Santun bahasa bermaksud
penggunaan bahasa berpandukan rumus-rumus tertentu. Jika kita menggunakan
bahasa Inggeris, penggunaan bahasa disebut
rule-governed. Pada umumnya, terdapat tiga jenis peraturan penggunaan
bahasa, iaitu peraturan linguistik,
peraturan sosiolinguistik, dan peraturan
pragmatik. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan itu menunjukkan bahawa
penggunaannya bercirikan santun bahasa.
Peraturan linguistik
adalah peraturan yang memastikan keteraturan sebutan dan nahu dalam penggunaan
bahasa. Sebutan merupakan kaedah kita melahirkan bahasa melalui mekanisma
pengaliran udara dari paru-paru melalui kerongkong dan rongga mulut serta
rongga hidung. Namun, ada persetujuan dalam bentuk rupa sebutan dalam situasi
tertentu apabila bahasa digunakan dalam situasi rasmi. Dan lahirlah sebutan
standard bagi bahasa kebangsaan yang menunjukkan identiti komuniti atau negara
berkenaan yang berbeza dengan negara yang lain.
Nahu merupakan sarana bagi pemikiran. Tanpa nahu, fikiran
tidak dapat dilahirkan dengan baik dan teratur, meskipun terdapat
perbendaharaan kata. Hal ini bermaksud, jika peraturan nahu tidak dipatuhi,
maka fikiran yang lahir tidaklah jelas.
Sama pentingnya dengan peraturan sosiolinguistik, iaitu peraturan yang mengawal ketertiban
sosial antara orang-orang yang berkomunikasi antara satu sama lain. Interaksi
ini boleh berlaku sama ada secara bersemuka, iaitu perbualan, interaksi secara
tidak ketara, iaitu antara pembaca dengan penulis. Ringkasnya, di dalam
interaksi yang seperti ini perlu ada sikap sopan santun, tidak kira dalam
situasi yang mana pun, dan tidak ada adanya perbezaan taraf antara kedua-dua
belah pihak yang terlibat.
Penggunaan bahasa dalam kehidupan sehari-hari mempunyai
tujuan tertentu. Terdapat pelbagai cara untuk mencapai tujuan itu, ada cara
yang kasar dan menekan perasaan da nada juga cara yang halus dan sopan yang
kesannya pasti akan tercapai. Peraturan untuk mencapai tujuan secara sopan,
tetapi berkesan itu digelar sebagai peraturan
pragmatik. Peraturan ini selalu dilupakan oleh penutur, terutama dalam
kalangan mereka yang beranggapan bahawa peraturan nahu itulah satu-satunya
peraturan yang perlu dipatuhi untuk mewujudkan penggunaan bahasa yang baik.
Asmah Haji Omar (2002),
Setia dan Santun Bahasa. Penerbit UPSI : Tanjong Malim,
Perak.
No comments:
Post a Comment