Monday 5 March 2012

Konsep Sosiolinguistik


Bidang linguistik telah muncul pada Mei 1964 dalam satu persidangan khas untuk
membicarakan hubungan antara bahasa dan masyarakat. Sebagai satu bidang ilmiah, sosiolinguistik mula muncul pada abad ini. Pada mulanya, ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, misalnya “linguistik antropologi”, “bahasa dan kebudayaan”, dan sebagai satu disiplin yang diajar dalam Jabatan Antropologi di Amerika Syarikat. Pada tahun-tahun 60-an, istilah sosiolinguistik mula digunakan dan kini statusnya sebagai satu disiplin yang tersendiri telah diterima umum. Keadaan ini wujud kerana ahli bahasa mendapati bahawa di samping kajian terhadap bahasa, kajian bahasa yang dikaitkan dengan masyarakat penggunanya menjadi tajuk menarik. Justeru, usaha untuk mewujudkan sosiolinguistik sebagai satu disiplin ilmu bermula dari sini.
   Sosiolinguistik adalah salah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik-disiplin yang meneliti bahasa. Sosiolinguistik adalah bahagian pengajian (studies) dan pengkajian (research) yang menggabungkan dua disiplin, iaitu sosiologi dan linguistik. Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Sosiolinguistik menganggap bahasa dan masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara kedua-dua entiti tersebut yang rapat. Pengkajian dan pengajian sosiolinguistik bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik yang wujud antara struktur bahasa dengan struktur sosial, iaitu sama ada sesuatu struktur bahasa itu menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu atau sebaliknya (Teo Kok Seong: 42-43).
    Menurut Dittmar (1976), istilah sosiolinguistik pertama kali muncul dalam tulisan Currie (1952) yang menyatakan bahawa kajian tersebut bertujuan untuk melihat hubungan antara perlakuan bahasa dan status sosial. Istilah tersebut, yang pada mulanya bermaksud untuk menyatakan suatu pendekatan antara-disiplin untuk penyelidikan mendapat penerimaan umum. Di England, tugas sosiolinguistik muncul dengan buah fikiran Malinowski yang diluaskan oleh Firth. Walaupun istilah institutional linguistics lebih digunakan, namun bidang yang diliputi tidak berbeza daripada yang dimaksudkan dengan sosiolinguistik. Bidang sosiolinguistik juga merupakan daya usaha kelompok ahli antropologi dan sesuai dengan hakikat bahawa sosiolinguistik itu merupakan cabang kepada bidang antropologi, khususnya antropologi sosial yang mementingkan analisis struktur sosial masyarakat (Nik Safiah Karim, 1981: 1).
    Menurut Fishman, kajian sosiolinguistik adalah bersifat kualitatif. Sosiolinguistik lebih berhubungan dengan perincian-perincian penggunaan bahasa yang sebenarnya seperti deskripsi pola-pola pemakaian bahasa atau dialek di dalam budaya tertentu, pilihan pemakaian bahasa atau dialek tertentu yang dilakukan penutur, topik dan latar pembicaraan.
   Bidang sosiolinguistik membincangkan pelbagai aspek hubungan bahasa dengan masyarakat. Antara aspek tersebut ialah kedwibahasaan, kepelbagaian bahasa, bahasa, kelainan bahasa, sikap terhadap bahasa, perancangan bahasa dan sebagainya. Bidang sosiolinguistik terapan pula menggabungkan kajian sosiolinguistik dengan kajian pendidikan. Bidang ini telah menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri.
    Secara kasarnya, sosiolinguistik ialah bidang yang memperkatakan aspek-aspek hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Mengikut Bright (1966), tugas ahli sosiolinguistik ialah “untuk memperlihatkan perbezaan-perbezaan yang saling mempengaruhi antara struktur bahasa dengan struktur sosial”. Hymes (1968) mendefinisikan kegiatan bidang sosiolinguistik sebagai satu aktiviti disiplin di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan penting masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik (Wong Shek Seng, 1987: 1).
