Bidang linguistik telah
muncul pada Mei 1964 dalam satu persidangan khas untuk
membicarakan hubungan
antara bahasa dan masyarakat. Sebagai satu bidang ilmiah, sosiolinguistik mula
muncul pada abad ini. Pada mulanya, ia dikenali dengan berbagai-bagai nama,
misalnya “linguistik antropologi”, “bahasa dan kebudayaan”, dan sebagai satu
disiplin yang diajar dalam Jabatan Antropologi di Amerika Syarikat. Pada
tahun-tahun 60-an, istilah sosiolinguistik mula digunakan dan kini statusnya
sebagai satu disiplin yang tersendiri telah diterima umum. Keadaan ini wujud
kerana ahli bahasa mendapati bahawa di samping kajian terhadap bahasa, kajian
bahasa yang dikaitkan dengan masyarakat penggunanya menjadi tajuk menarik.
Justeru, usaha untuk mewujudkan sosiolinguistik sebagai satu disiplin ilmu
bermula dari sini.
Sosiolinguistik adalah
salah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama sosiolinguistik
terbentuk daripada dua istilah, iaitu sosio (singkatan daripada
sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik-disiplin yang
meneliti bahasa. Sosiolinguistik adalah bahagian pengajian (studies) dan
pengkajian (research) yang menggabungkan dua disiplin, iaitu sosiologi dan
linguistik. Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi
tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Sosiolinguistik
menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara
kedua-dua entiti tersebut yang rapat. Pengkajian dan pengajian sosiolinguistik
bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik yang wujud antara struktur
bahasa dengan struktur sosial, iaitu sama ada sesuatu struktur bahasa itu
menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu atau sebaliknya (Teo Kok Seong:
42-43).
Menurut Dittmar (1976),
istilah sosiolinguistik pertama kali muncul dalam tulisan Currie (1952) yang
menyatakan bahawa kajian tersebut bertujuan untuk melihat hubungan antara
perlakuan bahasa dan status sosial. Istilah tersebut, yang pada mulanya
bermaksud untuk menyatakan suatu pendekatan antara-disiplin untuk penyelidikan
mendapat penerimaan umum. Di England, tugas sosiolinguistik muncul dengan buah
fikiran Malinowski yang diluaskan oleh Firth. Walaupun istilah institutional
linguistics lebih digunakan, namun bidang yang diliputi tidak berbeza daripada
yang dimaksudkan dengan sosiolinguistik. Bidang sosiolinguistik juga merupakan
daya usaha kelompok ahli antropologi dan sesuai dengan hakikat bahawa
sosiolinguistik itu merupakan cabang kepada bidang antropologi, khususnya
antropologi sosial yang mementingkan analisis struktur sosial masyarakat (Nik
Safiah Karim, 1981: 1).
Menurut Fishman, kajian
sosiolinguistik adalah bersifat kualitatif. Sosiolinguistik lebih berhubungan
dengan perincian-perincian penggunaan bahasa yang sebenarnya seperti deskripsi
pola-pola pemakaian bahasa atau dialek di dalam budaya tertentu, pilihan
pemakaian bahasa atau dialek tertentu yang dilakukan penutur, topik dan latar
pembicaraan.
Bidang sosiolinguistik
membincangkan pelbagai aspek hubungan bahasa dengan masyarakat. Antara aspek
tersebut ialah kedwibahasaan, kepelbagaian bahasa, bahasa, kelainan bahasa,
sikap terhadap bahasa, perancangan bahasa dan sebagainya. Bidang
sosiolinguistik terapan pula menggabungkan kajian sosiolinguistik dengan kajian
pendidikan. Bidang ini telah menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri.
Secara kasarnya,
sosiolinguistik ialah bidang yang memperkatakan aspek-aspek hubungan antara bahasa
dengan masyarakat. Mengikut Bright (1966), tugas ahli sosiolinguistik ialah
“untuk memperlihatkan perbezaan-perbezaan yang saling mempengaruhi antara
struktur bahasa dengan struktur sosial”. Hymes (1968) mendefinisikan kegiatan
bidang sosiolinguistik sebagai satu aktiviti disiplin di mana ahli-ahli
sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan penting masing-masing,
tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik
(Wong Shek Seng, 1987: 1).
