosiolinguistik yang bersepadu, yang dapat dijadikan kajian mereka. Keadaan ini menyebabkan ahli sosiolinguistik mencipta ruang lingkup kajian sosiolinguistik mereka tersendiri. Mereka bebas menamakan kajian sosiolinguistik mereka asalkan kajian tersebut memperlihatkan hubungan antara masyarakat dengan bahasa atau sebaliknya. Oleh itu, bukan mudah menentukan ruang lingkup kajian sosiolinguistik. Misalnya, Svejcer dan Nikol’skij (1986, 33) menyatakan:
“...the subject matter of sociolinguistics is one of its controversial problems. One can find in the literature different definitions of subject matter, revealing serious disagreements on one of the fundamental problems of the discipline. Therefore, there is no concensus concerning the status of sociolinguistics.”
Trudgill (1978:1) juga sependapat dengan Svejcer dan Nikol’skij (1986). Menurutnya:
“The difficulty with sociolinguistics, then, is that it is a term which means many different things to many different people. This multiplicity of interpretations is probably due to the fact that, while everybody would agree that sociolinguistics has something to do with language and society, it is clearly also not concerned with everything that could be considered ‘language and society’
(Nik Safiah Karim, 1981: 3).”
    Eastman (1975,15) menyatakan bahawa ‘sociolinguistics is concerned with the interaction of language and setting’. Menurutnya, banyak hasil kajian sosiolinguistik yang berfokus kepada hubungan bahasa dengan organisasi masyarakat. Contohnya, kajian terhadap bahasa dan hubungannya dengan kelas dan status pengguna bahasa, kajian terhadap repertoir pertuturan individu yang dikaitkan dengan konteks sosial, kajian kepelbagaian bahasa dan kedwibahasaan komuniti bahasa serta kajian-kajian yang sama dengannya (Nik Safiah Karim, 1981: 3).
   Gumperz dan Hymes (1972) pula menyifatkan sosiolinguistik sebagai kajian yang meneliti bahasa dalam konteks penggunaannya. Menurut mereka, dalam usaha untuk berkomunikasi secara efektif dalam sesuatu bahasa, penutur harus memiliki keupayaan sejadi berbahasa yang merangkumi pemahaman terhadap semua aspek yang berkaitan dengan konteks pertuturan, termasuklah budaya sesuatu bahasa. Bagi Dittmar (1976), kajian yang memberi tumpuan kepada aspek perhubungan antara kepelbagaian bahasa dengan kepelbagaian sosial ini dianggap sebagai kajian sosiolinguistik tulen. Menurutnya, kajian sebegini membincangkan masalah utama sosiolinguistik. Sosiolinguistik juga tertumpu kepada kajian terhadap perubahan bahasa. Perubahan bahasa berlaku akibat perkembangan masa dan ruang dan perubahan yang dimaksudkan berlaku kepada semua unsur bahasa seperti fonem, morfem, ayat, makna, kosa kata dan seterusnya  (Madeliene, 1972).
   Ferguson (1966) mengatakan kajian profil sosiolinguistik memerikan pengagihan fungsi bahasa dan kelainan bahasa yang wujud dalam sesebuah komuniti bahasa. Bahasa-bahasa misalnya diperuntukkan fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan dan sebagainya yang telah melalui dasar bahasa sesebuah negara. Pendek kata, profil sosiolinguistik bertujuan memaparkan perkaitan antara indeks bahasa dengan indeks sosial masyarakat (Safiah Karim, 1981: 6).
   Dengan kata lain juga, bidang sosiolinguistik ialah bidang yang menumpukan perhatian kepada bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Bahasa adalah kepunyaan manusia. Melaluinya manusia berhubung, menyampaikan buah fikiran dan perasaan dengan bahasa mereka mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagai anggota satu masyarakat (Safiah Karim, 1988: 4).
    Kesimpulannya, bidang sosiolinguistik itu adalah merupakan satu bidang yang membabitkan kajian bahasa dan masyarakat yang sangat luas cakupannya. Ahli-ahli sosiolinguistik banyak memperkatakan mengenai cakupan bidang sosiolinguistik ini. Disiplin ini banyak menawarkan pelbagai isu menarik yang berhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Kebanyakan ahli sosiolinguistik mengaitkan  takrifan mereka dengan subbidang sosiolinguistik yang mereka kaji dengan fokus sama ada kepada aspek bahasa atau aspek masyarakat bahasa berkenaan. Walau bagaimanapun, hubung jalin antara aspek bahasa dengan masyarakat itu masih dapat dilihat dengan jelas, terutamanya apabila kajian membabitkan latar belakang masyarakat dan kaitannya dengan pelbagai pola penggunaan bahasa (Nik Safiah Karim, 1981: 4). Sosiolinguistik mempelajari dan membahaskan aspek-aspek kemasyarakatan bahasa, khususnya perbezaan-perbezaan (variasi) yang terdapat dalam bahasa yang berkaitan dengan fakta-fakta kemasyarakatan. Selain itu, banyak fungsi yang dimainkan oleh bahasa. Fungsinya sebagai alat perhubungan. Tetapi ada juga aspek-aspek lain yang disumbangkan oleh bahasa, peranannya yang dimainkan selari dengan fungsi utamanya. Aspek-aspek ini menjadi antara bidang yang dicakupi oleh sosiolinguistik.