   Sosiolinguistik sering ditakrifkan sebagai bidang ilmu yang meneliti segala macam aspek yang berkenaan hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Lingkungan hubungan antara bahasa dengan masyarakat adalah amat luas dan boleh mengambil pelbagai bentuk atau manifestasi. Contohnya, gaya bercakap yang berlainan antara masyarakat Timur dengan masyarakat Barat. Selain itu, terdapat beberapa pengertian lain kepada konsep sosiolinguistik (Zulkifley Hamid, Ramli Salleh dan Rahim Aman, 2006: 113).
  Sosiolinguistik merupakan disiplin antara sosiologi dan linguistik, iaitu dua bidang ilmu empiris yang mempunyai kaitan sangat erat. Sosiologi adalah kajian yang objektif dan ilmiah mengenai manusia dalam masyarakat, dan mengenai lembaga dan proses sosial yang ada dalam masyarakat. Sosiologi berusaha mengetahui bagaimana masyarakat itu terjadi, berlangsung dan tetap ada. Dengan mempelajari lembaga sosial dan segala masalah sosial dalam satu masyarakat, akan diketahui cara manusia menyesuaikan diri dengan lingkungannya, bagaimana mereka bersosial dan menempatkan diri dalam tempat masing-masing dalam masyarakat. Linguistik pula adalah bidang ilmu yang mempelajari bahasa atau bidang ilmu yang mengambil bahasa sebagai objek kajiannya. Dengan demikian, kesimpulannya ialah sosiolinguistik itu adalah bidang ilmu disiplin yang mempelajari bahasa dalam kaitannya dengan penggunaan bahasa itu dalam masyarakat (Noriah Mohamed, 1998: 2).
    Berkaitan dengan konsep sosiolinguistik ini juga, de Saussure (1961) telah menyebutkan bahawa bahasa adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga kemasyarakatan yang lain seperti perkahwinan, pewarisan harta peninggalan dan sebagainya. Dimensi kemasyarakatan bukan hanya memberi ‘makna’ kepada bahasa, tetapi juga menyebabkan terjadinya ragam-ragam bahasa. Ragam-ragam bahasa ini bukan hanya dapat menunjukkan adanya perbezaan sosial dalam masyarakat, tetapi juga memberi indikasi mengenai situasi berbahasa dan mencerminkan tujuan, topik, kaedah dan modus-modus penggunaan bahasa (Noriah Mohamed, 1998: 3).
   Charles Morris dalam bukunya ’Sign, Language and Behaviour’ (1946) membicarakan bahasa sebagai sistem lambang yang membezakan tiga macam kajian bahasa berkenaan dengan fokus perhatian yang diberikan. Jika perhatian difokuskan pada hubungan antara lambang dengan maknanya, ini disebut semantik. Jika fokus perhatian diarahkan pada hubungan lambang dengan lambang, ia disebut sintaksis dan kalau fokus perhatian diarahkan pada hubungan antara lambang dengan para penuturnya disebut pragmatik. Kajian antara lambang dengan penuturnya disebut sebagai sosiolinguistik (Noriah Mohamed, 1998: 3).
   Sebagai objek dalam sosiolinguistik, bahasa tidak dilihat atau didekati sebagai bahasa seperti dilakukan oleh sosiolinguistik umum, melainkan dilihat atau didekati sebagai sarana interaksi atau komunikasi dalam masyarakat manusia. Sosiolinguistik juga lazimnya didefinisikan sebagai ilmu yang mempelajari ciri dan pelbagai variasi bahasa serta hubungan antara bahasawan dengan ciri fungsi variasi bahasa itu dalam suatu masyarakat bahasa (Kridalaksana 1978: 94). Pengkajian bahasa dengan dimensi masyarakat disebut juga sosiolinguistik (Nababan 1984: 2).
Sosiolinguistik adalah kajian tentang ciri-ciri khas variasi bahasa, fungsi-fungsi bahasa dan pemakai bahasa kerana ketiga-tiga unsur ini selalu berinteraksi, berubah dan saling mengubah satu sama lain dalam satu masyarakat tutur atau masyarakat bahasa (Fishman 1972: 4). Menurut beliau lagi, sosiolinguistik berbeza daripada linguistik. Dalam sosiolinguistik, pada umumnya, yang dikaji bukan deskripsi linguistik secara terperinci dari segi kegramatisan tetapi tentang perbahanan dan pemahaman tentang perhubungan antara bahasa dengan berbagai-bagai institusi sosial. Selain itu, sosiolinguistik adalah kajian mengenai bahasa dan pemakaiannya dalam konteks sosial dan budaya (Appel, Hubert dan Meijer 1976: 10).
