Tuesday, 20 March 2012

Latah dan Masyarakat Melayu


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, latah bermaksud seseorang ( biasanya wanita ) tidak sedar apa yang dilakukan, mengikut perbuatan atau suruhan orang lain tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu secara tidak sengaja kerana terperanjat. Tabiat melatah sering berlaku dalam kalangan wanita yang berumur  50 tahun ke atas. Sedangkan hakikatnya, latah juga boleh berlaku dalam kalangan orang muda tanpa mengira jantina.
  Masyarakat Melayu menganggap ‘melatah’ adalah sesuatu yang normal dan tidak perlu dihindari.  Tanggapan begini bersebabkan latah sudah sebati dalam jiwa Melayu dan menjadi tradisi budaya.
  Segelintir masyarakat menganggap latah tidak perlu ditakuti kerana ia dianggap sebagai satu bentuk hiburan yang mencuit hati. Namun begitu, tanpa kita sedari latah boleh menyebabkan individu tersebut berada dalam keadaan bawah sedar, hilang kawalan, dan kepenatan. Penulis buku America Normal : Hyperstartle Syndrome pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah.

Gambar Hiasan
Punca latah
Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak.
     Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori.
   Namun, Azhar berkata, sindrom melatah pada hari ini semakin berkurangan jika dibandingkan era 30 hingga 40 tahun yang lalu. Boleh dikatakan sepanjang era itu, majoriti masyarakat kampung melatah atas faktor sosiologi kerana terikut-ikut sifat melatah yang dialami oleh orang lain.

Situasi
Saya telah berjumpa dengan beberapa orang yang mempunyai tabiat latah ini di kampung saya. Mereka ini menjadi tumpuan dan bahan usikan oleh rakan-rakan. Apa yang saya lihat, latah yang ditunjukkan oleh mereka terdiri daripada beberapa gaya tersendiri. Misalnya, penggunaan bahasa kesat atau lucah, terikut-ikut kata, pergerakan anggota, dan menggunakan benda yang ada di sekeliling mereka. Kesemua perkara tersebut dilakukan oleh mereka di luar kawalan dan tanpa disedari. Selain itu, tabiat latah ini juga menjadi penyakit berjangkit kepada orang yang selalu mengusik kawan mereka yang latah. Perkara ini pernah terjadi di kampung saya di mana seorang kawan yang normal menjadi pelatah apabila dia kerap mengusik rakannya yang latah. Akhirnya, dia pula menjadi mangsa usikan rakan-rakannya yang lain.

Gaya latah  
Terdapat beberapa gaya latah yang pernah saya temui di dalam hidup saya. Antaranya :

1. Penggunaa bahasa kasar atau lucah
Saya pernah mendengar gelagat seorang pelatah perempuan menggunakan kata lucah apabila dia melatah. Situasi ini saya dengar semasa menghadiri majlis kenduri kahwin saudara saya. Perempuan ini akan mengeluarkan kata lucah apabila dia terkejut atau diusik oleh rakan-rakannya. Contoh ayat :

Oh burit mak mung, Oh burit burit,…
Oh butoh pak mung..
Terdapat juga si pelatah menggunakan kata-kata kesat ketika mereka melatah. Misalnya :

Oh palat pak mung,
Bodoh, begong mung
Oh babi ooo.
2. Terikut kata-kata orang
Ada juga segelintir pelatah yang saya temui di kampung, terikut-ikut kata orang yang mengusiknya. Segala perkataan yang dikatakan oleh seseorang akan diikut oleh pelatah tersebut. Contoh ayat :

Si A : oh mak mung
Pelatah : oh mak mung
3. Pergerakan angota badan
Terdapat juga seorang pelatah akan mengunakan pergerakan badan seperti tangan, kaki, kepala, bahu, dan sebgagainya ketika melatah. Bagi pelatah yang pandai bersilat, mereka akan bersilat beberapa minit apabila berlatah. Bagi pelatah yang pandai menari, mereka akan menari-nari. Kesannya, pelatah akan mengalami kepenatan dan tidak bermaya apabila telah sedar.

4. Menggunakan benda yang ada disekeliling
Gaya latah ini agak berbahaya kepada orang ramai jika pelatah menggunakan benda atau alat yang ada di sekeliling mereka seperti pisau, kayu, parang dan sebagainya. Alat-alat ini sangat berbahaya jika ia berada di sebelah si pelatah, silap hari bulan nyawa anda akan terkorban. Kita tidak boleh menyalahkan si pelatah kerana mereka tidak sedar apa yang dilakukan oleh mereka. Jadi, untuk mengelakkan kejadian yang malang, alat-alat yang tajam dan keras tersebut perlu dihindari daripada berada dekat dengan si pelatah.

Kesimpulan
Kesimpulannya, melatah masih ada dalam masyarakat Melayu biarpun makin berkurangan. Latah bukan suatu penyakit, tetapi janganlah kita jadikan latah suatu penyakit hati pula. Sungguhpun latah dianggap menghiburkan, melatah boleh memudaratkan individu itu kerana pergerakan fizikal yang keterlaluan.  Individu yag melatah itu boleh berasa lelah dan mengah sehingga membahayakan diri. Dewasa ini, ‘latah’ boleh membawa makna yang lain, iaitu perbuatan seseorang yang cepat terasa dan menjadi marah apabila dirinya ‘dijolok’ dengan cerita yang membabitkan maruah diri.

Monday, 19 March 2012

Bahasa Melayu Tinggi (BMT)


Gambar Hiasan
Pada hari ini isnin 19 Mac 2012 tamatlah sudah sesi pengajaran mikro pusingan kedua bagi kursus KPD3026 Pengajian, Teknologi, dan Penaksiran 2 kumpulan AT05 B. Pengajaran mikro ini telah mengambil masa dua minggu untuk ditamatkan dan seramai 37 orang guru pelatih termasuk diri saya sendiri telah 
menunjukkan kemahiran mengajar di hadapan kelas sebagai persiapan sebelum pergi menjalani latihan mengajar pertengahan bulan Jun nanti. Para pelajar telah menunjukkan kemahiran dan teknik mengajar masing-masing dan telah dinilai dan diberi komentar oleh rakan-rakan sekelas. Segala komen dan kritikan yang diberikan agak sama dari segi cara guru mengajar dan intonasi guru kerap diutarakan oleh para penilai.
     Aspek berkaitan dengan penggunaan tatabahasa dalam bahasa Melayu agak jarang disentuh oleh para penilai. Dari pusingan pertama hingga pusingan kedua, saya ada juga terdengar beberapa orang guru pelatih melakukan kesilapan dari aspek tatabahasa ketika mereka leka mengajar di hadapan. Saya mengakui, bahawa ini bukan kesilapan yang disengajakan oleh guru pelatih tersebut, tetapi ini berpunca daripada kegugupan dan kurang keyakinan, serta terpengaruh dengan dialek atau slanga dalam perbualan seharian mereka. Ternyata congakan saya ini benar. Hal ini demikian kerana, perkara tersebut turut diakui oleh beberapa guru pelatih setelah mereka mengakui apabila ditanya oleh pensyarah selepas sesi pengajaran selesai. Situasi ini juga turut terjadi pada diri saya sendiri ketika memulakan sesi pengajaran dan jujur saya akui salah satu punca utamanya adalah kegugupan dan kurang keyakinan apabila bercakap di hadapan khalayak.
   Selepas tamat sahaja sesi pengajian mikro pusingan kedua hari ini, tiba masa pula pensyarah kursus untuk memberikan komen kepada para guru pelatih. Komenya, persembahan semua guru pelatih adalah bagus dan persembahan semakin meningkat, tetapi, kebanyakan guru pelatih tidak menggunakan bahasa Melayu Tinggi ketika sesi pembelajaran. Menurutnya lagi, guru pelatih terpengaruh dengan dialek tempatan dan slanga dan kedua-duanya dibawa masuk ke dalam sesi pengajaran. Beliau menasihatkan agar semua guru pelatih segera menghilangkan ‘slang’ dialek daerah masing-masing sebelum pergi mejalankan latihan mengajar kelak. Tambahnya lagi, "kalau anda gagal menggunakan bahasa Melayu Tinggi , anda gagal menjadi guru bahasa Melayu".

Antara kesalahan tatabahasa yang digunakan oleh guru pelatih :

1. Penggunaan Kata Sendi Nama (KSN). Contoh KSN dari dan daripada

Burung-burung datang daripada seluruh dunia ke Kuala Gula.
   KSN daripada dalam ayat di atas adalah salah kerana daripada merujuk kepada sumber bagi manusia, institusi, haiwan, benda dan unsur mujarad. KSN dari perlu digunakan untuk menunjukkan menyatakan arah, tempat, waktu atau masa.

2. Guru pelatih kerap menggunakan sinkorf, iaitu Pemendekan sesuatu kata dengan mengugurkan satu atau lebih huruf atau suku kata dari tengah kata-kata itu. Contoh :

Barang apa yang ada kat tangan cikgu?
Kamu semua sihat tak hari ni?
Semua dah makan?
Cikgu nak kamu bentuk enam kumpulan.
    Antara sinkorf yang digunakan oleh guru pelatih di dalam ayat di atas ialah perkataan kat, tak, ni, dah, dan nak. Keempat-empat perkataan ini telah mengalami beberapa perguguran huruf dan suku kata. Perkataan yang betul adalah dekat, tidak, ini , sudah, dan hendak.

3. Terdapat juga percampuran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ketika dala sesi pembelajaran. Contoh :

Sila passing kertas yang cikgu beri itu kepada kawan-kawan.
4. Banyak mengulang beberapa perkataan tertentu seperti OK. Contoh :
Ok, baiklah. Ok pelajar sihat semua.
Ayat yang telah diperbetulkan

1. Burung-burung datang dari seluruh dunia ke Kuala Gula.
2. Barang apa yang ada dekat tangan cikgu?
   Kamu semua sihat tidak hari ini?
  Semua sudah makan?
 Cikgu hendak kamu bentuk enam kumpulan.
3. Sila edarkan kertas yang cikgu beri itu kepada kawan-kawan.
4. Baiklah, pelajar sihat semua?

Kesimpulan
Sebagai bakal guru bahasa Melayu, kita perlulah menggunakan bahasa Melayu dengan betul dari segi tatabahasanya supaya kita tidak dipandang serong oleh sebilangan manusia di luar sana. Penguasaan bahasa Melayu Tinggi amat penting supaya kita dapat menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih mudah dan difahami oleh semua lapisan masyarakat. Bagi guru pelatih yang masih mengekalkan ‘slang’ dialek daerah masing-masing, mereka perlu berusaha dan berlatih bersungguh-sungguh untuk bercakap fasih dalam bahasa Melayu Tinggi. Usaha ini perlu dilakukan dari  sekarang kerana tidak lama lagi semua bakal guru pelatih akan menjalani latihan mengajar di sekolah.








      

Friday, 16 March 2012

Politik dan Bahasa


Gambar Hiasan
Bahasa politik yang merujuk penggunaan dan pemilihan diksi dalam penulisan dan ucapan yang bersifat “retorik” sejak kebelakangan ini kelihatan semakin luas dengan pelbagai penggunaan kosa kata yang membawa konotasi buruk sehingga melahirkan perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat. Kekeliruan timbul sekiranya makna kosa kata politik itu disamakan dengan parti politik yang membawa pelbagai ideologi yang berasaskan kepentingan kelompok dan puak serta kumpulan masing-masing.

Seni berbahasa
Seni berbahasa secara mudahnya merupakan seni yang menggunakan bahasa dan disiplin ilmunya berkaitan rapat dengan asas penggunaan bahasa yang berkesan dalam komunikasi, sama ada secara lisan ataupun bertulis. Namun begitu, pada asalnya seni berbahasa merujuk seni pengucapan yang berkesan, iaitu yang berkaitan dengan lisan.
      Seni berbahasa juga merujuk kebolehan seseorang individu itu menguasai kemahiran berbahasanya dalam bentuk lisan atau penulisan. Malangnya, maksud yang difahami oleh kebanyakan orang jauh tersasar daripada maksud yang sebenarnya apabila maksud seni dalam berbahasa yang berkaitan secara langsung dengan politik itu telah disalahertikan sebagai sesuatu yang menimbulkan asosiasi kepada perbuatan yang tidak jujur, curang dan merosakkan bahasa.

Isu 1
Kebanyakan daripada kita tidak suka apabila bahasa ditambah-tambah dengan istilah baru dan pelik didengar. Kadang-kadang mereka ini tidak suka hanya kerana pencipta istilah baharu itu duduk dalam parti politik yang tidak mereka gemari. Namun, inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita; bahasa adalah sesuatu yang sering dipolitikkan.
      Apabila Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak memperkenalkan perkataan ‘glokal’ yang berasal daripada ‘global’ dan ‘lokal’, ramai orang marah dan tidak berpuas hati kepada beliau. Sesetengah pihak beranggapan bahawa istilah ‘glokal’ semata-mata dicernakan untuk mencapai kepentingan politik Najib. Demi politik, beliau telah merosakkan bahasa. Situasi inilah apa yang rata-rata dirasai oleh pejuang bahasa.
       Situasi ini berbeza pula dengan bekas Sasterawan Negara, A. Samad Said. Tiada pejuang bahasa mempersoalkan apabila Pak Samad membuat bidaah bahasa dengan memperkenalkan istilah ‘catakserukin’ yang merupakan gabungan ‘cakap tak serupa bikin’?. Istilah ini pertama kali diperkenalkan di dalam satu majlis politik anjuran Pakatan Rakyat; maka jelas istilah ini bersifat politik. Ia bukan lagi satu spekulasi. Lalu, mengapa tiada seorang pejuang bahasa yang bising-bising? Kenapa Najib Razak tak boleh, tapi Pak Samad boleh? Adakah kerana beliau merupakan Sasterawan Negara? Jika ya, bukankah ini akan merencatkan perkembangan bahasa kerana kita seolah-olah hanya membenarkan golongan elit bahasa sahaja yang berhak untuk mencipta sebarang istilah baru?.

Isu 2
Sebelum ini, apabila Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan istilah ‘bajet’ dan bukannya ‘belanjawan’, pun ramai orang marah dan menuduh beliau sebagai perosak bahasa. Mengapa kita perlu memimjam lagi istilah daripada bahasa Inggeris? Bukankah kita sudah ada istilah yang jauh lebih ‘Melayu’ bunyinya di dalam kamus kita, iaitu ‘belanjawan’, dan ‘peruntukan’.

Isu 3
Namun, belum pernah lagi saya dengar cerita-cerita pejuang bahasa yang mempertikaikan mengapa para penulis muda kita di luar negara telah bersetuju untuk sama berpayung di bawah kumpulan yang dinamakan Grup Karyawan Luar Negara. Kenapa grup? Walaupun perkataan ini memang termaktub di dalam Kamus Dewan, namun bukankah ada banyak lagi perkataan lain yang lebih 'Melayu' bunyinya seperti kumpulan, gabungan, pertubuhan, persatuan, atau sekurang-kurangnya kelab.
      Jika anda pejuang bahasa yang adil lagi saksama, maka anda akan menerima apa sahaja istilah baru yang masuk ke dalam bahasa ibunda kita. Kalau ia tidak sesuai lagi janggal, maka bukan anda yang menolaknya, tetapi pengguna bahasa itu sendiri yang akan mengenepikannya sendiri secara beransur-ansur.
      Contohnya ketika era lewat 90-an di waktu orang kita baru mahu kenal apa itu ‘internet’, kita telah menggunakan istilah 'hiperangkai' sebagai terjemahan kepada 'hyperlink'. Namun, oleh kerana istilah ini terlalu janggal di telinga dan lidah, kita telah menolaknya secara perlahan-lahan. Kini, istilah 'pautan' telah memupuskan 'hiperangkai'.
     Cuba bayangkan anda hidup di zaman ketika istilah 'buku' (Eng: book) mula dipopularkan. Anda bermati-matian menentang 'buku' kerana 'kitab' sudah ada pun sedia ada di dalam bahasa kita. Ditakdirkan Allah, usia anda panjang: Anda hidup sehingga hari ini. Maka pasti anda akan malu apabila kesudahannya, orang kita sudah selesa dan terbiasa menggunakan 'buku'. Bahkan, etimologi 'kitab' itu sendiri kini sudah berubah apabila ia hanya merujuk kepada bahan bacaan yang lebih bersifat keagamaan sahaja.

Bagaimana pula dengan istilah ini?
i) Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM ), bukannya ( PBSM ),
ii) Pusat Dagangan Dunia ( PWTC ), bukannya ( PDD ),
iii) Litar Antarabangsa Sepang ( SIC ), bukannya ( LAS )
iv) Sistem Penerbangan Malaysia ( MAS ), bukannya ( SPM )

    Kesemua istilah-istilah di atas ada kalanya menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Apakah matlamat mereka mewujudkan istilah-istilah tersebut? Adakah untuk kepentingan politik atau keuntungan? Di manakah kedudukan dan peranan pejuang bahasa dalam membincangkan isu ini?. Sama-samalah kita fikir dan renungkan.

Thursday, 15 March 2012

Bahasa Kasar, bahasa Halus

Bahasa kasar atau bahasa kesat ialah bahasa yang tidak sopan dan kurang beradab dalam pertuturan, manakala bahasa halus ialah bahasa yang digunakan secara beradat dan bersopan santun serta menggunakan segala strategi untuk melunak dan memaniskan percakapan. Antara tujuan menggunakan bahasa halus dalam percakapan ialah :
i) Menghormati dan menjaga perasaan orang yang dilawan bercakap
ii) Mewujudkan kemesraan dalam perhubungan.

Contoh bahasa Kasar dan bahasa Halus :

Bahasa Kasar
Bahasa Halus
Kencing
Ke sungai kecil
Berak
Ke sungai besar
Mengandung
Berbadan dua
Menguburkan
Mengebumikan
Mati
Pulang ke rahmatullah
Suami
Bapa budak ni
Isteri
Orang rumah

Situasi
Di kampung saya, kebanyakan masyarakat kampung saya banyak menggunakan bahasa kasar dalam pertuturan seharian. Penggunaan bahasa kasar dalam masyarakat kampung saya dapat dilihat dalam beberapa situasi, misalnya ketika membuang hajat sama ada besar atau kecil, menentukan jantina manusia, berlaku kematian, dan penentuan status perkahwinan. Apa yang saya lihat dan kesan, masyarakat kampung saya tidak begitu segan dan rasa bersalah ketika menggunakan bahasa kasar atau tidak sopan ini jika diajak berbual dan dilawan cakap, tidak kira sama ada dalam situasi formal atau tidak formal. Mereka tidak mengetahui tentang penggunaan bahasa halus untuk menggantikan bahasa kasar yang dipertuturkan oleh mereka.

Antara beberapa bahasa kasar yang dikesan :
Ketika pulang ke kampung bercuti, saya sering mendengar beberapa bahasa kasar dipertutur oleh masayarakat kampung saya, terutama jika ada majlis kenduri kendara. Pada masa ini, ramai golongan tua atau otai banyak menggunakan bahasa kasar ini apabila bergurau sesama mereka. Kadang-kadang terdapat juga beberapa istilah bahasa kasar yang jarang saya dengar. Berikut beberapa situasi penggunaan bahasa kasar yang sering saya dengar :

1) Membuang hajat sama ada besar atau kecil
Di kampung saya, tiada penggunaan buang air kecil, buang air besar atau hadas kecil dan hadas besar. Kebanyakan masyarakat kampung saya terus mengucapkan perkataan kencing dan berak apabila mereka ingin melepaskan hajat. Tidak ada unsur pemanis, malah terus menyampaikan makna tersebut secara terus tanpa rasa segan dan silu. Contoh ayat :

i) Sejuk-sejuk malam ni, rasa nak kencing pulak
ii) Kalau lepas makan, rasa nak berak saja.
2) Penentuan jantina ( manusia + binatang )
Jika dalam istilah moden penentuan jantina bagi manusia dengan binatang adalah berbeza, lelaki dan perempuan untuk manusia, manakala jantan dan betina bagi binatang atau haiwan. Namun, dalam komuniti masyarakat kampung saya, penentuan jantina bagi kedua-dua makhluk (manusia dan binatang) adalah sama, iaitu jantan (lelaki), dan betina (perempuan). Apa yang saya lihat, penentuan jantina ini hanya berlaku di dalam menentukan jantina anak yang baru lahir saja dan jarang digunakan dalam situasi yang lain. Contoh ayat :

i) Anak mung yang lahir semalam, jantan ke betina?
ii) Kamil mempunyai dua pasang lembu, jantan dan betina.
       Ayat (i) jantan dan betina merujuk kepada jantina manusia bagi masyarakat kampung saya, manakala ayat (ii) jantan dan betina merujuk kepada binatang atau haiwan. Walaupun, kedua-dua ayat di atas menggunakan penentuan jantina yang sama, iaitu jantan dan betina, masyarakat kampung saya boleh membezakan fungsi kedua-dua isltilah tersebut mengikut situasi.

3) Berlaku kematian ( manusia + binatang )
Selain itu, penggunaan bahasa kasar turut digunakan jika berlaku kematian di kampung saya. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan di kampung saya. Istilah yang digunakan merujuk kepada kematian seseorang ialah mati dan dah tak da. Bagi binatang pula, masyarakat kampung saya menyebut mampus. Jarang saya mendengar masyarakat saya menggunakan perkataan mati jika binatang ternakan mereka mati. Contoh ayat :

i) Ada orang mati kat kampung Kuak Tengah
ii) Lebai Man dah tak da
iii) Banyak ayam kat kampung mapuh (mampus) terkena penyakit.
  Ayat (i) mati dan (ii) dah tak da merujuk kepada manusia yang telah meninggal dunia. Tapi, pada zaman sekarang, ada juga beberapa orang kampung yang berpelajaran tinggi dan hidup di bandar turut menggunakan perkataan meninggal dunia, pulang ke Rahmatullah. Dalam ayat (iii) mapuh (mampus) merujuk kepada binatang yang telah mati.

4) Penentuan status perkahwinan ( Suami + isteri )
Bagi anak-anak kampung yang telah berkahwin atau berumah tangga, masyarakat kampung saya menggelar pasangan pengantin tersebut dengan istilah laki dan bini. Nampak pelik dan kasar, tapi penggunaa kedua-dua istilah tersebut telah menjadi konvesional dalam komuniti kampung saya. Jarang sekali hendak mendengar istilah suami isteri. Contoh ayat :

i) Perangai laki bini sama saja.
Bahasa Kasar yang telah dibaiki :

Bahasa Kasar
Bahasa Halus
Kencing
Buang air kecil
Berak
Buang air besar
Jantan (manusia)
lelaki
Betina (manusia)
Perempuan
Mampus (binatang)
Mati
Mati, sudah tiada (manusia)
Pulang ke rahmatullah, meninggal dunia
Laki
Suami
Bini
Isteri, orang rumah





Wednesday, 14 March 2012

Bahasa Sekerat Belut, Sekerat Ular


Situasi
Ketika asyik saya melayari laman sosial Muka Buku (Facebook), tiba-tiba ada seorang teman, iaitu rakan sekampung saya (nama dirahsiakan) telah menulis pada catatan dindingnya (status) berkaitan dengan hari resepsi perkahwinanya pada hari ini. Status yang ditulis pada dindingnya mengandungi beberapa kesalahan tatabahasa bahasa Melayu. Ayat yang digunakannya boleh dikategorikan sebagai bahasa Melayu Rendah dan sesuai digunakan di dalam suasana tidak formal. Saya hairan kenapa dia tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul dari segi tatabahasa? sedangkan dia merupakan pemegang ijazah di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini. Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, dia telah didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu dengan betul, terutama ketika membuat penulisan ilmiah di universiti.
   Tapi, malangnya selepas tamat pengajian dia tidak mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Di sini menunjukkan bahawa dia tidak begitu mengambil berat terhadap kesuciaan bahasa ibudanya yang telah ditutur sejak dari kecil. Kemungkinan juga, dia terpengaruh atau berbangga dengan penguasaan bahasa keduanya, iaitu bahasa Inggeris telah menyebabkannya mengaplikasi bahasa tersebut ke dalam bahasa Melayu melalui penyelitan beberapa istilah bahasa Inggeris dalam pertuturannya seharian. Dia tidak sedar atau tidak mengetahui bahawa tindakannya itu telah mencemari kesuciaan bahasa Melayu serta menggalakkan bahasa sekerat belut, sekerat ular dalam sesebuah komuniti melalui laman maya (internet).

Gambar Hiasan
Sekerat belut, sekerat ular

i) my wife tengah bersiap kat kedai..my turn lagi 2 jam..semoga majlis resepsi hari ini berjalan lancar.
  Ayat (i) di atas merupakan ayat yang digunakan oleh rakan saya pada catatan dinding Facebooknya. Dalam ayat di atas, terdapat tiga perkataan dalam bahasa Inggeris telah digunakan, iaitu perkataan my, wife, dan turn. Rakan saya ini telah mencampurkan ketiga-tiga perkataan dengan bahasa Melayu. Akibat daripada percampuran bahasa ( Inggeris + Melayu ) telah mewujudkan gejala bahasa sekerat atau sekerat belut, sekerat ular. Ayat di atas jelas telah mencemar kesuciaan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana, penutur natif bahasa Melayu tidak segan silu menyelitkan bahasa asing ke dalam bahasa Melayu ketika bercakap atau memberi pendapat dan komen.
Ayat yang telah dibaiki

ii) Isteri saya tengah bersiap dekat kedai..giliran saya lagi 2 jam..semoga majlis resepsi hari ini berjalan lancar.
Alangkah baik jika rakan saya tadi menggunakan ayat (ii) di atas apabila ingin menulis pada catatan dinding Facebooknya. Semua orang yang membaca ayat tersebut akan memahami maksud yang ingin disampaikannya berbanding ayat (i) yang mungkin kurang difahami oleh pembaca jika mereka tidak boleh bertutur di dalam bahasa Inggeris. Jadi, di sini terletaknya kepentingan penggunaan bahasa Melayu Tinggi yang sering ditegaskan oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan dalam setiap seminarnya. Menurut beliau, bahasa Melayu Tinggi merujuk kepada bahasa Melayu Baku (formal) yang sistem tatabahasanya lebih beradab dan sopan apabila bercakap dengan seseorang yang diajak bercakap.
  Manakala, bahasa Melayu Rendah ialah bahasa yang ditutur oleh orang yang tidak berpelajaran dan ia sesuai berlawan cakap dengan orang tidak berpelajaran atau situasi tidak formal seperti di perhentian bas, pasar, kedai kopi dan sebagainya. Menurutnya lagi, kesan yang paling penting akibat menggunakan bahasa Melayu rendah ini ialah kita akan kelihatan tidak serius. Orang yang tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang. Orang bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Kenyataan beliau ini saya dapat samakan dengan status yang ditulis oleh rakan saya tadi (ayat i) pada catatan dinding Faceboonya yang jelas menggunakan bahasa Melayu Rendah.

Sumber




Tuesday, 13 March 2012

Lokek : Kedekut atau Panas Baran


Gambar Hiasan
Situasi
Satu pagi di tempat letak kereta sebuah jabatan kerajaan di ibu negara…

Zam : Celaka betullah! Dilanggarnya side mirrow aku sampai terpelanting lepas tu bagi isyarat lucah pulak. Nak kejar jalan jem pulak, kalau dapat tadi mampus aku kerjakan!
Mad : Apa yang lokek sangat ni? Yang sudah tu sudahlah!
Zam : Siapa kata aku lokek? Hari-hari kau sapu rokok aku, itupun kau kata lokek lagi!
Mad : Lokek le tu,…pagi-pagi dan marah-marah. Aku tegur pun marah. Tak  baik tau marah-marah pagi-pagi buta ni,…rezeki lari! Apa hal sebenarnya ni? Cuba cerita pelan-pelan.
Zam : Tadi ni haa, tengah jem-jem ada seorang mat rempit ni cilok disapunya side mirror kiri Myvi aku.
Mad : Pecah ke?
Zam : Bukan lagi pecah! Tercabut, terpelanting atas jalan. Kena handle dia kut? Dahlah side mirror tu import punya, bukan yang asal. Mahal tau aku beli tu, mahal satu hal…nak dapat pun susah! Bukannya dia nak bayar, bila aku hon dia pandang dan tunjuk isyarat lucah lepas tu terus hilang celah-celah jem tu. Ini yang aku hangat ni! Kau pulak bagi tambah hangat aku ni tuduh aku lokek pulak! Dahlah rokok aku sapu, tak cakap terima kasih pun!
Mad : Ooo, tu ke sebabnya mu lokek sangat pagi ni!
Zam : Ni nak kena pelangkung le ni! Balik-balik kau tuduh aku lokek! Kena sedas kang baru tau! Orang tengah hangat, dia tuang minyak lagi.
Mad : Haa! Tu lokek le tu. Orang lokek ni kuat marah-marah tak tentu pasal! Faham tak?!
Zam : Aku ingat kau tuduh aku kedekut, setau aku lokek tu maknanya kedekut. Kalau aku kedekut, aku tak bagi kau supply rokok tiap-tiap hari.
Mad : Siapa kata mu kedekut? Tadi tu aku hairan kenapa mu garang sangat, orang garang macam tu orang tempat aku kata lokek. Kalau kedekut tu orang tempat aku panggil kupik hangik!
Zam : Kupik Hangik? Kau jaga sikit mulut tu, jangan nak mencarut nanti dengar dek orang, boleh dituduh gangguan seksual!
Mad : Gangguan seksual apanya?!

Analisis
Dalam dialog di atas merupakan salah satu salah faham terhadap maksud perkataan ‘lokek’ terhadap pandangan sesebuah komuniti. Dalam dialog tersebut, kedua-dua penutur menggunakan perkataan lokek yang mempunyai makna yang berbeza. Perbezaan maksud lokek ini telah menyebabkan pergaduhan telah berlaku antara mereka. Penggunaan dan maksud perkataan lokek adalah berbeza mengikut negeri-negeri di Malaysia. Misalnya, di negeri Kedah, lokek bermaksud kedekut atau tangkai jering, manakala di kampung saya, iaitu di kampung Kuak Hulu, Perak, lokek membawa maksud orang yang garang dan selalu naik angin. Contoh ayat :

i) Osman seorang lelaki yang lokek.
ii) Osman seorang lelaki yang lokek.

    Dalam kedua-dua ayat di atas, perkataan lokek membawa maksud yang berbeza. Dalam ayat (i), lokek membawa maksud kedekut. Osman seorang lelaki yang kedekut atau tangkai jering, manakala dalam ayat (ii) lokek membawa maksud orang yang garang dan selalu naik angin. Osman seorang lelaki yang sangat garang dan selalu naik angin. Namun, jika saya bertembung dengan penutur atau orang luar dari tempat saya, akan wujud ketidakfahaman dan pergaduhan berkaitan dengan perkataan lokek ini. Contohnya, jika saya, orang Perak bertutur dengan orang Kedah akan terjadi seperti dalam dialog di atas. Masing-masing mempunyai pegangan berbeza tentang makna perkataan lokek dalam komuniti kami. Jika situasi ini berlaku akan wujud satu lagi bahasa, iaitu bahasa itik dan ayam antara kami.

Orang Kedah :
Zam : Siapa kata aku lokek? Hari-hari kau sapu rokok aku, itupun kau kata lokek lagi!
Orang Kelantan :
Mad : Siapa kata mu kedekut? Tadi tu aku hairan kenapa mu garang sangat, orang garang macam tu orang tempat aku kata lokek.

Kesimpulan
Terdapat beberapan perkataan dalam bahasa Melayu terutama dalam dialek-dialek mempunyai makna yang berbeza bagi setiap negeri. Contoh perkataan yang paling ketara ialah perkataan lokek yang berbeza makna bagi setiap penutur dialek dalam sesebuah negeri. Apabila kedua-dua penutur yang berbeza dialek berhubung atau bercakap, mungkin wujud ketidakfahaman dan pergaduhan berkaitan dengan fungsi lokek. Masing-masing hendak mempertahankan fungsi perkataan tersebut dalam dialek masing-masing. Hal ini demikian kerana, perkataan lokek serta maksudnya telah disepakati (kovensional) oleh penuturnya dalam sesebuah komuniti dan pergaduhan akan wujud apabila terdapat penutur luar dialek mereka memberi makna baru dan berbeza dengan konvesi mereka terhadap perkataan lokek tersebut. Oleh itu, untuk mengelakkan wujudnya ketidakfahaman dan pergaduhan kita perlu belajar dan mengkaji juga beberapa perkataan dalam dialek penutur negeri lain jika terdapat persamaan perkataan agar kita dapat mengetahuinya apabila kita bertutur dengan mereka.

Glossari
Lokek
i - kedekut, bakhil, kikir
ii - (dialek Kelantan,Perak) lekas marah, garang, panas baran
Kupik hangik - (dialek Kelantan) terlalu kedekut

Monday, 12 March 2012

Percampuran Kod dalam Lirik lagu


“Atok oh atok, Tabiat Tak Pa”
Semasa sesi pengajian mikro minggu lepas, ada rakan saya telah menayangkan video berkaitan dengan pencemaran alam sekitar. Video yang ditayangkan oleh rakan saya berupa nyanyian oleh beberapa pelakon terkenal di Malaysia. Tajuk lagu tersebut ialah Atok oh atok (Tabiat tak pa). Dalam lirik lagu tersebut, saya telah mendapati beberapa kesalahan ayat telah berlaku dalam baris-baris lagu  yang menyalahi rumus tatabahasa Melayu. Terdapat beberapa baris lirik sahaja yang menggunakan rumus tatabahasa dengan betul. Jadi, saya telah menulis beberapa kesalahan tatabahasa yang terdapat di dalam lagu tersebut. Antara kesalahan yang saya kesan adalah seperti di bawah :
…..
Itu toksik…ikan mana boleh nyawa…?Orang pun boleh mati tau…!
Aiyo…semua kasi buang, plastic buang! Botol buang! Tin buang! Aiyo yo..
Macam mana aku tak kotor, depa buang sampah! Depa kata… ‘Tak Pa’
Yala…sudah la..cincai-cincailah..!Aiya…nanti arr..ada orang mali angkat itu sampah..lah
Jangan dok gabra, sat lagi depa mai kutip la…’Tak Pa’!!
Banyak sangat Carbon Dioxide…Sulphur Dioxide..Nitrus Oxide..
….
  (Atok oh atok,Tabiat Tak Pa)

    Dalam lirik lagu yang saya nyatakan di atas, terdapat pelbagai percampuran kod telah berlaku sehingga menjadikan lirik tersebut cacar merba. Di situ kita dapat lihat, bahasa Melayu sudah kehilangan nilai dan mutunya akibat daripada percampuran kod tersebut. Antara percampuran kod yang terdapat dalam lirik lagu di atas ialah percampuran dialek, bahasa Tamil, bahasa Cina, dan bahasa Inggeris. Jadi, laras bahasa yang digunakan di dalam lirik lagu di atas adalah bahasa rendah dan ia hanya layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas dan sebagainya.

Analisis
Itu toksik…ikan mana boleh nyawa…?Orang pun boleh mati tau…!
Ayat yang betul ialah itu toksik, ikan mana boleh nyawa? Orang pun boleh mati tahu. Perkataan ‘tau’ merujuk kepada dialek Kedah yang merujuk kepada tahu dalam bahasa Melayu Standard.

Aiyo…semua kasi buang, plastik buang! Botol buang! Tin buang! Aiyo yo..

Ayat yang betul ialah Semua kasi buang, plastic buang! Botol! Tin kosong!. Perkataan aiyo dan aiyo yo merupakan perkataan di dalam bahasa Tamil merujuk kepada sesuatu yang menimpa mereka dan perkataan itu akan diucapkan oleh mereka.

Macam mana aku tak kotor, depa buang sampah! Depa kata… ‘Tak Pa’

Ayat yang betul ialah Macam mana aku tidak kotor, mereka buang sampah! Mereka kata…tidak apa. Perkataan tak merujuk kepada sinkorf, iaitu penggguran beberapa perkataan sama ada di awal atau di akhir perkataan. Tak sepatutnya ditulis tidak dalam dalam bahasa Melayu Standard. Perkataan depa pula merujuk kepada dialek, iaitu dialek Kedah yang merujuk kepada Kata Nama Diri Ketiga, mereka dalam bahasa Melayu Standard.

Yala…sudah la..cincai-cincailah..!Aiya…nanti arr..ada orang mali angkat itu sampah..lah

Ayat yang betul ialah sudah..cincai-cincai…! Nanti ada orang mari angkat sampah itu. Dalam baris lirik di atas terdapat perkataan dalam bahasa Cina diselitkan, iaitu perkataan aiya, mali, dan lah. Mali dalam bahasa Cina merujuk kepada perkataan mari dalam bahasa Melayu Standard.

Jangan dok gabra, sat lagi depa mai kutip la…’Tak Pa’!!

Ayat yang betul ialah jangan bimbang, nanti mereka datang kutip…tidak apa!!. Dalam lirik lagu di atas terdapat penggunaan dialek Utara, iaitu dialek Pulau Pinang, seperti dok gabra, sat, depa dan tak pa. Gabra bermaksud bimbangsat bermaksud sekejap depa bermaksud mereka dan tak pa bermaksud tidak mengapa dalam bahasa Melayu Standard.

Banyak sangat Carbon Dioxide…Sulphur Dioxide..Nitrus Oxide..

Ayat yang betul ialah banyak sangat Karbon Dioksida.. Sulfur Dioksida.. Nitrus OksidaCarbon Dioxide, Sulphur Dioxide, Nitrus Oxide merupakan ejaan di dalam bahasa Inggeris. Jika ingin menulis di dalam bahasa Melayu ia perlu ditulis seperti berikut Karbon Dioksida, Sulfur Dioksida dan Nitrus Oksida.

Lirik lagu yang telah dibaiki
…..
Itu toksik…ikan mana boleh nyawa…?Orang pun boleh mati tahu…!
semua kasi buang, plastik buang! Botol buang! Tin buang!
Macam mana aku tidak kotor, mereka buang sampah! mereka kata… ‘Tidak apa’
sudah ..cincai-cincai..! nanti ada orang mari angkat sampah itu,
Jangan bimbang nanti mereka mari kutip…’Tidak apa’!!
Banyak sangat Karbon Dioksida…Sulfur Dioksida..Nitrus Oksida..
….(Atok oh atok,Tabiat Tak Pa)

Kesimpulan
Selepas ini, para pencipta lagu di Malaysia supaya lebih berhati-hati di dalam mencipta lagu supaya pencemaran bahasa tidak berlaku. Perkara ini akan menyebabkan bahasa Melayu akan tercemar sebagai bahasa rasmi di negara ini. Seperti kata pepatah ‘yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.