Tuesday, 20 March 2012

Latah dan Masyarakat Melayu


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, latah bermaksud seseorang ( biasanya wanita ) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat. Tabiat melatah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur  50 tahun ke atas. Sedangkan hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina.
  Masyarakat Melayu menganggap ‘melatah’ adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dihindari.  Tanggapan begini bersebabkan latah sudah sebati dalam jiwa Melayu dan menjadi tradisi budaya.
  Segelintir masyarakat menganggap latah tidak perlu ditakuti kerana ia dianggap sebagai satu bentuk hiburan yang mencuit hati. Namun begitu, tanpa kita sedari latah boleh menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan bawah sedar, hilang kawalan, dan kepenatan. Penulis buku America Normal : Hyperstartle Syndrome pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah.

Gambar Hiasan
Punca latah
Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak.
     Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori.
   Namun, Azhar berkata, sindrom melatah pada hari ini semakin berkurangan jika dibandingkan era 30 hingga 40 tahun yang lalu. Boleh dikatakan sepanjang era itu, majoriti masyarakat kampung melatah atas faktor sosiologi kerana terikut-ikut sifat melatah yang dialami oleh orang lain.

Situasi
Saya telah berjumpa dengan beberapa orang yang mempunyai tabiat latah ini di kampung saya. Mereka ini menjadi tumpuan dan bahan usikan oleh rakan-rakan. Apa yang saya lihat, latah yang ditunjukkan oleh mereka terdiri daripada beberapa gaya tersendiri. Misalnya, penggunaan bahasa kesat atau lucah, terikut-ikut kata, pergerakan anggota, dan menggunakan benda yang ada di sekeliling mereka. Kesemua perkara tersebut dilakukan oleh mereka di luar kawalan dan tanpa disedari. Selain itu, tabiat latah ini juga menjadi penyakit berjangkit kepada orang yang selalu mengusik kawan mereka yang latah. Perkara ini pernah terjadi di kampung saya di mana seorang kawan yang normal menjadi pelatah apabila dia kerap mengusik rakannya yang latah. Akhirnya, dia pula menjadi mangsa usikan rakan-rakannya yang lain.

Gaya latah  
Terdapat beberapa gaya latah yang pernah saya temui di dalam hidup saya. Antaranya :

1. Penggunaa bahasa kasar atau lucah
Saya pernah mendengar gelagat seorang pelatah perempuan menggunakan kata lucah apabila dia melatah. Situasi ini saya dengar semasa menghadiri majlis kenduri kahwin saudara saya. Perempuan ini akan mengeluarkan kata lucah apabila dia terkejut atau diusik oleh rakan-rakannya. Contoh ayat :

Oh burit mak mung, Oh burit burit,…
Oh butoh pak mung..
Terdapat juga si pelatah menggunakan kata-kata kesat ketika mereka melatah. Misalnya :

Oh palat pak mung,
Bodoh, begong mung
Oh babi ooo.
2. Terikut kata-kata orang
Ada juga segelintir pelatah yang saya temui di kampung, terikut-ikut kata orang yang mengusiknya. Segala perkataan yang dikatakan oleh seseorang akan diikut oleh pelatah tersebut. Contoh ayat :

Si A : oh mak mung
Pelatah : oh mak mung
3. Pergerakan angota badan
Terdapat juga seorang pelatah akan mengunakan pergerakan badan seperti tangan, kaki, kepala, bahu, dan sebgagainya ketika melatah. Bagi pelatah yang pandai bersilat, mereka akan bersilat beberapa minit apabila berlatah. Bagi pelatah yang pandai menari, mereka akan menari-nari. Kesannya, pelatah akan mengalami kepenatan dan tidak bermaya apabila telah sedar.

4. Menggunakan benda yang ada disekeliling
Gaya latah ini agak berbahaya kepada orang ramai jika pelatah menggunakan benda atau alat yang ada di sekeliling mereka seperti pisau, kayu, parang dan sebagainya. Alat-alat ini sangat berbahaya jika ia berada di sebelah si pelatah, silap hari bulan nyawa anda akan terkorban. Kita tidak boleh menyalahkan si pelatah kerana mereka tidak sedar apa yang dilakukan oleh mereka. Jadi, untuk mengelakkan kejadian yang malang, alat-alat yang tajam dan keras tersebut perlu dihindari daripada berada dekat dengan si pelatah.

Kesimpulan
Kesimpulannya, melatah masih ada dalam masyarakat Melayu biarpun makin berkurangan. Latah bukan suatu penyakit, tetapi janganlah kita jadikan latah suatu penyakit hati pula. Sungguhpun latah dianggap menghiburkan, melatah boleh memudaratkan individu itu kerana pergerakan fizikal yang keterlaluan.  Individu yag melatah itu boleh berasa lelah dan mengah sehingga membahayakan diri. Dewasa ini, ‘latah’ boleh membawa makna yang lain, iaitu perbuatan seseorang yang cepat terasa dan menjadi marah apabila dirinya ‘dijolok’ dengan cerita yang membabitkan maruah diri.

No comments:

Post a Comment