   Fishman (1968, 5-13) juga menyatakan bahawa sosiolinguistik merupakan kajian terhadap ‘pattern co-variation of language and society’, iaitu kajian yang mementingkan kewujudan kelainan bahasa seperti dialek (geografi dan sosial), laras, gaya bahasa dan sebagainya dalam sesebuah komuniti bahasa. Dalam hal ini, Fishman (1968) juga menyatakan bahawa hanya sosiolinguistik yang merupakan satu-satunya disiplin ilmu yang mementingkan kajian terhadap bahasa dan hubungannya dengan pengguna bahasa. Sosiolinguistik adalah cabang ilmu linguistik bersifat interdisipliner dengan ilmu sosiologi dengan objek penelitian hubungan antara bahasa dengan faktor-faktor sosial dalam suatu masyarakat tutur atau secara lebih operasional lagi seperti yang dikatakan Fishman (1972, 1976), “...study of who speak what language to whom and when” (1998: 5).
    Menurut Criper dan Widdowson (1975: 156), sosiolinguistik adalah kajian bahasa dalam penggunaannya, dengan tujuan untuk meneliti bagaimana konvensi pemakaian bahasa berhubungan dengan aspek-aspek lain dari tingkah laku sosial. Sementara itu, menurut Booji, Kersten dan Verkuyl (1975:139), sosiolinguistik adalah subdisiplin ilmu bahasa yang mempelajari faktor-faktor sosial yang berperanan dalam penggunaan bahasa dan pergaulan sosial.  Bagi Hickerson pula, sosiolinguistik adalah pengembangan subbidang linguistik yang memfokuskan penelitian pada variasi ujaran serta mengkajinya dalam suatu konteks sosial. Sosiolinguistik meneliti korelasi antara faktor-faktor sosial itu dengan variasi bahasa (1998: 4).
Di samping itu, Hymes pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai satu bidang yang mengkaji perlakonan bahasa dari segi hubungan antara latar (setting), peserta (participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama sendiri. Beliau juga mendefinisikan bidang sosiolinguistik sebagai suatu aktiviti antara disiplin, di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik (Nik Safiah Karim, 1981: 4).
    Menurut Trudgill, sosiolinguistik adalah sebahagian daripada linguistik yang bersangkutan dengan bahasa sebagai suatu fenomena sosial dan budaya. Sosiolinguistik menggunakan bahan, metodologi atau penemuan sains sosial (khususnya sosiologi dan antropologi), tetapi beberapa aspek geografi sosial atau manusia disentuh juga (1974: 32-33).
Berdasarkan pendapat Hudson, beliau pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian tentang perhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Sosiolinguistik merupakan sebahagian daripada kajian bahasa (1980:1). Wackey pula berpandangan bahawa sosiolinguistik menuntut kemunculan kedua-dua kategori sosial dan kategori bahasa serta kemungkinan kajian perhubungan antara kedua-duanya, iaitu perhubungan antara kategori sosial sebagai tingkah laku, budaya, etnik, pekerjaan, keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa sebagai dialek, aksen, perbendaharaan kata, laras bahasa dan jenis bahasa (1982: 295). Hudson (1980: 5) pula membicarakan sosiolinguistik sebagai suatu kajian bahasa yang berhubungan dengan masyarakat. Di sebaliknya, sosiologi bahasa adalah kajian masyarakat yang berhubungan dengan bahasa. Perbezaan sosiolinguistik dengan sosiologi bahasa adalah dari segi penekanan sahaja.
    Sosiolinguistik juga adalah suatu cabang linguistik yang mengkaji aspek linguistik, struktur dan penggunaan bahasa yang berhubungan institusi atau fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Skop sosiolinguistik ini meliputi soal seperti perhubungan antara demografi dan pemeliharaan bahasa, penemuan bahasa dan kedwibahasaan, perkembangan bahasa pidjin dan kreol serta dialek sosial, penukaran kod dan perancangan bahasa termasuk standardisasi bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987:2).
