Monday, 16 April 2012

Etika berbahasa


Sistem tingkah laku berbahasa menurut norma-norma budaya ini disebut etika berbahasa atau tatacara berbahasa (Inggeris : Linguistic etiquette, Geertz 1976). Etika berbahasa ini berkaitan rapat dengan pemilihan kode berbahasa, norma-norma sosial, dan system budaya yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, etika berbahasa ini antara lain akan “mengatur” :

a) Apa yang harus kita katakan pada waktu dan keadaan tertentu kepada seseorang penutur lain berkenaan dengan status sosial dan budaya dalam masyarakat itu. Misalnya, kita biasa menggunakan perkataan saya, encik, puan, Dr., prof, Dato’/Datuk, dan sebagainya apabila kita bertemu dengan orang yang lebih tinggi status sosial daripada kita. Contoh ayat :

i) Puan, saya hendak bertanya tentang program yang akan berlangsung esok.
ii) Yang Berhormat, Datuk Hakim bin Osman, tetamu kita pada hari ini.

b) Ragam bahasa apa yang paling wajar kita gunakan dalam situasi sosiolinguistik dan budaya tertentu. Terdapat pelbagai ragam bahasa yang kita bercakap setiap hari, iaitu sesame rakan, ibu bapa, guru, dan masyarakat sekeliling. Dalam setiap situasi tersebut, kita menggunakan ragam bahasa yang berlainan. Contoh ayat :

i) Bodoh betul la hang ni, kerja cam tu pon tak boleh buat.
ii) Emak, saya balik lewat hari ini, ada kelas tambahan kat sekolah.
ii) Cikgu saya tak hadir ke sekolah semalam.
c) Bila dan bagaimana kita menggunakan giliran berbicara kita, dan menyampuk perbicaraan orang lain. Kita harus berbicara mengikut giliran dan tidak menguasai sepenuhnya perbicaraan tersebut, bagi juga ruang kepada rakan-rakan lain untuk memberi pandangan dan kritikan. Kita akan menyampuk perbicaraan apabila diberi peluang daripada rakan-rakan yang lain.

d) Bila kita harus diam berbicara. Kita harus diam berbicara apabila berlaku konflik yang merumitkan seperti kematian, upacara keagamaan, kemalangan, dan sebagainya. Dalam situasi ini kita tidak digalakkan berbicara dengan lantang bagi menjaga dan menghormati seseorang yang terbabit di dalam masalah tersebut.

e) Bagaimana kualiti suara dan sikap fizik kita dalam berbicara itu. Apabila kita bercakap sesama rakan kita biasa menggunakan nada suara yang tinggi dan beremosi. Apabila kita berbicara dengan orang yang lebih tua daripada kita, intonasi suara lebih lembut dan bersopan.

            Seseorang akan disebut bijak berbahasa apabila dia menguasai tatacara atau etika berbahasa itu. Kajian mengenai etika berbahasa ini biasanya dikenali etnografi berbahasa. Dalam kajian anttropologi istilah etnografi digunakan untuk pemerian budaya. Dalam hal ini, memang tidak bertentangan, sebab etika berbahasa itu juga merupakan subsistem kebudayaan.

Rujukan
Abdul Chaer & Leonie Agustina 1995, Sosiolinguistik Perkenalan Awal. Jakarta:PT Rineka Cipta.

No comments:

Post a Comment