Sosiolinguistik sering ditakrifkan
sebagai bidang ilmu yang meneliti segala macam aspek yang berkenaan hubungan
antara bahasa dengan masyarakat. Lingkungan hubungan antara bahasa dengan
masyarakat adalah amat luas dan boleh mengambil pelbagai bentuk atau
manifestasi. Contohnya, gaya bercakap yang berlainan antara masyarakat Timur
dengan masyarakat Barat. Selain itu, terdapat beberapa pengertian lain kepada
konsep sosiolinguistik (Zulkifley Hamid, Ramli Salleh dan Rahim Aman, 2006:
113).
Sosiolinguistik
merupakan disiplin antara sosiologi dan linguistik, iaitu dua bidang ilmu
empiris yang mempunyai kaitan sangat erat. Sosiologi adalah kajian yang
objektif dan ilmiah mengenai manusia dalam masyarakat, dan mengenai lembaga dan
proses sosial yang ada dalam masyarakat. Sosiologi berusaha mengetahui
bagaimana masyarakat itu terjadi, berlangsung dan tetap ada. Dengan mempelajari
lembaga sosial dan segala masalah sosial dalam satu masyarakat, akan diketahui
cara manusia menyesuaikan diri dengan lingkungannya, bagaimana mereka bersosial
dan menempatkan diri dalam tempat masing-masing dalam masyarakat. Linguistik
pula adalah bidang ilmu yang mempelajari bahasa atau bidang ilmu yang mengambil
bahasa sebagai objek kajiannya. Dengan demikian, kesimpulannya ialah
sosiolinguistik itu adalah bidang ilmu disiplin yang mempelajari bahasa dalam
kaitannya dengan penggunaan bahasa itu dalam masyarakat (Noriah Mohamed, 1998:
2).
Berkaitan dengan konsep
sosiolinguistik ini juga, de Saussure (1961) telah menyebutkan bahawa bahasa
adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga
kemasyarakatan yang lain seperti perkahwinan, pewarisan harta peninggalan dan
sebagainya. Dimensi kemasyarakatan bukan hanya memberi ‘makna’ kepada bahasa,
tetapi juga menyebabkan terjadinya ragam-ragam bahasa. Ragam-ragam bahasa ini
bukan hanya dapat menunjukkan adanya perbezaan sosial dalam masyarakat, tetapi
juga memberi indikasi mengenai situasi berbahasa dan mencerminkan tujuan,
topik, kaedah dan modus-modus penggunaan bahasa (Noriah Mohamed, 1998: 3).
Charles Morris dalam
bukunya ’Sign, Language and Behaviour’ (1946) membicarakan bahasa sebagai
sistem lambang yang membezakan tiga macam kajian bahasa berkenaan dengan fokus
perhatian yang diberikan. Jika perhatian difokuskan pada hubungan antara
lambang dengan maknanya, ini disebut semantik. Jika fokus perhatian diarahkan
pada hubungan lambang dengan lambang, ia disebut sintaksis dan kalau fokus
perhatian diarahkan pada hubungan antara lambang dengan para penuturnya disebut
pragmatik. Kajian antara lambang dengan penuturnya disebut sebagai
sosiolinguistik (Noriah Mohamed, 1998: 3).
Sebagai objek dalam
sosiolinguistik, bahasa tidak dilihat atau didekati sebagai bahasa seperti
dilakukan oleh sosiolinguistik umum, melainkan dilihat atau didekati sebagai
sarana interaksi atau komunikasi dalam masyarakat manusia. Sosiolinguistik juga
lazimnya didefinisikan sebagai ilmu yang mempelajari ciri dan pelbagai variasi
bahasa serta hubungan antara bahasawan dengan ciri fungsi variasi bahasa itu
dalam suatu masyarakat bahasa (Kridalaksana 1978: 94). Pengkajian bahasa dengan
dimensi masyarakat disebut juga sosiolinguistik (Nababan 1984: 2).
Sosiolinguistik adalah
kajian tentang ciri-ciri khas variasi bahasa, fungsi-fungsi bahasa dan pemakai
bahasa kerana ketiga-tiga unsur ini selalu berinteraksi, berubah dan saling
mengubah satu sama lain dalam satu masyarakat tutur atau masyarakat bahasa
(Fishman 1972: 4). Menurut beliau lagi, sosiolinguistik berbeza daripada
linguistik. Dalam sosiolinguistik, pada umumnya, yang dikaji bukan deskripsi
linguistik secara terperinci dari segi kegramatisan tetapi tentang perbahanan
dan pemahaman tentang perhubungan antara bahasa dengan berbagai-bagai institusi
sosial. Selain itu, sosiolinguistik adalah kajian mengenai bahasa dan
pemakaiannya dalam konteks sosial dan budaya (Appel, Hubert dan Meijer 1976:
10).