  Wolfram dan Fasold (1974: xiii) pernah membahagikan skop kajian sosiolinguistik kepada sosiologi bahasa, etnografi pertuturan, linguistik am dan ekologi bahasa. Sosiologi bahasa adalah bidang yang mengkaji interaksi antara faktor-faktor secara besar-besaran dengan bahasa atau situasi dialek. Etnografi pertuturan pula adalah mengenai kegunaan bahasa yang sebenarnya sebagai suatu peristiwa pertuturan. Linguistik am adalah kajian bahasa dalam konteks sosial dan dihubungkan dengan teori linguistik. Sementara itu, ekologi bahasa melihat perhubungan bahasa dengan persekitaran sosial. Hal ini melibatkan aplikasi pengetahuan linguistik kepada masalah sosial atau pendidikan seperti masalah perancangan bahasa, standardisasi bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987: 2).
    Sosiolinguistik juga didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji perhubungan antara bahasa dan gejalanya dengan masyarakat. Salah satu perkara yang berdepan dengan ahli-ahli bahasa ialah masalah bahasa. Masalah ini dengan langsungnya melibatkan pembinaan dan perancangan bahasa. Pada prinsipnya, sosiolinguistik mengkaji aspek-aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan penggunaan bahasa yang ada hubungan dengan fungsi-fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Dengan perkataan lain, sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa sebagai alat kehidupan manusia. Bidang ini memperlihatkan satu kadar pertalian antara bahasa dan masyarakat.
Tetapi sosiolinguistik bukan sekadar mengenai disiplin yang terkandung di dalamnya sahaja. Kajiannya juga melampaui dialek dan bentuk-bentuk pertuturan yang berbeza oleh perbezaan status individu-individu dalam sesebuah masyarakat bahasa. Jadi, fakta penting dalam sosiolinguistik ialah bentuk-bentuk kelakuan sosial masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu. Sosiolinguistik juga adalah bidang yang mengkaji berbagai bahan sosiobudaya yang berhubung dengan aspek-aspek linguistik seperti perhubungan sosial yang berkaitan pula dengan kebudayaan, masyarakat, kumpulan sosial, bahasa, dialek dan bentuk-bentuk gaya yang dibezakan oleh keperihalan taraf pemakai-pemakainya dan sebagainya (Arbak Othman, 1983: 156).
   Walaupun sosiolinguistik dikatakan mengkaji aspek hubungan antara bahasa dengan masyarakat atau sebaliknya, mentakrifkan secara tepat pola hubungan antara bahasa dengan masyarakat merangkumi banyak aspek dan belum ada ahli sosiolinguistik yang menyediakan satu teori sosiolinguistik yang bersepadu, yang dapat dijadikan kajian mereka. Keadaan ini menyebabkan ahli sosiolinguistik mencipta ruang lingkup kajian sosiolinguistik mereka tersendiri. Mereka bebas menamakan kajian sosiolinguistik mereka asalkan kajian tersebut memperlihatkan hubungan antara masyarakat dengan bahasa atau sebaliknya. Oleh itu, bukan mudah menentukan ruang lingkup kajian sosiolinguistik. Misalnya, Svejcer dan Nikol’skij (1986, 33) menyatakan:
“...the subject matter of sociolinguistics is one of its controversial problems. One can find in the literature different definitions of subject matter, revealing serious disagreements on one of the fundamental problems of the discipline. Therefore, there is no concensus concerning the status of sociolinguistics.”
Trudgill (1978:1) juga sependapat dengan Svejcer dan Nikol’skij (1986). Menurutnya:
“The difficulty with sociolinguistics, then, is that it is a term which means many different things to many different people. This multiplicity of interpretations is probably due to the fact that, while everybody would agree that sociolinguistics has something to do with language and society, it is clearly also not concerned with everything that could be considered ‘language and society’
(Nik Safiah Karim, 1981: 3).”
