Tuesday, 6 March 2012

Kesantunan Berbahasa


Konsep
Kesantunan (politeness), kesopansantunan, atau etiket adalah tatacara, adat, atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang diterapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu masyarakat tertentu hingga kesantunan itu menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial.

Kesantunan berbahasa dalam aspek kehidupan seharian
Pertama, kesantunan memperlihatkan sikap yang mengandungi nilai sopan santun atau etika dalam pergaulan seharian. Ketika orang dikatakan santun, maka dalam diri seseorang itu terpapar nilai sopan santun yang berlaku secara baik dalam masyarakat tempat seseorang itu mengambil bahagian sebagai anggotanya. Apabila seseorang itu melakukan perkara yang sopan, masyarakat memberikan nilai kepadanya, sama ada secara seketika (mendadak) atau secara konvesional (panjang,memakan waktu lama). Situasi ini pernah saya alami semasa saya dan rakan-rakan membantu orang kampung dalam menjalankan sesuatu upacara seperti perkahwinan, gotong-royong, membina rumah dan sebagainya. Ayat pujian yang dikeluarkan oleh mereka penuh kesantunan misalnya :

i) Terima kasih kerana menolong mak cik mengangkat barang.
ii) Bagus budak ni, bercakap dengan sopan dengan ibu bapa, rakan-rakan, dan orang kampung.

        Kedua-dua dialog di atas menunjukkan bagaimana masyarakat memberi nilai kepada seseorang di dalam komuniti mereka. Nilai yang diberikan oleh masyarakat tersebut berbentuk positif dan penuh beretika, seperti penggunaan perkataan terima kasih, bagus, dan bercakap sopan. Saya menggolongkan nilai tersebut sebagai konvesional (waktu lama) kerana perkataan-perkataan tersebut sering digunakan apabila masyarakat kampung saya memberikan penilaian kepada seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang baik.
      Kedua, kesantunan sangat kontekstual, iaitu berlaku dalam masyarakat, tempat, atau situasi tertentu, tetapi belum tentu berlaku bahagian masyarakat, tempat, atau situasi lain. Ketika seseorang berjumpa dengan dengan rakan karib, boleh sahaja dia menggunakan kata yang kasar dengan suara keras, tetapi hal itu tidak sopan apabila digunakan kepada kawan yang baru dikenali. Situasi sebegini sering saya alami jika saya pulang ke kampung dan bercakap bersama-sama rakan-rakan. Sebelum memulakan perbicaraan atau bertanya khabar, penggunaan kata-kata kesat dan kasar sudah menjadi rutin kami dan ini sudah dianggap sebagai gurauan dan lawak semata-mata. Antara perkataan kasar yang sering digunakan ialah bodoh, bengong, benak, bahalol, tolol, bangang, dan sebagainya. Contoh ayat :

i) Bengong sungguh mung ni.
ii) Tu la makan banyak kepala ikan, sebab tu la benak.
ii) Mung ni dah la bodoh, tolol, bengong, bahlol, bangang. Buat pa pon semua tak jadi.

Gambar Hiasan
  Perkataan seperti bengong, benak, bodoh, bengong, bahlol, dan bangang di atas merupakan perkataan yang sering digunakan oleh rakan-rakan saya di kampug jika kami berbual atau berjenaka. Bagi kami, perkataan tersebut sudah biasa dalam perbualan. Tetapi, ia akan nampak pelik dan janggal jika orang luar dari kampung saya datang ke sini (kampung), persepsi mereka mungkin akan menganggap kami sebagai orang yang suka bercakap kasar dan mereka takut untuk bergaul dengan kami.
  Ketiga, kesantunan selalu bipolar, iaitu memiliki hubungan dua kutub, seperti antara anak dengan ibu bapa, antara orang muda dengan orang lebih tua, antara lelaki dengan wanita, dan murid dengan guru. Dalam konteks kesantunan bipolar, situasi yang saya banyak alami ialah hubungan anak dengan ibu bapa, orang muda dengan orang tua, dan hubungan lelaki dengan wanita. Saya mahu fokus terhadap hubungan anak dengan ibu bapa. Saya kerap mendengar rakan-rakan saya membahasakan diri mereka seperti aku, orang,nama timbangan keluarga dan nama sendiri ketika berbual dengan ibu bapa mereka. Begitu juga dengan saya, saya membahasakan diri orang ketika saya berbual dengan emak saya sejak dari kecil hingga sekarang. Contoh ayat :

i) Mak, tolong ambik baju aku sat.
ii) Orang tak makan lagi mak.
iii) Mak, angah demam hari ni.
iv) Mak, Lan dah nak keluar ni.

   Bagi saya, penggunaan perkataan aku dan orang sebagai bahasa diri ketika bercakap dengan ibu bapa. Hal ini demikian kerana, ibu bapa merupakan orang yang berjasa kepada kita dan perlu dihormati. Penggunaan perkataan angah (nama timbangan keluarga), dan Lan ( nama sendiri) adalah lebih baik kerana ia menunjukkan rasa hormat dan sedap didengar oleh ibu bapa.      

Kesimpulan
Kesantunan (politeness), kesopansantunan, atau etiket adalah tatacara, adat, atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang diterapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu masyarakat tertentu hingga kesantunan itu menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. Kesantunan berbahasa ini berlaku dalam pelbagai situasi kita seharian sama ada dengan ibu bapa, masyarakat, guru, rakan-rakan, saudara mara, dan sebagainya. Jadi, kita sebagai orang Melayu yang kaya dengan adat dan budaya, perlu menggunakan kesantunan berbahasa dalam pelbagai situasi sama ada formal atau tidak formal. Hal ini demikian kerana, penggunaan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian membolehkan diri kita dihormati dan disanjung oleh masyarakat. Jauhi  mengamalkan penggunaan kata-kata kesat, kasar, dan lucah ketika berbual atau berkomunikasi. Penggunaan kata-kata tersebut menyebabkan kita dibenci dan dipinggir oleh masyarakat.

Rujukan 

No comments:

Post a Comment