Fishman (1968, 5-13)
juga menyatakan bahawa sosiolinguistik merupakan kajian terhadap ‘pattern
co-variation of language and society’, iaitu kajian yang mementingkan kewujudan
kelainan bahasa seperti dialek (geografi dan sosial), laras, gaya bahasa dan
sebagainya dalam sesebuah komuniti bahasa. Dalam hal ini, Fishman (1968) juga
menyatakan bahawa hanya sosiolinguistik yang merupakan satu-satunya disiplin
ilmu yang mementingkan kajian terhadap bahasa dan hubungannya dengan pengguna
bahasa. Sosiolinguistik adalah cabang ilmu linguistik bersifat interdisipliner
dengan ilmu sosiologi dengan objek penelitian hubungan antara bahasa dengan
faktor-faktor sosial dalam suatu masyarakat tutur atau secara lebih operasional
lagi seperti yang dikatakan Fishman (1972, 1976), “...study of who speak what
language to whom and when” (1998: 5).
Menurut Criper dan
Widdowson (1975: 156), sosiolinguistik adalah kajian bahasa dalam
penggunaannya, dengan tujuan untuk meneliti bagaimana konvensi pemakaian bahasa
berhubungan dengan aspek-aspek lain dari tingkah laku sosial. Sementara itu,
menurut Booji, Kersten dan Verkuyl (1975:139), sosiolinguistik adalah
subdisiplin ilmu bahasa yang mempelajari faktor-faktor sosial yang berperanan
dalam penggunaan bahasa dan pergaulan sosial.
Bagi Hickerson pula, sosiolinguistik adalah pengembangan subbidang
linguistik yang memfokuskan penelitian pada variasi ujaran serta mengkajinya
dalam suatu konteks sosial. Sosiolinguistik meneliti korelasi antara
faktor-faktor sosial itu dengan variasi bahasa (1998: 4).
Di samping itu, Hymes
pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai satu bidang yang mengkaji
perlakonan bahasa dari segi hubungan antara latar (setting), peserta
(participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan
dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan
terhadap sesama sendiri. Beliau juga mendefinisikan bidang sosiolinguistik
sebagai suatu aktiviti antara disiplin, di mana ahli-ahli sosiologi,
antropologi dan falsafah memainkan peranan masing-masing, tetapi peranan yang
penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik (Nik Safiah Karim,
1981: 4).
Menurut Trudgill,
sosiolinguistik adalah sebahagian daripada linguistik yang bersangkutan dengan
bahasa sebagai suatu fenomena sosial dan budaya. Sosiolinguistik menggunakan
bahan, metodologi atau penemuan sains sosial (khususnya sosiologi dan
antropologi), tetapi beberapa aspek geografi sosial atau manusia disentuh juga
(1974: 32-33).
Berdasarkan pendapat
Hudson, beliau pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian tentang
perhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Sosiolinguistik merupakan
sebahagian daripada kajian bahasa (1980:1). Wackey pula berpandangan bahawa
sosiolinguistik menuntut kemunculan kedua-dua kategori sosial dan kategori
bahasa serta kemungkinan kajian perhubungan antara kedua-duanya, iaitu
perhubungan antara kategori sosial sebagai tingkah laku, budaya, etnik,
pekerjaan, keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa keturunan dan
pendidikan, dan kategori bahasa sebagai dialek, aksen, perbendaharaan kata,
laras bahasa dan jenis bahasa (1982: 295). Hudson (1980: 5) pula membicarakan
sosiolinguistik sebagai suatu kajian bahasa yang berhubungan dengan masyarakat.
Di sebaliknya, sosiologi bahasa adalah kajian masyarakat yang berhubungan
dengan bahasa. Perbezaan sosiolinguistik dengan sosiologi bahasa adalah dari
segi penekanan sahaja.
Sosiolinguistik juga
adalah suatu cabang linguistik yang mengkaji aspek linguistik, struktur dan
penggunaan bahasa yang berhubungan institusi atau fungsi sosial, kebudayaan dan
penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Skop sosiolinguistik ini
meliputi soal seperti perhubungan antara demografi dan pemeliharaan bahasa,
penemuan bahasa dan kedwibahasaan, perkembangan bahasa pidjin dan kreol serta
dialek sosial, penukaran kod dan perancangan bahasa termasuk standardisasi
bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987:2).