    Eastman (1975,15) menyatakan bahawa ‘sociolinguistics is concerned with the interaction of language and setting’. Menurutnya, banyak hasil kajian sosiolinguistik yang berfokus kepada hubungan bahasa dengan organisasi masyarakat. Contohnya, kajian terhadap bahasa dan hubungannya dengan kelas dan status pengguna bahasa, kajian terhadap repertoir pertuturan individu yang dikaitkan dengan konteks sosial, kajian kepelbagaian bahasa dan kedwibahasaan komuniti bahasa serta kajian-kajian yang sama dengannya (Nik Safiah Karim, 1981: 3).
   Gumperz dan Hymes (1972) pula menyifatkan sosiolinguistik sebagai kajian yang meneliti bahasa dalam konteks penggunaannya. Menurut mereka, dalam usaha untuk berkomunikasi secara efektif dalam sesuatu bahasa, penutur harus memiliki keupayaan sejadi berbahasa yang merangkumi pemahaman terhadap semua aspek yang berkaitan dengan konteks pertuturan, termasuklah budaya sesuatu bahasa. Bagi Dittmar (1976), kajian yang memberi tumpuan kepada aspek perhubungan antara kepelbagaian bahasa dengan kepelbagaian sosial ini dianggap sebagai kajian sosiolinguistik tulen. Menurutnya, kajian sebegini membincangkan masalah utama sosiolinguistik. Sosiolinguistik juga tertumpu kepada kajian terhadap perubahan bahasa. Perubahan bahasa berlaku akibat perkembangan masa dan ruang dan perubahan yang dimaksudkan berlaku kepada semua unsur bahasa seperti fonem, morfem, ayat, makna, kosa kata dan seterusnya  (Madeliene, 1972).
   Ferguson (1966) mengatakan kajian profil sosiolinguistik memerikan pengagihan fungsi bahasa dan kelainan bahasa yang wujud dalam sesebuah komuniti bahasa. Bahasa-bahasa misalnya diperuntukkan fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar pendidikan dan sebagainya yang telah melalui dasar bahasa sesebuah negara. Pendek kata, profil sosiolinguistik bertujuan memaparkan perkaitan antara indeks bahasa dengan indeks sosial masyarakat (Safiah Karim, 1981: 6).
   Dengan kata lain juga, bidang sosiolinguistik ialah bidang yang menumpukan perhatian kepada bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Bahasa adalah kepunyaan manusia. Melaluinya manusia berhubung, menyampaikan buah fikiran dan perasaan dengan bahasa mereka mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagai anggota satu masyarakat (Safiah Karim, 1988: 4).
    Kesimpulannya, bidang sosiolinguistik itu adalah merupakan satu bidang yang membabitkan kajian bahasa dan masyarakat yang sangat luas cakupannya. Ahli-ahli sosiolinguistik banyak memperkatakan mengenai cakupan bidang sosiolinguistik ini. Disiplin ini banyak menawarkan pelbagai isu menarik yang berhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Kebanyakan ahli sosiolinguistik mengaitkan  takrifan mereka dengan subbidang sosiolinguistik yang mereka kaji dengan fokus sama ada kepada aspek bahasa atau aspek masyarakat bahasa berkenaan. Walau bagaimanapun, hubung jalin antara aspek bahasa dengan masyarakat itu masih dapat dilihat dengan jelas, terutamanya apabila kajian membabitkan latar belakang masyarakat dan kaitannya dengan pelbagai pola penggunaan bahasa (Nik Safiah Karim, 1981: 4). Sosiolinguistik mempelajari dan membahaskan aspek-aspek kemasyarakatan bahasa, khususnya perbezaan-perbezaan (variasi) yang terdapat dalam bahasa yang berkaitan dengan fakta-fakta kemasyarakatan. Selain itu, banyak fungsi yang dimainkan oleh bahasa. Fungsinya sebagai alat perhubungan. Tetapi ada juga aspek-aspek lain yang disumbangkan oleh bahasa, peranannya yang dimainkan selari dengan fungsi utamanya. Aspek-aspek ini menjadi antara bidang yang dicakupi oleh sosiolinguistik.

4 comments:

  1. Terima kasih untuk maklumat mengenai sosiolinguistik ini kerana membantu saya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

    ReplyDelete
  2. sangat membantu tapi jika nyatakan sekali bibliografi atau rujukan lebih membantu :)

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete