Wednesday, 21 March 2012

Bahasa Ejekan


Gambar Hiasan
Ragam bahasa ialah beberapa jenis bahasa khas yang merupakan bahasa dalam karangan atau percakapan kerana menguatkan tujuan kata dan mempertajamkan hasilnya kepada faham pendengar dan pembaca. Salah satu ragam bahasa adalah bahasa mengejek. Bahasa mengejek ialah bahasa yang mengata akan seseorang atau sesuatu kumpulan dengan perkataan yang tepat, tetapi dengan gaya yang mengajukan keburukannya serta mempermain-mainkan dia supaya Nampak bodohnya, atau sia-sianya atau supaya ditertawakan orang.
     Bahasa ejekan ini juga pernah digunakan oleh rakan-rakan saya apabila mereka ingin mengejek seseorang. Banyak juga perkataan ejekan yang digunakan oleh mereka untuk dijadikan modal mengejek. Ada kalanya, bahasa ejekan yang digunakan oleh mereka boleh menyebabkan orang yang diejek itu terasa malu, naik angin, dan sampai bergaduh sesama sendiri. Hal ini demikian kerana, rakan yang kena ejek itu tidak boleh menahan kemarahannya akibat dia diejek di hadapan rakan-rakan yang lain.

Situasi
Bahasa mengejek ini wujud dalam beberapa situasi. Antara situasi yang pernah saya dengar daripada kawan-kawan saya adalah :

1. Apabila seseorang mendapat sesuatu yang baharu. Misalnya, dia membeli baju baru, kasut bola baru, motosikal baru, seluar baru dan sebagainya. Rakan-rakan saya yang kaki mengejek ini akan mengejek si polan tersebut apabila dia datang bersembang dengan kami. Antara bahasa ejekan yang digunakan :

i) Ada la kawan kita ni beli baju baru, lawa pulak tu.
(Ada kawan kita ni, beli baju baru, cantik)
ii) Da duit sikit, beli kasut baru bukan nak simpan
(Ada duit sikit, beli kasut baru bukan hendak simpan)
iii) Da bahu kedai la, kat depan kita ni.
(Ada bau kedai, dekat hadapan kita ini) 
2. Apabila seseorang itu suka berangan. Misalnya, hendak beli kereta, berkahwin, dan sebagainya. Bahasa ejekan yang digunakan oleh kawan-kawan saya ialah :

i) Muka tak malu, kerja pon dak, nak berangan nak beli keta
(Muka tidak malu, kerja pun tidak hendak berangan hendak beli kereta)
ii) Sebelum mung nak ngorat betina tu, lebih baik klik cermin muka dulu
(Sebelum kamu hendak mengusik perempuan itu, lebih baik balik cermin muka dulu)
iii) Keja pon dak, nak kawin, nak bagi anak orang makan pasir?.
(Kerja pun tidak ada hendak berkahwin, hendak berry anak orang makan pasir?)
3. Apabila seseorang itu kalah dalam sesuatu permainan misalnya, permainan bola sepak, dam, sepak takraw, badminton dan sebagainya. Antara bahasa ejekan yang saya pernah dengar ialah :

i) Kata juara, ngan aku pon kalah
(Kata juara, dengan aku pun kalah)
ii) Kalu min bola cam ni, lebih baik lawan ngan budak-budak
(Kalau main bola seperti ini, lebih baik lawan dengan budak-budak)
iii) Aku malas nak min dam dengan mung, asyik kalah ja
(Aku malas hendak main dam dengan kamu, selalu kalah sahaja)
iv) Alah lawan ngan dia ni, pejam mata pon leh menang.
(Lawan dengan dia ini, pejam mata pun boleh menang).
4. Apabila seseorang itu merajuk seperti tidak bercakap, bermasam muka, dan berkurung di dalam rumah. Bahasa ejekan yang digunakan ialah :

i) Alah baru kata sikit, dah nak merajuk, cam budak kecik
(Baru kata sikit, sudah hendak merajuk, macam budak kecil)
ii) Kami tak kisah tak boh tegur kami, bia la banyak lagi orang nak tegur kami
( Kami tidak kisah tidak mahu tegur kami, biarlah banyak lagi orang hendak tegur kami)
iii) Bia la tak boh bergaul ngan kami, esok nak kenduri kami jugak nak tolong.
(Biar tidak mahu tegur kami, nanti hendak kenduri kami juga hendak tolong)
5. Apabila seseorang itu sedang leka menelefon atau bersms hingga tidak mempedulikan rakan-rakan yang lain. Bahasa ejekan yang digunakan ialah :

i) Orang laen pon da awek jugak, tak da la selarih telepon
(orang lain pun ada teman wanita juga, tidak selalu telefon)
ii) Kalu aku mesej tak balah pon, kalu awek mesej dan-dan balah, kata tak dak kredit la
(Kalau aku mesej tidak balas pun, kalau teman wanita mesej cepat balas, kata tidak ada kredit)
iii) Kalu cakak ngan awek, lembut ja pijak semut pon tak mati.
(Kalau bercakap dengan teman wanita, lembut sahaja pijak semut pun tidak mati)
     Itulah beberapa bahasa ejekan yang pernah saya dengar semasa saya bercakap atau bergaul dengan rakan-rakan saya di kampung. Bahasa ejekan yang digunakan oleh rakan-rakan saya agak kasar dan memberi kesan yang mendalam apabila seseorang itu diejek. Tetapi, ini sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan kami dan kami banyak menahan sabar apabila diejek. Jika antara kami mempunyai idea atau modal, kami saling balas-membalas antara satu sama lain. Bagi mereka yang tidak tahan diejek, biasanya mereka akan menjauhkan diri dan pulang ke rumah. Saya beranggapan saudara saudari pernah mengalami situasi seperti saya, cuma bahasa ejekan yang digunakan di kawasan saudara saudari berbeza dengan kawasan saya.

No comments:

Post a Comment