Wolfram dan Fasold
(1974: xiii) pernah membahagikan skop kajian sosiolinguistik kepada sosiologi
bahasa, etnografi pertuturan, linguistik am dan ekologi bahasa. Sosiologi
bahasa adalah bidang yang mengkaji interaksi antara faktor-faktor secara
besar-besaran dengan bahasa atau situasi dialek. Etnografi pertuturan pula adalah
mengenai kegunaan bahasa yang sebenarnya sebagai suatu peristiwa pertuturan.
Linguistik am adalah kajian bahasa dalam konteks sosial dan dihubungkan dengan
teori linguistik. Sementara itu, ekologi bahasa melihat perhubungan bahasa
dengan persekitaran sosial. Hal ini melibatkan aplikasi pengetahuan linguistik
kepada masalah sosial atau pendidikan seperti masalah perancangan bahasa,
standardisasi bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987: 2).
Sosiolinguistik juga
didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji perhubungan antara bahasa dan
gejalanya dengan masyarakat. Salah satu perkara yang berdepan dengan ahli-ahli
bahasa ialah masalah bahasa. Masalah ini dengan langsungnya melibatkan
pembinaan dan perancangan bahasa. Pada prinsipnya, sosiolinguistik mengkaji
aspek-aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan penggunaan
bahasa yang ada hubungan dengan fungsi-fungsi sosial, kebudayaan dan
penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Dengan perkataan lain,
sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa
sebagai alat kehidupan manusia. Bidang ini memperlihatkan satu kadar pertalian
antara bahasa dan masyarakat.
Tetapi sosiolinguistik
bukan sekadar mengenai disiplin yang terkandung di dalamnya sahaja. Kajiannya
juga melampaui dialek dan bentuk-bentuk pertuturan yang berbeza oleh perbezaan
status individu-individu dalam sesebuah masyarakat bahasa. Jadi, fakta penting
dalam sosiolinguistik ialah bentuk-bentuk kelakuan sosial masyarakat pengguna
sesuatu bahasa itu. Sosiolinguistik juga adalah bidang yang mengkaji berbagai
bahan sosiobudaya yang berhubung dengan aspek-aspek linguistik seperti
perhubungan sosial yang berkaitan pula dengan kebudayaan, masyarakat, kumpulan
sosial, bahasa, dialek dan bentuk-bentuk gaya yang dibezakan oleh keperihalan
taraf pemakai-pemakainya dan sebagainya (Arbak Othman, 1983: 156).
Walaupun
sosiolinguistik dikatakan mengkaji aspek hubungan antara bahasa dengan
masyarakat atau sebaliknya, mentakrifkan secara tepat pola hubungan antara
bahasa dengan masyarakat merangkumi banyak aspek dan belum ada ahli
sosiolinguistik yang menyediakan satu teori sosiolinguistik yang bersepadu,
yang dapat dijadikan kajian mereka. Keadaan ini menyebabkan ahli
sosiolinguistik mencipta ruang lingkup kajian sosiolinguistik mereka
tersendiri. Mereka bebas menamakan kajian sosiolinguistik mereka asalkan kajian
tersebut memperlihatkan hubungan antara masyarakat dengan bahasa atau
sebaliknya. Oleh itu, bukan mudah menentukan ruang lingkup kajian
sosiolinguistik. Misalnya, Svejcer dan Nikol’skij (1986, 33) menyatakan:
“...the subject matter
of sociolinguistics is one of its controversial problems. One can find in the
literature different definitions of subject matter, revealing serious
disagreements on one of the fundamental problems of the discipline. Therefore,
there is no concensus concerning the status of sociolinguistics.”
Trudgill (1978:1) juga
sependapat dengan Svejcer dan Nikol’skij (1986). Menurutnya:
“The difficulty with
sociolinguistics, then, is that it is a term which means many different things
to many different people. This multiplicity of interpretations is probably due
to the fact that, while everybody would agree that sociolinguistics has
something to do with language and society, it is clearly also not concerned
with everything that could be considered ‘language and society’
(Nik Safiah Karim,
1981: 3).”
Eastman (1975,15)
menyatakan bahawa ‘sociolinguistics is concerned with the interaction of
language and setting’. Menurutnya, banyak hasil kajian sosiolinguistik yang
berfokus kepada hubungan bahasa dengan organisasi masyarakat. Contohnya, kajian
terhadap bahasa dan hubungannya dengan kelas dan status pengguna bahasa, kajian
terhadap repertoir pertuturan individu yang dikaitkan dengan konteks sosial,
kajian kepelbagaian bahasa dan kedwibahasaan komuniti bahasa serta
kajian-kajian yang sama dengannya (Nik Safiah Karim, 1981: 3).
Gumperz dan Hymes
(1972) pula menyifatkan sosiolinguistik sebagai kajian yang meneliti bahasa
dalam konteks penggunaannya. Menurut mereka, dalam usaha untuk berkomunikasi
secara efektif dalam sesuatu bahasa, penutur harus memiliki keupayaan sejadi
berbahasa yang merangkumi pemahaman terhadap semua aspek yang berkaitan dengan
konteks pertuturan, termasuklah budaya sesuatu bahasa. Bagi Dittmar (1976),
kajian yang memberi tumpuan kepada aspek perhubungan antara kepelbagaian bahasa
dengan kepelbagaian sosial ini dianggap sebagai kajian sosiolinguistik tulen.
Menurutnya, kajian sebegini membincangkan masalah utama sosiolinguistik.
Sosiolinguistik juga tertumpu kepada kajian terhadap perubahan bahasa.
Perubahan bahasa berlaku akibat perkembangan masa dan ruang dan perubahan yang
dimaksudkan berlaku kepada semua unsur bahasa seperti fonem, morfem, ayat,
makna, kosa kata dan seterusnya
(Madeliene, 1972).
Ferguson (1966)
mengatakan kajian profil sosiolinguistik memerikan pengagihan fungsi bahasa dan
kelainan bahasa yang wujud dalam sesebuah komuniti bahasa. Bahasa-bahasa
misalnya diperuntukkan fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa
pengantar pendidikan dan sebagainya yang telah melalui dasar bahasa sesebuah
negara. Pendek kata, profil sosiolinguistik bertujuan memaparkan perkaitan
antara indeks bahasa dengan indeks sosial masyarakat (Safiah Karim, 1981: 6).
Dengan kata lain juga,
bidang sosiolinguistik ialah bidang yang menumpukan perhatian kepada bahasa
dalam konteks sosial dan kebudayaan. Bahasa adalah kepunyaan manusia.
Melaluinya manusia berhubung, menyampaikan buah fikiran dan perasaan dengan
bahasa mereka mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagai anggota satu
masyarakat (Safiah Karim, 1988: 4).
Kesimpulannya, bidang
sosiolinguistik itu adalah merupakan satu bidang yang membabitkan kajian bahasa
dan masyarakat yang sangat luas cakupannya. Ahli-ahli sosiolinguistik banyak
memperkatakan mengenai cakupan bidang sosiolinguistik ini. Disiplin ini banyak
menawarkan pelbagai isu menarik yang berhubungan antara bahasa dengan
masyarakat. Kebanyakan ahli sosiolinguistik mengaitkan takrifan mereka dengan subbidang
sosiolinguistik yang mereka kaji dengan fokus sama ada kepada aspek bahasa atau
aspek masyarakat bahasa berkenaan. Walau bagaimanapun, hubung jalin antara
aspek bahasa dengan masyarakat itu masih dapat dilihat dengan jelas,
terutamanya apabila kajian membabitkan latar belakang masyarakat dan kaitannya
dengan pelbagai pola penggunaan bahasa (Nik Safiah Karim, 1981: 4).
Sosiolinguistik mempelajari dan membahaskan aspek-aspek kemasyarakatan bahasa,
khususnya perbezaan-perbezaan (variasi) yang terdapat dalam bahasa yang
berkaitan dengan fakta-fakta kemasyarakatan. Selain itu, banyak fungsi yang
dimainkan oleh bahasa. Fungsinya sebagai alat perhubungan. Tetapi ada juga
aspek-aspek lain yang disumbangkan oleh bahasa, peranannya yang dimainkan
selari dengan fungsi utamanya. Aspek-aspek ini menjadi antara bidang yang
dicakupi oleh sosiolinguistik.
(Dipetik daripada http://skb.edu.my/index1.php?v_art&id=50&jm=15)
Terima kasih untuk maklumat mengenai sosiolinguistik ini kerana membantu saya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
ReplyDeletesangat membantu tapi jika nyatakan sekali bibliografi atau rujukan lebih membantu :)
ReplyDeleteTerima kasih utk maklumat.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete