Wednesday, 4 April 2012

Multigualisme di Malaysia


Berdasarkan hipotesis Sapir-Whorf, multilingualisme menghasilkan kelompok-kelompok yang mempunyai persepsi-persepsi yang berbeza berkenaan isu yang serupa. Multilingualisme bermakna pelbagai bahasa akan duduk dalam fikiran kumpulan-kumpulan yang berbeza. Fikiran itu akan mewarisi idea-idea induk yag berbeza-beza pula. Dengan demikian persepsi mereka berbeza, maka oleh itu nilai-nilai mereka berbeza lalu menyebabkan perilaku mereka jadi berbeza-beza.
Keadaan ini sangat  jelas dirasakan sebelum terlaksananya Penyata Razak di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Generasi sebelum penyata tersebut memiliki semangat perkauman yang kuat kerena mereka menggunakan bahasa-bahasa yang berlainan. Penyata Razak mahukan supaya kanak-kanak daripada bermacam-macam kaum belajar di bawah bumbung yang sama dan belajar perkara yang sama dengan menggunakan bahasa yang sama. Generasi yang dilahirkan oleh Penyata Razak menunjukkan sikap yang lebih terbuka terhadap kaum-kaum lain dan memiliki semangat Malaysia yang lebih ketara. Ini mencerminkan generasi ini berkongsi banyak persepsi yang sama berkenaan perkara-perkara yang serupa.
Perkembangan-perkembangan akhir-akhir ini menunjukkan kemajuan pesat ke arah ‘trend multilingualisme’ dalam kalangan generasi muda dan berpendidikan. Trend ini mengancam cita-cita setiap warga yang cintakan perpaduan dan keamanan. Dasar bahasa pengantar yang kini diliberalkan akan mencipta generasi rakyat Malaysia yang berpolarisasi sekali lagi. Apabila ini berlaku, perpecahan adalah suatu akibat yang tidak dapat dielakkan. Kita akan ditimpa tragedi dan kesengsaraan yang tiada terperikan.

Tuesday, 3 April 2012

Kedudukan bahasa-bahasa asing


Bahasa-bahasa asing perlu dipelajari dan difahami, tetapi tidak sampai mencapai tahap ekspresif. Ia perlu difahami untuk tujuan mengimport idea-idea praktikal dan bagi tujuan-tujuan praktikal seperti untuk berniaga dan melancong. Apabila bahasa-bahasa asing dipelajari hingga ke tahap ekspresif, itu bermakna ia akan masuk ke dalam pemikiran Melayu dan dengan demikian, bukan hanya idea-idea praktikal yang terkandung di dalam bahasa-bahasa asing itu yang akan masuk ke dalam benak Melayu, malah idea-idea induk dalam bahasa tersebut pun akan masuk juga ke dalam pemikiran Melayu.
 Apabila bahasa asing berjaya masuk ke dalam pemikiran bangsa Melayu, salah satu kesannya ialah bangsa Melayu itu akan mengalami gejala hilangnya keyakinan pada keupayaan diri sendiri dan juga hilangnya semangat kreativiti mereka. Gejala ini jelas dapat dilihat dalam kalangan golongan terpelajar bekas tanah jajahan yang tidak yakin akan keupayaaan mereka untuk mencipta produk-produk intelektual sendiri. Mereka berpuas hati dengan menjadi agen yang menterjemahkan, mengajarkan, mempopularkan dan menerapkan sahaja produk-produk intelek tokoh-tokoh tersebut di negaranya. Jika ada yang berani mencipta produk-produk intelektual mereka sendiri, rakan-rakan mereka pula yang tidak menaruh keyakinan akan mutu produk-produk itu. Oleh hal yang demikian mereka tidak menggunakan produk-produk intelektual tempatan sebagai rujukan yang dianggap berautoriti.
  Menurut Malik Bennabi, akibat daripada keadaan seperti di atas individu-individu yang hilang keyakinan pada keupayaan diri sendiri itu akan terjerumus ke dalam proses meminjam dan terus meminjam secara langsung dan ‘ad hoc’ segala macam benda, idea dan institusi yang bersumber pada bahasa-bahasa asing tersebut, tanpa mempersoalkan kesesuaian dan keserasiannya dengan kebudayaan bangsa yang meminjamnya. Contohnya, benda-benda yang dipinjam ialah bagaimana elit tempatan memesang besen mandi, membuat balkoni, cimni, menyimpan gelas wain dalam almari, dan memasang gebar musim salji di katil mereka. Sebagai contoh idea yang dipinjam, kita bercuti pada hari Ahad, meraikan hari jadi, ulangtahun perkahwinan, memotong kek, meniup lilin sambil menyebut hajat di hati, membaling wang syiling ke dalam telaga hajat, merayakan halloween dan valentine, memberi hadiah sebutir intan kepada isteri untuk ulangtahun ke-25 perkahwinan, serta minum tos untuk kesihatan Yang Di-Pertuan Agong. Contoh institusi yang dipinjam ialah pilihanraya ala-barat, perdana menteri dan kabinetnya, sistem kehakiman sivil, sistem kewangan berdasarkan riba dan sebagainya.

