Berdasarkan
hipotesis Sapir-Whorf, multilingualisme
menghasilkan kelompok-kelompok yang mempunyai persepsi-persepsi yang berbeza berkenaan
isu yang serupa. Multilingualisme bermakna pelbagai bahasa akan duduk dalam fikiran
kumpulan-kumpulan yang berbeza. Fikiran itu akan mewarisi idea-idea induk yag
berbeza-beza pula. Dengan demikian persepsi mereka berbeza, maka oleh itu
nilai-nilai mereka berbeza lalu menyebabkan perilaku mereka jadi berbeza-beza.
Keadaan
ini sangat jelas dirasakan sebelum
terlaksananya Penyata Razak di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Generasi
sebelum penyata tersebut memiliki semangat perkauman yang kuat kerena mereka
menggunakan bahasa-bahasa yang berlainan. Penyata Razak mahukan supaya kanak-kanak
daripada bermacam-macam kaum belajar di bawah bumbung yang sama dan belajar
perkara yang sama dengan menggunakan bahasa yang sama. Generasi yang dilahirkan
oleh Penyata Razak menunjukkan sikap yang lebih terbuka terhadap kaum-kaum lain
dan memiliki semangat Malaysia yang lebih ketara. Ini mencerminkan generasi ini
berkongsi banyak persepsi yang sama berkenaan perkara-perkara yang serupa.
Perkembangan-perkembangan
akhir-akhir ini menunjukkan kemajuan pesat ke arah ‘trend multilingualisme’ dalam kalangan generasi muda dan
berpendidikan. Trend ini mengancam cita-cita setiap warga yang cintakan
perpaduan dan keamanan. Dasar bahasa pengantar yang kini diliberalkan akan mencipta generasi rakyat Malaysia yang
berpolarisasi sekali lagi. Apabila ini berlaku, perpecahan adalah suatu akibat
yang tidak dapat dielakkan. Kita akan ditimpa tragedi dan kesengsaraan yang
tiada terperikan.
(Dipetik dan diubahsuai daripada http://sosiolinguistik.blogspot.com/2007/08/14-bahasa-dan-pemikiran.html)
No comments:
Post a Comment