Bahasa-bahasa
asing perlu dipelajari dan difahami, tetapi tidak sampai mencapai tahap ekspresif. Ia perlu difahami untuk
tujuan mengimport idea-idea praktikal dan bagi tujuan-tujuan praktikal seperti
untuk berniaga dan melancong. Apabila bahasa-bahasa asing dipelajari hingga ke
tahap ekspresif, itu bermakna ia akan masuk ke dalam pemikiran Melayu dan
dengan demikian, bukan hanya idea-idea praktikal yang terkandung di dalam
bahasa-bahasa asing itu yang akan masuk ke dalam benak Melayu, malah idea-idea
induk dalam bahasa tersebut pun akan masuk juga ke dalam pemikiran Melayu.
Apabila bahasa asing berjaya masuk ke dalam pemikiran
bangsa Melayu, salah satu kesannya ialah bangsa Melayu itu akan mengalami
gejala hilangnya keyakinan pada keupayaan diri sendiri dan juga hilangnya
semangat kreativiti mereka. Gejala ini jelas dapat dilihat dalam kalangan
golongan terpelajar bekas tanah jajahan yang tidak yakin akan keupayaaan mereka
untuk mencipta produk-produk intelektual sendiri. Mereka berpuas hati dengan
menjadi agen yang menterjemahkan, mengajarkan, mempopularkan dan menerapkan
sahaja produk-produk intelek tokoh-tokoh tersebut di negaranya. Jika ada yang
berani mencipta produk-produk intelektual mereka sendiri, rakan-rakan mereka
pula yang tidak menaruh keyakinan akan mutu produk-produk itu. Oleh hal yang
demikian mereka tidak menggunakan produk-produk intelektual tempatan sebagai
rujukan yang dianggap berautoriti.
Menurut Malik Bennabi, akibat daripada
keadaan seperti di atas individu-individu yang hilang keyakinan pada keupayaan
diri sendiri itu akan terjerumus ke dalam proses meminjam dan terus meminjam
secara langsung dan ‘ad hoc’ segala
macam benda, idea dan institusi yang bersumber pada bahasa-bahasa asing
tersebut, tanpa mempersoalkan kesesuaian dan keserasiannya dengan kebudayaan
bangsa yang meminjamnya. Contohnya, benda-benda yang dipinjam ialah bagaimana
elit tempatan memesang besen mandi,
membuat balkoni, cimni, menyimpan gelas wain dalam almari, dan memasang gebar
musim salji di katil mereka. Sebagai contoh idea yang dipinjam, kita bercuti pada hari Ahad, meraikan hari jadi,
ulangtahun perkahwinan, memotong kek, meniup lilin sambil menyebut hajat di
hati, membaling wang syiling ke dalam telaga hajat, merayakan halloween dan
valentine, memberi hadiah sebutir intan kepada isteri untuk ulangtahun ke-25
perkahwinan, serta minum tos untuk
kesihatan Yang Di-Pertuan Agong. Contoh institusi yang dipinjam ialah pilihanraya ala-barat, perdana menteri
dan kabinetnya, sistem kehakiman sivil, sistem kewangan berdasarkan riba
dan sebagainya.
(Dipetik dan diubahsuai daripada http://sosiolinguistik.blogspot.com/2007/08/14-bahasa-dan-pemikiran.html).
No comments:
Post a Comment