Monday, 2 April 2012

Peribahasa


Menurut Luqman & Abu Khair Atan (2001), peribahasa mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan reality kehidupan  dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling.
 Peribahasa ialah satu rangkaian kata yang digunakan oleh orang Melayu untuk menyatakan sesuatu perkara, yang berupa kata-kata hiasan atau sindiran.
 Menurut Sulaiman Zakaria (1998), peribahasa mempunyai pengertian tertentu dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyampaikan sesuatu maksud secara halus.

Contoh peribahasa :

1. Berjagung-jagung dahulu, sementara padi masak. Bermaksud mengajar masyarakat supaya mengamalkan sikap rajin  dan tidak mengharapkan kepada satu perkara sahaja.
2. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.  Bermaksud, melarang seseorang supaya jangan mendirikan rumah atau tinggal di tepi pantai, jika takut dilambung ombak.
3. Sudah jatuh, ditimpa tangga. Peribahasa ini menggambarkan kondisi seseorang yang ditimpa oleh sesuatu kemalangan, kemudian datang pula kemalangan yang lain menimpa ke atas dirinya.

Simpulan Bahasa
Menurut Abdullah Hassan (1986), simpulan bahasa sebagai ungkapan yang terjadi dalam rentetan yang sesuai dengan pola frasa bahasa Melayu.
   Menurut Hussein (1990), simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim.
   Peribahasa wujud kerana masyarakat Melayu mahu menyampaikan sesuatu makna secara analogi atau perbandingan. Tegasnya, simpulan bahasa ditimbulkan untuk menyampaikan maksud secara tidak langsung.

Contoh simpulan bahasa :
1. Berkepala dua. Kalau di dalam ayat, ia membawa maksud mempunyai dua kepala. Manakala simpulan bahasa kepala dua bermaksud orang yang tidak mempunyai pendirian atau memihak ke sana, memihak ke sini.

 Perumpamaan
Menurut Awang Had Salleh dan Abdul Razak Abu (1990:187), perumpamaan adalah susunan kata-kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada ayat yang diucapkan atau ditulis dalam ayat itu, atau membandingkan sesuatu dengan benda lain boleh diertikan sebagai perumpamaan. Perumpaan tersebut dikaitkan dengan perilaku manusia atau corak hidup masyarakat.
    Zaitul Azma Zainon Hamzah ( 2006:288), mendifinisikan perumpamaan sebagai peribahasa yang mempunyai maksud yang berlainan daripada perkataan-perkataan yang membentuknya. Perumpamaan biasanya menggunakan kata bandingan seperti macam, umpama, bak, laksana, dan seperti.

Contoh perumpamaan
1. Payah umpama memelihara diri dalam sarang lebah
2. Pantas seperti lipas kudung
3. Pekak macam badak

Pepatah
Pepatah boleh didefinisikan sebagai ungkapan-ungkapan yang dibentuk berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. Tujuannya adalah untuk mengajar dan mendidik masyarakat supaya berhati-hati dan berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu (Peribahasa KBSM,2006:251).

Contoh Pepatah :
1. Ada air, adalah ikan
Maksud : Sekiranya rajin berusaha, rezki ada di mana-mana sahaja.
2. Ada angina, ada pokoknya
Maksud : Sesuatu perkara yang berlaku mesti ada sebabnya.

Friday, 30 March 2012

Kata Ganti Nama Diri


Perkataan Ganti Nama ialah perkataan yang menggantikan nama. Perkataan Ganti nama ini dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu Ganti nama Diri, Ganti nama Umum, Ganti nama Pertanyaan, Ganti nama Petunjuk dan Ganti nama Sendi. Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan kata nama orang.
 Kata ganti diri (pertama, kedua, dan ketiga)
1. Kata ganti diri pertama ialah kata yang digunakan untuk menggantikan diri orang yang bercakap. Misalnya, aku saya, hamba, patik, beta, kami, dan kita.
2. Kata ganti diri kedua digunakan ketika kita berbual dengan seseorang. Misalnya, kamu, engkau, awak, anda, kalian, dan sebagainya.
3. kata ganti diri ketiga ialah bagi merujuk kepada orang ketiga. Misalnya, ia, dia, beliau, dan baginda.
Kata Ganti Nama Diri dalam Dialek Kuak Hulu (DKH)

Kata Ganti Nama Diri
Tunggal
Bilangan Banyak / Jamak
Diri Pertama
( Orang yang bercakap )
Aku
Saya
Oraŋ
Kami
Kita
Diri Kedua
( Orang yang dilawan bercakap )

Muŋ
(kamu)

Moho
(kamu berdua)
Diri Ketiga
( Orang yang diceritakan halnya)
Dia
Dema
(Mereka)

Fungsi Kata Ganti Nama Diri dalam DKH

Kata Ganti Diri
Pertama
Penggunaannya
aku (tunggal)
digunakan apabila bercakap dengan  kawan biasa
saya (tunggal)
digunakan apabila bercakap dengan  seseorang yang baru dikenal atau dalam suasana rasmi
kami (jamak)
digunakan kepada diri orang yang berkata serta temannya apabila bercakap dengan orang kedua
kita (jamak)
digunakan kepada diri sendiri dan menyertakan diri orang kedua
Orang (tunggal)
Digunakan ketika bercakap dengan ibu bapa.

Kata Ganti Diri
Kedua
Penggunaannya
Muŋ (tunggal)
digunakan untuk diri orang kedua yang rapat hubungannya dengan kita
Moho (jamak)
digunakan untuk beberapa orang yang diajak bercakap

Kata Ganti Diri Ketiga
Penggunaannya
Dia (tunggal)
digunakan untuk orang yang umum seperti orang biasa dan rakan
Dema (jamak)
digunakan untuk orang yang bilangannya lebih daripada seorang

Contoh ayat :

i) Kata ganti Diri Pertama

Tunggal
1. Aku nak min bola gak
(Aku hendak bermain bola juga)
2. Saya nak tupang maning kat rumah pak cik, boleh?
(Boleh saya hendak tumpang mandi dekat rumah pak cik?)
Jamak
1. Kami hendak ke skolah Pak Long.
(Kami hendak ke sekolah Pak Long)
2. Pa yang kita nak buat lani, Man?
(Apa yang kita henak buat sekarang, Man?)

ii) Kata ganti Diri Kedua

Tunggal
1. Muŋ nak gi maning cheghok tak petang ni?
(Kamu/engkau hendak pergi mandi sungai petang ini?)
Jamak
1. Moho nak gi mana? baju lawa-lawa ni
(Kamu berdua/kalian hendak pergi ke mana? Pakai baju cantik)

iii) Kata ganti Diri Ketiga

Tunggal
1. Dia tu sapa mak?
(Siapa dia itu, emak?)
Jamak
1. Dema nak gi bekelah di kebun durian Pak Ngah Ahmad
(Mereka hendak pergi berkelah di kebun Pak Ngah Ahmad)


Thursday, 29 March 2012

Lalu Dalam Dialek Kuak Hulu


Perkataan ‘lalu’ sering kali kita dengar dalam kehidupan kita seharian yang merujuk kepada berjalan atau melintas. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, ‘lalu’ bermaksud:

                                I.            berjalan atau melintas,
                             II.            boleh masuk,
                           III.            telus, lulus, berdaya,
                          IV.            langsung, terus,
                            V.            lewat.

 Dalam DKH, perkataan ‘lalu’ sering digunakan untuk merujuk kepada maksud (ii) boleh masuk, dan seseorang yang tidak ada selera untuk makan. Maksud ‘lalu’ (ii), iaitu boleh masuk sering digunakan oleh penduduk Kuak Hulu apabila sesebuah kenderaan memasuki jalan sempit di kampung. Contoh ayat :

 Jalan ni boleh lalu dak?
(jalan ini boleh lalu tidak?)
  Selain itu, perkataan ‘lalu’ dalam DKH juga merujuk kepada seseorang yang tidak ada selera untuk menjamah makanan. Masyarakat kampung saya, akan menggunakan perkataan ‘tidak lalu’ apabila mereka tidak ada nafsu untuk makan. Jarang sekali saya mendengar mereka mengatakan ‘tidak ada selera’ apabila mereka tidak mahu makan. Contoh ayat :

          Saya tak lalu nak makan nasik kalu waktu pagi.
         (saya tidak ada selera hendak makan nasi pada waktu pagi).


Wednesday, 28 March 2012

Konsep Masa atau waktu


Dalam dialek Kuak Hulu turut mempunyai persepsi terhadap waktu atau masa dalam menentukan sesuatu situasi atau keadaan. Dalam dialek ini, penuturnya melihat persepsi waktu atau masa ini melalui putaran matahari dan alam sekeliling. Waktu asas yang ada dalam dialek Kuak Hulu ialah waktu siang dan malam. Siang merujuk kepada jangka waktu mulai dari terbitnya matahari hingga masa terbenamnya. Siang juga dibahagikan kepada beberapa peringkat dalam dialek Kuak Hulu ini, iaitu jaung(mendung/redup), subuh dan tengah hari (waktu tergelincir matahari). Malam pula terdiri daripada senja(petang/maghrib), malam, dan tengah malam. Contoh ayat :

DKH
BMS
1) Pagi ni jaung ku tak leh jemɔ baǰu.
1) Pagi ini mendung aku tidak boleh jemur baju.
  
  Selain itu penutur dialek Kuak Hulu juga menggunakan bulan untuk menentukan waktu atau masa. Mereka menggunakan sistem ini sebelum kemasukan istilah ‘minggu’ yang dibawa oleh penjajah. Kebanyakan nama-nama hari dalam dialek Kuak Hulu dipinjam dari bahasa Arab seperti hari isnin, selasa, rabu, khamis, jumaat, sabtu,dan ahad. Jadual di bawah menunjukkan pengiraan hari dalam dialek Kuak Hulu :

Kelmarin
Dulu
Balik
Sana






Kelmarin


Dulu






Kelmarin


Hari


ini





esok




tulat




tungging



Tungging
buyung
 
  Dalam dialek Kuak Hulu ‘kelmarin’ disebut ‘semarin’ yang merujuk kepada tempoh waktu yang telah berlalu iaitu hari semalam. Selain itu, ‘kelmarin’ dalam dialek ini juga merujuk tempoh masa yang telah lama berlalu, iaitu seminggu atau sebulan atau setahun yang lalu, manakala ‘esok’ pula dalam dialek ini dapat dihuraikan dalam dua keadaan pertama ia digunakan untuk menyatakan hari esok, iaitu selepas hari ini dan kedua pula digunakan untuk menunjukkan hari-hari akan datang sama ada seminggu, sebulan atau setahun akan datang. Contoh ayat :

DKH
BMS
1) Aku naɁ gi menogheh esoɁ.
1) Aku hendak pergi menoreh esok.
2) Bila aku besar esoɁ aku nak jadi doktɔ.
2) Bila aku besar nanti aku hendak menjadi doktor.
           
  Dalam dialek Kedah mereka menggunakan konsep musim, iaitu angin timur dan angin barat dalam menetukan keadaan cuaca, ini berbeza dalam dialek Kuak Hulu yang menggunakan alam sekeliling dalam menentukan sesuatu musim sama ada musim kemarau, musim buah,dan musim hujan. Antara unsur alam sekeliling yang digunakan oleh penutur dialek ini dalam menentukan keadaan cuaca ialah angin, binatang, bunga, daun pokok, kelawar,air mata air, dan kalkatu.

1) Angin-------timur-------musim menuai padi dan daun getah luruh
             -------Barat--------musim hujan

2) Binatang-------adanya burung tukang rumah menandakan waktu kelmarau. -----reriang-menandakan waktu kelmarau,namun begitu kehadirannya tidak mengikut musim.
3) Bunga---------bunga dedalu dan daun kapal terbang menandakan waku kemarau.
4) Kelawar-----------menandakan musim buah-buahan.
5) Keluar air mata dan kalkatu-------------menandakan musim kemarau.
Contoh ayat :
DKH
BMS
1) La ni dah timur.
1) Sekarang musim menanam padi.
2) NaɁ kemaghau dah tu burung tukang doɁ bunyi.
2) Sudah hendak kelmarau sebab burung tukang sedang berbunyi.
3) Musiŋ buah dah sekaghang tu kelawar banyak kaɁ bukiɁ aku.
3) Musim buah sudah tiba sebab kehadiran banyak kelawar di bukit aku.
4) La ni dah barat.
4) Sekarang musim hujan.



Tuesday, 27 March 2012

Bahasa Seruan atau mengeluh


Gambar Hiasan

Bahasa yang digunakan ini juga untuk menyatakan kekecewaan yang dialami.  Namun begitu, ianya tidak dapat diluahkan kesemua perasaan tersebut tetapi orang yang mendengarnya memahami dan mengerti betapa berat kekecewaan dan penderitaan yang ditanggung seseorang. Bahasa ini banyak menggunakan kata seru seperti ah.

Situasi
Antara bahasa seruan atau mengeluh yang saya terdengar daripada perbicaraan kawan-kawan saya di kampung.

i) Aduh! Tak da peluang la aku nak min bola petang ni. Ujan lebat.
(Aduh! Tidak ada peluang aku hendak bermain bola pada petang ini. Hujan lebat)
ii) Uhhhh! Aku tak leh nak bayangkan accident yang aku tengok tading
(Uhhhh! Aku tidak boleh hendak bayangkan kemalangan yang aku tengok tadi)
iii) Eeeeiiii! Dok la joh cikit, dah la badan busuk
(Eeeeiiii! duduk jauh sikit, bau badan busuk)
iv) Arghhhh! Orang dah la da banyak keja ni, dia lambat datang pulak.
(Arghhhh! Orang ada banyak kerja, dia datang lambat pula)
v) Ah! Malas nak pikir, dah gagal nak buat cam mana?, yang penting aku dah usaha.
(Ah! Malas aku hendak fikir, sudah gagal hendak buat macam mana? Yang penting aku sudah usaha).
Ulasan
Ayat-ayat di atas menunjukkan penggunaan bahasa seruan atau mengeluh untuk menyatakan perasaan kecewa yang tidak dapat digambarkan. Kata seru yang digunakan untuk meluahkan rasa keluhan atau kecewa yang dialami ialah aduh, uhhhhh, eeeeeiiiii, arghhhhh, dan ah. 
    Ayat (i) aduh, merupakan bahasa seruan menunjukkan keluhan yang mana merujuk kepada seseorang itu berasa tidak berpeluang bermain bola, aktiviti yang digemarinya. Dia mengeluh kerana hujan telah menghalang dirinya daripada meneruskan hajatnya pada hari tersebut.
     Ayat (ii) uhhhh, merupakan bahasa seruan menunjukkan seseorang itu tidak dapat membayangkan atau menceritakan kemalangan yang dilihatnya kepada orang lain. Hanya dia sahaja yang dapat merasai perasaan tersebut. Orang lain sukar merasai apa yang dirasai olehnya.
     Ayat (iii) eeeeiiii, merupakan bahasa seruan menunjukkan seseorang itu benci kepada seseorang lain yang menghampirinya. Kata seruan eeeeiiii digunakan untuk menunjukkan rasa benci yang amat sangat kepada si polan tersebut.
    Ayat (iv) arghhhh, merupakan bahasa seruan menunjukkan perasaan marah seseorang terhadap orang lain. Misalnya, seseorang yang tidak menepati janji, selalu datang lewat dari waktu yang dijanjikan. Dia bertambah emosi apabila dia mempunyai komitmen atau pekerjaan yang lain pada waktu tersebut.
     Ayat (v), ah, merupakan bahasa seruan menunjukkan seseorang itu tidak peduli atau malas hendak memikir perkara yang sudah berlalu. Jika difikirkan perkara tersebut akan menambahkan tekanan dan bebanan dalam kehidupannya.Misalnya, berlaku kematian dalam keluarga, kemalangan, kegagalan dalam peperiksaan dan sebagainya. Hanya perkara-perkara yang bahagia sahaja yang perlu diingat bagi mengatasi masalah tersebut jika ia terjadi.
    Kadang-kadang tanpa saya sedari, saya turut menggunakan bahasa seruan atau mengeluh ini. Misalnya, ketika saya asyik menonton televisyen, emak saya menyuruh pergi ke kedai membeli barang. Saya akan mengeluh dan kerap mengeluarkan ayat seperti berikut :

Eeeeiiii! Orang tengah tengok cerita best ni la nak suruh pi kedainya.
(eeeeiiii! orang sedang tengok cerita menarik, suruh pergi kedai pula)
Aduhhhh! (sambil mengancing gigi dan menyapu tangan di muka)
Arghhhh! Nanti la orang gi, beri cita ni abis lu.
(Arghhhh! Sekejap lagi saya pergi, bagi cerita ini habis dulu).
Ketiga-tiga ayat di atas menggunakan bahasa seruan atau mengeluh eeeeiiii, aduhhhh, dan arghhhh untuk menunjukkan rasa marah terhadap arahan yang diberikan oleh seseorang seperti arahan daripada ibu bapa.