Monday, 28 May 2012

Daftar Istilah


1. Lingua Franca
Bahasa yang terdapat dalam kawasan pertembungan bahasa yang intensif yang digunakan oleh penutur-penutur bahasa daripada pelbagai komuniti bahasa sebagai bahasa perantara sepunya dalam berkomunikasi.

2. Bahasa Slanga
Satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baharu digubal dan sifatnya cepat berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh golongan remaja dan profesional. Dalam bahasa ini, kata-kata baru muncul dan kemudian hilang dengan cepat.

3. Bilingualisme
Seseorang mengetahui dan menguasai 2 bahasa dan mengamal dan menggunakan kedua-dua bahasa tersebut dalam kehidupan seharian.

4. Bahasa Sindiran
Perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebutkan dengan tepat, hanya disigung dengan dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak suka hendak menyebutnya terang-terang.

5. Bahasa Mengejek
Bahasa yang mengatakan seseorang atau seseuatu kumpulan dengan perkataan yang tepat tetapi dengan gaya yang mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkan dia supaya Nampak bodohnya, atau sia-sianya atau ditertawakan orang.

6. Setia Bahasa
Dengan setia bahasa, timbullah rasa cinta yang bermakna bahawa kita mesti memelihara kedudukan bahasa berkenaan supaya tidak tersisih dari kehidupan masyrakatnya.
(Asmah Hj. Omar, 2002:64)
7. Cinta Bahasa
Sikap cinta bahasa memerlukan kita menjaga kedudukan bahasa itu sebagai lambang perpaduan kita dalam erti kata lain ‘kepunyaan kita bersama.’

8. Bangga bahasa
Sikap menggunakan bahasa menurut peraturan-peraturan yang sudah dipersetujui oleh masyarakat, atau dalam erti kata lain ‘menggunakan bahasa dengan baik.’

Friday, 4 May 2012

Komentar Penulis

Penulis
Kesimpulannya, saya berjaya menyiapkan 40 situasi berkaitan dengan ilmu Sosiolinguistik yang dimuatkan di dalam blog saya, iaitu KOREK BAHASA. 7 minggu (mula minggu 3-10) saya mengambil masa untuk menyiapkan 40 situasi tersebut dan pelbagai situasi Sosiolinguitik yang saya telah jumpa dalam kehidupan saya di sekeliling seperti slanga, dialek, santun dan tidak santun bahasa, variasi bahasa, setia bahasa, bahasa kasar, bahasa halus, bahasa panggilan dan sebagainya. Kepelbagaian situasi ini telah membantu dan memberi faham kepada saya berkaitan dengan ilmu Sosiolinguistik yang sebenarnya. Bagi saya, pembelajaran secara teori seperti di dalam kelas dan kuliah kurang membantu dalam memahami sesuatu ilmu, tetapi apabila digabungkan teori dengan praktikal barulah saya dapat memahami dan    menguasai sesuatu ilmu tersebut.

    Ucapan terima kasih kepada pensyarah Sosiolinguistik, Puan Husna Faredza Binti Mohamed Redzwan yang menyediakan tugasan blog untuk menulis dan mengumpulkan situasi-situasi Sosiolinguitik yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia seharian. Bagi saya tugasan berbentuk blog ini bagus dan sesuai digunakan, kerana apa-apa yang kita tulis dapat dikongsi bersama-sama dengan orang lain di laman maya. Orang lain juga dapat memberi komen dan pandangan terhadap penulisan kita. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan Kursus Sosiolinguistik yang memberi tunjuk ajar dan sokongan kepada saya dalam mencari dan menyiapkan 40 situasi ini selama 7 minggu - Mohd Kodri Bin Ab Malik


Thursday, 3 May 2012

Pola penggunaan Kata Ganti Nama


Di antara Mentua dengan Menantu

Perhubungan mereka lebih formal dan menantu menunjukkan tanda hormat kepada mentuanya. Oleh hal yang demikian, menantu biasanya tidak akan menggantikan kata ganti pertama dirinya dengan namanya. Tetapi mentua mempunyai pilihan. Dia boleh menggunakan Bahasa Kasar (BK) bagi orang pertama dan kedua dan dia juga boleh menggantikan dengan bahasa panggilan (BP), sebagai tanda kemesraan, atau saling hormat-menghormati. Apabila mertua bergaduh atau tiadak puas hati dengan menantunya, dia boleh menukarkan pola penggunaan ini kepada BK. Tetapi hak yang sama tidak ada pada menantunya. Contoh :

Situasi (a)
Mentua : Man, mari makan dengan ayah.
Menantu : Baiklah ayah, nanti man tukar pakaian dahulu.
Situasi (b)
Mentua : Hafiz, aku tak suka akan perangai kau yang tidak bertanggungjawab ini.
Menantu : Ayah tak faham tujuan saya.




Wednesday, 2 May 2012

Pola-pola penggunaan Kata Ganti


Dalam konteks kampung

Anggota-anggota sesebuah kampung biasanya memiliki perhubungan kekerabatan secara umum di antara satu sama lain, dan hal ini mempunyai manifestasi dalam bentuk-bentuk panggilan, misalnya Pak Mat, Pak Cu, Pak Man dan sebagainya. Tetapi di dalam sesebuah kampung itu terdapat juga orang-orang lain yang tidak tergolong dalam kaum kerabat, seperti orang-orang yang mendatang, guru-guru dan pegawai-pegawai yang dihantar bertugas dan orang-orang yang terasing dari status, sama ada bersifat tradisional, misalnya ketua kampung. Dalam perkara ini, terdapat dua faktor harus diberi pertimbangan, iaitu :

1. Umur atau status ialah dua faktor dalam penggunaan kata ganti, dan
2. Terdapat secara perbandingan, gejala jarak di antara penutur-penutur yang tidak menjadi anggota keluarga seseorang.
Oleh itu, bagi pola bahasa Kasar (BK) – bahasa Halus (BH) kata ganti orang pertama jarang diambil alih oleh bahasa panggilan (BP), tetapi kata ganti orang kedua digantikan dengan BP oleh pihak yang lebih ‘rendah’ kepada yang lebih tinggi.

i) BK  -  BH, digunakan oleh :
a) Orang tua dengan muda
b) Pihak yang lebih tinggi dengan yang lebih rendah.
Misalnya :

Situasi 1
Pak Cu : Mad, aku hendak ajak engkau ke rumahku
Mad : Mengapa Pak Cu hendak ajak saya ke rumah Pak Cu?

Situasi 2
Penghulu kepada :
Penutur yang tua : Pak Cu, tolong bawa barang ini ke rumah saya.
Penutur yang muda : Samad, bawa barang ini ker rumahku
Pak Cu dan Man : Baik  Tuk Penghulu, nanti saya bawakan.

Tuesday, 1 May 2012

Pola penggunaan Kata Ganti Nama


Di antara Anggota- anggota keluarga

1. Ibu bapa dengan Anak-anak

Pola yang biasa terdapat dalam kalangan ibu bapa dan anaknya ialah bahasa tidak Hormat atau Bahasa Kasar (BK), bahasa Halus Bahasa Hormat (BH). Misalnya ibu bapa meggunakan BK orang pertama dan kedua dan menerima BH orang pertama dan membentuk panggilan bagi orang kedua. Misalnya :

Ibu : Aku pergi, tapi kau tak boleh pergi.
Anak : Kalau mak pergi, saya pun pergi  juga.
Ini merupakan pola umum apabila ibu bapa dan kaum keluarga yang lebih tua bercakap dengan anak-anak atau orang-orang yang lebih muda dalam sesebuah keluarga. Situasi ini menunjukkan taraf mereka yang bercakap lebih tinggi daripada pihak yang dilawan bercakap. Demikian juga wajib bagi orang-orang yang lebih muda menggunakan bentuk BH bagi kata ganti pertama apabila bercakap dengan orang-orang yang lebih tua dan menggunakan nama panggilan seperti mak, ayah, pak cik, kak long, bagi orang kedua apabila bercakap dengan mereka.

   Walau bagaimanapun, satu variasi kepada pola di atas, terdapat dalam bentuk kedua-dua pihak memberikan dan menerima Bahasa Panggilan atau bahasa hormat bagi kata ganti. Misalnya :

Ibu : Mak pergi, tapi Ali tak boleh pergi.
Anak : Kalau mak pergi, Ali pun pergi  juga.
Pola ini mempunyai keseringan yang agak tinggi juga, tetapi khusus dalam kalangan kaum keluarga yang agak rapat. Pola ini menunjukkan keeratan perhubungan dan kekurangan perasaan tegang dan jarang timbul dalam keluarga yang disiplinnya  kuat, terutama jika bapa itu berperangai agak pemarah atau pendiam.


Monday, 30 April 2012

Perancangan Bahasa


Kebanyakan tugas pengembangan dan pembinaan bahasa Melayu (BM) ditanggung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), badan perancangan bahasa yang telah ditubuhkan pada tahun 1956. F.X. Karam (1974) menganggap DBP sebagai satu badan yang menjalankan atau mengawasi tiga aktiviti perancangan bahasa yang berkaitan, iaitu perancangan, pelaksanaan, dan penilaian. Pada peringkat pelaksanaan, kegiatan-kegiatannya ialah yang terlibat dengan bahasa itu sendiri, iaitu penentuan norma, kondifikasi norma melalui sistem tulisan, penyusunan tatabahasa dan kamus (teknikal dan bukan teknikal) dan penyebaran norma-norma ini kepada pengguna-pengguna. Satu tinjauan sepintas lalu akan kegiatan-kegiatan DBP dapat menggambarkan kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan.

Konsep perancangan bahasa
Menurut Haugan (1972:287), perancangan bahasa ialah aktiviti normatif sesebuah akademi atau jawatankuasa bahasa, semua bentuk aktiviti yang dikenal nama pemupukan bahasa (language cultivation) dan semua cadangan yang menuju kea rah reformasi bahasa atau penyeragaman.

    Menurut Rubin & Jernudd (1971), perancangan bahasa meliputi kegiatan-kegiatan yang membawa perubahan kepada bahasa yang ‘dirancangkan oleh badan-badan yang ditubuhkan khas untuk tujuan-tujuan ini atau yang diberikan mandat untuk menjalankan tugas-tugas ini.’(Ham. xvi). Badan-badan ini dinamakan badan perancangan bahasa.

Tujuan penubuhan DBP
Di Malaysia, badan yang penting dalam perancangan bahasa ialah DBP yang ditubuhkan sebagai satu jabatan dalam Kementerian Pendidikan pada tahun 1956. Di awal penubuhan DBP, badan ini bergelar Balai Pustaka, namun atas cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III, namanya diubah kepada namanya sekarang DBP. Pada tahun 1959, melalui Akta Parlimen, DBP berubah menjadi sebuah perbadanan.

    Tujuan utama penubuhan DBP ialah untuk memupuk dan memperkaya BM melalui penyelidikan, penerbitan, dan penyebaran bahan-bahan dalam BM. Sejak lebih 30 tahun penubuhannya, banyak kemajuan telah dicapai. Antara aktiviti yang telah dilakukan DBP termasuklah :
  
1. Yang bersifat mempopularkan BM
Aktiviti-aktiviti ini dijalankan pada peringkat awal penubuhannya dan bertujuan untuk memperkenalkan kebolehan dan kemampuan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan.

2. Pemodenan bahasa
Dalam bidang ini termasuklah kegiatan penyelidikan dan penyediaan aspek-aspek bahasa yang bertujuan untuk melengkapkan BM sesuai dengan tugas-tugas baharunya. Aktiviti yang paling Berjaya pemodenan perbendaharaan kata, iaitu penciptaan istilah-istilah baru. Kegiatan-kegiatan lain ialah penyediaan kamus, buku-buku teks, dan bahan-bahan bacaan termasuklah penghasilan majalah-majalah dan risalah tentang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan.

3. Penyeragaman bahasa
DBP cemerlang menjayakan penyelesaian masalah ejaan, terutama tercpainya ejaan bersama Melayu-Indonesia pada tahun 1972. Aspek-aspek lain ialah penyeragaman tatabahasa dan sebutan.

4. Pemupukan kesusasteraan
DBP berfungsi sebagai sumber penghasilan dan penyebaran bahan-bahan kesuasasteraan.

5. Penerbitan
DBP mengadakan bahan bacaan, terutama buku-buku teks untuk institusi pengajian. DBP turut menerbitkan majalah yang bermutu dan mendapat sambutan.

Laporan Tahunan 1986 :

a) Pembinaan dan pengembangan bahasa
Ini dicapai melalui kegiatan dalam bidang-bidang seperti penyelidikan, peristilahan, perkamusan, dan pelaksanaan.

     Dalam bidang penyelidikan, aspek-aspek yang dikaji ialah korpus bahasa, kaji selidik pemasyarakatan bahasa, pembinaan pangkalan data bahasa kebangsaan dan penyusunan dan penulisan sejarah bahasa Melayu.

  Dalam bidang peristilahan, matlamat adalah untuk membina dan memperkaya peristilahan Melayu dan menyebarkan penggunaannya pada peringkat kebangsaan dan rantau Asean. Contoh MABBIM.

   Bahagian perkamusan menerbitkan pelbagai jenis kamus yang dapat mencerminkan kedudukan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Pada tahun 1986, DBP terlibat dalam usaha menerbitkan lima buah kamu, iaitu Kamus Inggeris-Melayu, Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Kamus Berilustrasi Bahasa Malaysia, Kamus Ilmu Sains Am, dan tambahan kepada Kamus Dewan.

   Unit pelaksanaan Bahasa Kebangsaan bertujuan meningkatkan taraf penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu di sector awam, sector pendidikan, media massa, dan masyarakat umum. Antara aktiviti yang dilakukan ialah ceramah, kursus, penyemakan, dan penyebaran maklumat.

b) Pembinaan dan pengembangan sastera
Pada tahun 1986, tiga projek baru dimulakan, iaitu Kumpulan Pantun Melayu, Malaysia Dalam Puisi, dan Panduan Teks Melayu Klasik. Terdapat juga Glosari Istilah Kesusasteraan, Wajah (Biografi Penulis) (edisi kedua), Kaji Selidik Pembaca Sastera, Konsep dan Pendekatan Sastera, penerbitan novel-novel Melayu sebelum Perang Dunia Ke-2, Sejarah Kesusasteraan Melayu II, dan Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik.

      DBP juga memperkenalkan Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Malaysia, Penulis Tamu DBP, Kelab Sastera, ceramah dan bengkel serta kegiatan bertaraf antarabangsa seperti Pengucapan Puisi Kuala Lumpur.

c) Penebitan buku dan majalah
Pada tahun 1986, 376 judul buku berjaya diterbitkan, iaitu 204 judul baru dan 172 judul yang dicetak semula. Pembahagian judul dibahagi kepada bidang bahasa 48 (27 buah), sastera 142 (75 buah), sains 74 (41 baru), kemanusiaan 67 (43 baru), agama/baru 29 (11 baru), dan seni dan budaya 16 (7 baru).

   Dalam penerbitan majalah dan jurnal, DBP meneruskan penerbitan lima buah majalah dan sebuah jurnal pada setiap bulan. Antara majalah yang diterbitkan DBP ialah Dewan Masyarakat 50,000, Dewan Sastera 4,000, Dewan Budaya 4,000, Dewan Siswa 13,000, Dewan Pelajar 36,000, dan jurnal Dewan Bahasa 3000.

  Bahagian penerbitan Am juga mengadakan program pembangunan penerbitan, antaranya Bantuan Dermacipta, Minggu Remaja, dan Minggu Kawanku Buku.

Nik Safiah Karim (1981). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Dewan
Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.




Friday, 27 April 2012

Fungsi bahasa yang berbeza-beza


Berdasarkan situasi di bawah :

Situasi : Perbualan di antara seorang isteri dengan suaminya. Si isteri hendak mengalihkan sebuah meja besar dari suatu tempat ke tempat yang lain. Tetapi, dia bersendirian dan tidak mampu.Lantas dia meminta pertolongan daripada suaminya. Berdasarkan dialog di bawah :

Isteri : Abang, boleh abang tolong Ain?
Suami : Boleh, apa dia?
Isteri : Tolong angkat meja yang berat ini ke sana.
Suami : Baiklah, Nah! Hendak letak di mana?
Isteri : Di sini, di penjuru bilik ini. Elok-elok, perlahan-lahan, nanti rosak   pula.
Suami : Jangan khuatir. Abang orang kuat. Ada lagi apa-apa yang boleh abang angkat?
Isteri : Tak da. Terima kasih, abang.
Suami : Sama-sama.
    Apakah penggunaan bahasa dalam kejadian kecil di atas? Secara umum dapat dikatakan bahawa dengan penggunaan bahasa, si isteri Berjaya meminta pertolongan suaminya, iaitu untuk mengerjakan sesuatu. Tanpa menggunakan bahasa, perkara ini dapat juga dilaksanakan, iaitu dengan isteri menyampaikan buah fikiran yang sama dengan menggunakan bahasa isyarat, dengan gerak-geri tangan dan kakinya, dan melakonkan apa yang hendak dilakukan mereka berdua. Tetapi buah fikiran itu dengan senang dapat disampaikan melalui bahasa.

  Dengan mengucapkan dua tiga ayat, serta dengan gerak badan yang sesuai, maksud sesuatu dapat dijelaskan. Inilah satu fungsi utama bahasa kita, bahasa Melayu : Bahasa digunakan sebagai alat perhubungan, alat untuk menyatakan buah fikiran, dan dengan demikian alat untuk menjayakan aktiviti seharian.




Thursday, 26 April 2012

Konsep Bilingualisme


Istilah biligualisme (Inggeris : bilingualism) dalam bahasa Indonesia dipanggil kedwibahasaan. Maksud dari segi harfiah, bilingualisme ialah penggunaan dua bahasa atau dua kod bahasa, iaitu sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin di Malaysia.

    Menurut  Mackey (1962:12), bilingualisme membawa maksud penggunaan dua bahasa oleh seorang penutur dalam pergaulannya dengan orang lain secara penggantian. Misalnya, jika seorang bilingualism bercakap dengan penutur Melayu, dia menggunakan bahasa Melayu, dan jika dia bercakap dengan penutur Cina dia menggunakan bahasa Cina atau Mandarin.

   Untuk mengetahui dan menguasai kedua-dua bahasa, seseorang itu perlu menguasai bahasat tersebut. Pertama bahasa ibundanya sendiri (B1), dan yang kedua bahasa lain yang menjadi bahasa keduanya (B2). Orang yang boleh menguasai kedua-dua bahasa itu digelar orang yang bilingual, manakala orang yang mampu untuk menggunakan kedua-dua bahasa itu digelar bilingualitas.

Wednesday, 25 April 2012

Lingua Franca


Lingua franca ialah sebuah sistem linguistik yang digunakan sebagai alat komunikasi sementara oleh para penutur yang mempunyai bahasa ibu yang berbeza. Dahulu, bahasa Latin di Eropah adalah sebuah lingua franca bagi bangsa-bangsa eropah.

  Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca kepada suku-suku bangsa yang berada di wilayah Nusantara. Secara sendiri, baik bangsa-bangsa di eropah atau suku bangsa di Malaysia mempunyai bahasa vernakular yang berbeza. Jadi, bagi interaksi antarabangsa atau suku bangsa diperlukan adanya sebuah bahasa yang menjadi lingua franca.

  Pemilihan satu sistem lingustik menjadi sebuah lingua franca adalah berdasarkan wujudnya kefahaman di antara sesama mereka. Bahasa Latin dahulu, difahami oleh semua bangsa eropah dan bahasa Melayu turut difahami oleh semua suku bangsa di Nusantara. Kini, bahasa Latin tidak lagi menjadi lingua franca di eropah, tempatnya telah digantikan oleh bahasa Inggeris dan bahasa Perancis.

    Bahasa Malaysia/Indonesia kini masih menjadi lingua franca di kawasan Asia Tenggara. Bahasa Inggeris digunakan di India dan Filifina yang diangkat secara politik menjadi bahasa rasmi negara masing-masing adalah berdasarkan bahasa Inggeris itu sendiri telah menjadi lingua franca di negara tersebut. Jika menghadiri sidang-sidang umum PBB seseorang boleh menggunakan bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Cina dan Arab kerana alasan kelima-lima bahasa itu banyak difahami oleh bangsa-bangsa di dunia ini. Jadi, kelima-lima bahasa itu adalah bahasa lingua franca.

    Kerana dasar pemilihan lingua franca adalah kefahaman atau saling mengerti daripada penutur bahasa yang menggunakannya, maka bahasa apa-apa pun, baik sebuah langue, pijin, atau kreol dapat menjadi sebuah lingua franca itu.

Tuesday, 24 April 2012

Masalah-masalah Sosiolinguistik


Persidangan sosiolinguistik pertama yang diadakan di Universiti of California, LA pada tahun 1964, telah merumuskan terdapat tujuh dimensi dalam penelitian sosiolinguistik. Ketujuh-tujuh dimensi merupakan masalah dalam sosiolinguistik, iaitu :

1. Identiti sosial penutur
2. Identiti sosial dari pendengar yang terlibat dalam proses komunikasi
3. Lingkungan sosial tempat peristiwa tutur terjadi
4. Analisis sinkronik dan diakronik  dari dialek-dialek sosial
5. Penilaian sosial yang bebeza oleh penutur akan perilaku bentuk-bentuk ujaran
6. Tingkata variasi dan ragam linguistik
7. Penerapan praktik dari penelitian sosiolinguistik
(Lihat Dittmar 1976:128)
1. Identiti sosial penutur
Dapat diketahui daripada pertanyaan apa dan siapa penutur tersebut dan bagaimana hubungannya dengan lawan tuturnya. Identiti sosial penutur terdiri  daripada anggota keluarga (ayah, ibu, kakak, adik, pak cik, dan sebagainya), rakan karib, pihak atasan dan pihak bawahan (tempat kerja), guru, murid, jiran, pejabat dan sebagainya. Identiti penutur ini mempengaruhi pilihan kod dalam bertutur.

2. Identiti sosial dari pendengar yang terlibat dalam proses komunikasi
Identiti sosial dari pendengar perlu ditinjau dari pihak penutur. Identiti sosial penutur terdiri  daripada anggota keluarga (ayah, ibu, kakak, adik, pak cik, dan sebagainya), rakan karib, pihak atasan dan pihak bawahan (tempat kerja), guru, murid, jiran, pejabat dan sebagainya. Identiti penutur ini mempengaruhi pilihan kod dalam bertutur.

3. Lingkungan sosial tempat peristiwa tutur terjadi
Terjadi dalam ruang keluarga di dalam sebuah rumah tangga, di dalam masjid, di padang bola sepak, di dewan kuliah, di perpustakaan, dan sebagainya. Tempat peristiwa komunikasi berlaku dapat mempengaruhi pilihan kod dan gaya dalam bertutur. Contohnya, jika berada di perpustakaan, kita perlu bebual dalam keadaan senyap, manakala di padang bola kita boleh berbual kuat.

4. Analisis sinkronik dan diakronik  dari dialek-dialek sosial
Ia berupa deskripsi pola-pola dialek sosial itu, baik yang berlaku pada masa tertentu atau yang berlaku pada masa yang tidak terbatas. Dialek sosial ini digunakan para penutur sehubungan dengan kedudukan mereka sebagai ahli-ahli kelas sosial tertentu di dalam masyarakat.

5. Penilaian sosial yang bebeza oleh penutur akan perilaku bentuk-bentuk ujaran
Setiap penutur tentu mempunyai kelas sosial tertentu di dalam masyarakat. Maka, berdasarkan kelas sosialnya itu, dia mempunyai penilaian tersendiri, yang tentunya sama atau jika berbeza tidak akan terlalu jauh dari kelas sosialnya terhadap bentuk-bentuk perilaku ujaran yang berlangsung.

6. Tingkata variasi dan ragam linguistik
Sehubungan dengan heterogennya anggota suatu masyarakat  tutur, adanya berbagai fungsi sosial dan politik bahasa serta adanya tingkatan kesempurnaan kod maka alat komunikasi manusia yang disebut bahasa itu menjadi sangat bervariasi. Setiap variasi, sama ada dialek, varietas, atau ragam mempunyai fungsi sosialnya masing-masing.

7. Penerapan praktik dari penelitian sosiolinguistik
Membahaskan fungsi penelitian sosiolinguistik untuk mengatasi masalah-masalah praktik dalam masyarakat. Misalnya, masalah pengajran bahasa, pembakuan bahasa, penterjemahan, mengatasi konflik sosial akibat konflik bahasa dan sebagainya.

Monday, 23 April 2012

Santun Bahasa


Santun bahasa bermaksud penggunaan bahasa berpandukan rumus-rumus tertentu. Jika kita menggunakan bahasa Inggeris, penggunaan bahasa disebut  rule-governed. Pada umumnya, terdapat tiga jenis peraturan penggunaan bahasa, iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik, dan peraturan pragmatik. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan itu menunjukkan bahawa penggunaannya bercirikan santun bahasa.

    Peraturan linguistik adalah peraturan yang memastikan keteraturan sebutan dan nahu dalam penggunaan bahasa. Sebutan merupakan kaedah kita melahirkan bahasa melalui mekanisma pengaliran udara dari paru-paru melalui kerongkong dan rongga mulut serta rongga hidung. Namun, ada persetujuan dalam bentuk rupa sebutan dalam situasi tertentu apabila bahasa digunakan dalam situasi rasmi. Dan lahirlah sebutan standard bagi bahasa kebangsaan yang menunjukkan identiti komuniti atau negara berkenaan yang berbeza dengan negara yang lain.

     Nahu merupakan sarana bagi pemikiran. Tanpa nahu, fikiran tidak dapat dilahirkan dengan baik dan teratur, meskipun terdapat perbendaharaan kata. Hal ini bermaksud, jika peraturan nahu tidak dipatuhi, maka fikiran yang lahir tidaklah jelas.

    Sama pentingnya dengan peraturan sosiolinguistik, iaitu peraturan yang mengawal ketertiban sosial antara orang-orang yang berkomunikasi antara satu sama lain. Interaksi ini boleh berlaku sama ada secara bersemuka, iaitu perbualan, interaksi secara tidak ketara, iaitu antara pembaca dengan penulis. Ringkasnya, di dalam interaksi yang seperti ini perlu ada sikap sopan santun, tidak kira dalam situasi yang mana pun, dan tidak ada adanya perbezaan taraf antara kedua-dua belah pihak yang terlibat.

    Penggunaan bahasa dalam kehidupan sehari-hari mempunyai tujuan tertentu. Terdapat pelbagai cara untuk mencapai tujuan itu, ada cara yang kasar dan menekan perasaan da nada juga cara yang halus dan sopan yang kesannya pasti akan tercapai. Peraturan untuk mencapai tujuan secara sopan, tetapi berkesan itu digelar sebagai peraturan pragmatik. Peraturan ini selalu dilupakan oleh penutur, terutama dalam kalangan mereka yang beranggapan bahawa peraturan nahu itulah satu-satunya peraturan yang perlu dipatuhi untuk mewujudkan penggunaan bahasa yang baik.

Asmah Haji Omar (2002), Setia dan Santun Bahasa. Penerbit UPSI : Tanjong Malim,
Perak.

Friday, 20 April 2012

Fungsi-fungsi bahasa

 Dalam sosiolinguistik, konsep bahawa bahasa adalah alat atau fungsi untuk menyampaikan fikiran dianggap terlalu sempit, kerana seperti yang dikemukakan oleh Fishman (1972) bahawa menjadi persoalan sosiolinguistik adalah ‘Who speak, What language, When and to What end’. Oleh itu, fungsi-fungsi bahasa itu dapat dilihar dari sudut penutur, pendengar, topik, kode dan amanat perbicaraan.

    Dilihat dari sudut penutur, bahasa itu berfungsi personal atau peribadi (Lihat Halliday 1973, Finnocchiaro 1974; Jakobson 1960 menyebutnya fungsi emotif). Maksudnya, menyatakan sikap terhadap apa yang dituturkannya. Si penutur bukan hanya mengucapkan emosi lewat bahasa, tetapi juga memperlihatkan emosi itu ketika menyampaikan tuturannya. Dalam situasi ini, pihak si pendengar dapat menduga apakah si penutur sedih, marah, atau gembira.

    Dilihat dari segi pendengar atau pelawan cakap bicara, maka bahasa berfungsi direkstif atau langsung, iaitu mengatur tingkah laku pendengar (Finnocchiaro 1974). Di sini bahasa bahasa itu tidak hanya membuat si pendengar melakukan sesuatu, tetapi melakukan kegiatan yang sesuai dengan yang diperlukan si pembicara.Hal ini dapat dilakukan si penutur dengan menggunakan kalimat-kalimat yang menyatakan perintah, imbauan, permintaan, atau rayuan. Misalnya :

Harap tenang. Ada ujian
Sebaiknya anda menelefon dahulu.

   Bila dilihat dari segi topic ujaran, maka bahasa itu berfungsi sebagai referensial (Finnocchiaro 1974). Di sini, bahasa itu berfungsi sebagai alat untuk membicarakan objek atau peristiwa yang ada di sekeliling penutur atau ada dalam budaya. Funsi referensial ini yang melahirkan fahaman tradisional bahawa bahasa itu adalah alat untuk menampaikan idea untuk menyatakan bagaimana pendapat si penutur tentang dunia di sekelilingnya.Contoh, ‘Gedung perpustakaan itu baru dibangunkan’ adalah contoh penggunaan bahasa yang berfungsi referensial.

    Kalau dilihat dari segi kode yang digunakan, maka bahasa itu berfungsi metalingual atau metalinguistik (Jakobson 1960), iaitu bahasa itu digunakan untuk membicarakan bahasa itu sendiri. Hal ini dapat dilihat dalam proses pembelajaran bahasa di mana kaedah-kaedah atau peraturan bahasa dijelaskan dengan bahasa. Dalam kamus monolingual, bahasa itu digunakan untuk menjelaskan erti bahasa itu sendiri.

   Kalau dari segi amanat (mesej) yang akan disampaikan makas bahasa itu berfungsi imaginatif (Halliday 1973). Sesungguhnya bahasa itu dapat digunakan untuk menyampaikan fikiran, gagasan, dan perasaan atau secara imaginasi (khayalan, rekaan) saja. Fungsi imaginatif ini biasanya berupa karya seni (puisi, cerita, dongeng, dan lelucon) yang digunakan untuk kesenangan penutur atau para pendengarnya.

   Sebagai perkenalan kepada sosiolinguistik kiranya fungsi-fungsi bahasa yang dibicarakan di atas sudah mencukupi untuk pemahaman lebih lanjut.

Thursday, 19 April 2012

Keistimewaan bahasa manusia


Mari kita lihat bagaimana kelebihan bahasa sebagai alat komunikasi manusia dibandingkan dengan alat-alat komunikasi haiwan. Perbincangan ini diambil daripada Akmajian 1979. Terdapat tiga tokoh pentign dalam membicarakan perkara ini, iaitu Hockett, Mc Neill, dan Chomsky.Hockett dan Mc Neill menyenaraikan beberapa ciri khusus yang membezakan sistem komunikasi bahasa dengan system komunikasi haiwan, iaitu :

1. Bahasa itu menggunakan jalur vocal auditif. Banyak haiwan termasuk cengkerik, katak, dan burung yang sistem komunikasinya dapat didengar. Namun, bukan semuanya merupakan bunyi vokal. Katak, burung, dan orang utan mempunyai jalur vokal auditif sama seperti yang dimiliki manusia. Tetapi, sistem komunikasinya itu tidak mempunyai  ciri yang dimiliki manusia.

2. Bahasa boleh bergerak ke semua arah, tetapi penerimanya terarah. Maksudnya, bunyi bahasa yang diucapkan dapat didengar di semua arah kerana suara atau bunyi bahasa itu merambat melalui udara, tetapi penerima atau pendengar dapat mengetahui dengan tepat dari mana arah bunyi bahasa itu datang.

3. Lambang bahasa yang berupa bunyi itu cepat hilang setelah diucapkan. Hal ini berbeza dengan tanda atau lambang lain seperti bekas tapak kaki haiwan, dan patung kepahlawanan yang dapat bertahan lama. Oleh itu, sejak dahulu lagi masyarakat berusaha melestarikan lambang bunyi bahasa di dalam bentuk tulisan. Pada zaman moden ini bunyi bahasa itu sudah dirakam dengan peralatan eletronik dan dapat didengar kembali.

4. Khalayak dalam komunikasi bahasa dapat saling berkomunikasi. Ertinya, seseorang pengirim lambang dan dapat juga menjadi penerima lambang itu. Dalam dunia haiwan, ada jenis cengkerik yang hanya jantannya yang dapat mengeluarkan bunyi, tetapi baik jantan atau betinanya boleh mendengar dan memahami.

5. Lambang bahasa itu dapat menjadi umpan balik yang lengkap. Maksudnya, pengirim lambang (penutur) dapat mendengar sendiri lambang bahasa itu. Padahal dalam beberapa macam komunikasi kinetic (gerakan), dan visual (penglihatan) seperti tarian lebah, si pengirim maklumat tidak dapat menilai bahagian-bahagian penting tariannya.

6. Bahasa sebagai alat komunikasi manusia dapat dipisahkan menjadi satu-satuan, iaitu kalimat, kata, morfem, dan fonem. Padahal alat komunikasi makhluk lain merupakan satu kesatuan yang tidak dapat dipisahkan.

7. Lambang-lambang bunyi dalam komunikasi bahasa adalah bermakna. Misalnya, kata kuda merujuk kepada binatang yang boleh ditunggangi. Kalimat Ali menendang bola mempunyai makna seseorang bernama Ali melakukan perbuatan atau tindakan menendang bola.

Wednesday, 18 April 2012

Variasi bahasa dari segi penutur


Variasi bahasa dari segi penutur terdiri daripada idiolek, dialek, kronolek, dan sosiolek. Variasi bahasa idiolek ialah variasi bahasa yang bersifat perseorangan. Menurut konsep idiolek setiap orang mempunyai variasi bahasanya masing-masing. Variasi bahasa idiolek berkaitan dengan warna suara, pilihan kata, gaya bahasa, susunan kalimat dan sebagainya. Namun, yang paling dominan warna suara, sehingga jika kita cukup akrab dengan seseorang hanya dengan mendengar suara bicaranya tanpa melihat orangnya, kita dapat mengenalinya. Jika ada 1000 orang penutur, misalnya aka nada 1000 idiolek denga cirinya masing-masing.

   Variasi bahasa kedua berdasarkan penuturnya ialah dialek, iaitu variasi bahasa dari kelompok penutur yang jumlahnya relative yang berada pada suatu tempat, wilayah, atau area tertentu.Kerana dialek ini didasarkan pada wilayah atau area tempat tinggal penutur, maka dialek ini lazim disebut dialek areal, dialek regional, atau dialek geografi. Contoh, dialek Perak, dialek Kedah, dan dialek Kelantan.

   Variasi bahasa ketiga berdasarkan penuturnya ialah kronolek atau dialek temporal, iaitu variasi bahasa yang digunakan oleh kelompok sosial pada masa tertentu.  Misalnya penggunaan bahasa Melayu pada zaman dahulu dengan zaman sekarang adalah berbeza dari segi lafaz, ejaan, morfologi, sintaksis, dan leksikon. Misalnya, bahasa Melayu dahulu menggunakan perkataan dukachita, dan sukachita. Bahasa Melayu zaman sekarang menggunakan perkataan dukacita, dan sukacita. Bahasa Melayu zaman dahulu tidak ada leksikon komputer, laptop, tetikus dan sebagainya.

   Variasi bahasa keempat berdasarkan penuturnya ialah sosiolek atau dialek sosial, iaitu variasi bahasa yang berkenaan dengan status, golongan, dan kelas sosial para penuturnya. Variasi bahasa ini berkaitan dengan masalah peribadi para penuturnya seperti usia, pendidikan, seks, pekerjaan, keadaan sosial ekonomi dan sebagainya. Misalnya, kita boleh melihat perbezaan variasi bahasa yang digunakan oleh kanak-kanak, para remaja, orang dewasa, dan orang tua. Penutur yang memperolehi pendidikan tinggi akan berbeza variasi bahasanya dengan mereka yang hanya berpendidikan rendah atau yang tidak berpendidikan.

Rujukan
Abdul Chaer & Leonie Agustina 1995, Sosiolinguistik Perkenalan Awal. Jakarta:PT Rineka Cipta.

Tuesday, 17 April 2012

Fungsi Bahasa Baku


Bahasa baku ialah salah satu daripada variasi bahasa yang diangkat dan disepakati ragam bahasa yang akan dijadikan kayu pengukur sebagai bahasa yang baik dan benar dalam komunikasi yang bersifat rasmi, baik secara lisan atau tulisan.

     Selain fungsi penggunaannya untuk situasi-situasi rasmi, ragam bahasa baku menurut  Gravin dan Mathiot (1956:785-787) juga mempunyai fungsi lain yang bersifat sosial politik, iaitu :

1. Fungsi pemersatu
2. Fungsi pemisah
3. Fungsi harga diri
4. Fungsi kerangka rujuk

Bahasa baku sebagai fungsi pemersatu
Bahasa baku sebagai fungsi pemersatu adalah kesanggupan bahasa baku untuk meghilangkan perbezaan variasi dalam masyarakat dan membuat terciptanya kesatuan dalam masyarakat tutur dalam bentuk minimal, memperkecil adanya perbedaan variasi dialektal dan menyatukan masyarakat tutur yang berbeza dialeknya. Misalnya, dialek Perak dan dialek Kelantan adalah berbeza dan kedua-dua dialek tersebut dapat disatukan dalam bahasa baku.

Bahasa baku sebagai fungsi pemisah
Bermaksud bahawa ragam bahasa baku itu dapat memisahkan atau membezakan penggunaan bahasa tersebut untuk situasi yang formal dan tidak formal. Para penutur perlu tahu menentukan bila dia harus menggunakan ragam yang baku dan ragam tidak baku. Pemisahan kedua-dua ragam bahasa tersebut tidak akan menimbulkan persoalan sosial selama ragam-ragam tersebut digunakan sesuai pada tempatnya. Misalnya, ragam tidak baku digunakan apabila seseorang penutur hendak berbicara dengan rakan-rakan, ibu bapa, dan sebagainya, manakala ragam baku digunakan apabila berbicara dengan orang yang tidak dikenali, dengan orang yang berpangkat tinggi, dan dengan orang lebih tua daripada penutur.

 Bahasa baku sebagai fungsi harga diri
Bermaksud pemakai ragam baku itu akan memiliki perasaan harga diri yang lebih tinggi daripada yang tidak dapat menggunakannya. Hal ini demikian kerana, ragam bahasa baku biasanya tidak dapat dipelajari daripada lingkungan keluarga atau linkungan sehari-hari. Ragam bahasa baku hanya dapat dicapai melalui pendidikan formal, yang tidak menguasai ragam baku tentu tidak dapat masuk ke dalam situasi-situasi formal, di mana ragam baku itu harus digunakan. Ragam bahasa baku juga merupakan lambang atau simbol suatu masyarakat tutur.

Bahasa baku sebagai fungsi kerangka rujuk
Bermaksud bahawa ragam bahasa baku itu akan dijadikan pengukur untuk norma pemakaian bahasa yang baik dan benar secara umum. Ini mungkin lebih kepada kesepakatan ramai (kovesional) dalam sesebuah masyarakat penutur. Misalnya, dalam bahasa Melayu ‘kerusi’ merujuk sesuatu yang dibina daripada kayu dan mempunyai empat kaki. Dalam bahasa Inggeris, ‘kerusi’ dipanggil ‘chair’.

Kesimpulan
Bahasa baku ialah salah satu daripada variasi bahasa yang diangkat dan disepakati ragam bahasa yang akan dijadikan kayu pengukur sebagai bahasa yang baik dan benar dalam komunikasi yang bersifat rasmi, baik secara lisan atau tulisan.
            Keempat-empat fungsi bahasa baku itu di atas dapat dialakukan oleh sebuah ragam baku, jika ragam bahasa baku itu telah memiliki tiga ciri yang amat penting, iaitu memiliki ciri kemantapan yang dinamik, memiliki ciri cendekiawan, dan memiliki ciri rasional. Ketiga-tiga ciri ini perlu digunakan apabila kita melakukan kegiatan prencanaan bahasa.

Rujukan
Abdul Chaer & Leonie Agustina 1995, Sosiolinguistik Perkenalan Awal. Jakarta:PT Rineka Cipta.

Monday, 16 April 2012

Etika berbahasa


Sistem tingkah laku berbahasa menurut norma-norma budaya ini disebut etika berbahasa atau tatacara berbahasa (Inggeris : Linguistic etiquette, Geertz 1976). Etika berbahasa ini berkaitan rapat dengan pemilihan kode berbahasa, norma-norma sosial, dan system budaya yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, etika berbahasa ini antara lain akan “mengatur” :

a) Apa yang harus kita katakan pada waktu dan keadaan tertentu kepada seseorang penutur lain berkenaan dengan status sosial dan budaya dalam masyarakat itu. Misalnya, kita biasa menggunakan perkataan saya, encik, puan, Dr., prof, Dato’/Datuk, dan sebagainya apabila kita bertemu dengan orang yang lebih tinggi status sosial daripada kita. Contoh ayat :

i) Puan, saya hendak bertanya tentang program yang akan berlangsung esok.
ii) Yang Berhormat, Datuk Hakim bin Osman, tetamu kita pada hari ini.

b) Ragam bahasa apa yang paling wajar kita gunakan dalam situasi sosiolinguistik dan budaya tertentu. Terdapat pelbagai ragam bahasa yang kita bercakap setiap hari, iaitu sesame rakan, ibu bapa, guru, dan masyarakat sekeliling. Dalam setiap situasi tersebut, kita menggunakan ragam bahasa yang berlainan. Contoh ayat :

i) Bodoh betul la hang ni, kerja cam tu pon tak boleh buat.
ii) Emak, saya balik lewat hari ini, ada kelas tambahan kat sekolah.
ii) Cikgu saya tak hadir ke sekolah semalam.
c) Bila dan bagaimana kita menggunakan giliran berbicara kita, dan menyampuk perbicaraan orang lain. Kita harus berbicara mengikut giliran dan tidak menguasai sepenuhnya perbicaraan tersebut, bagi juga ruang kepada rakan-rakan lain untuk memberi pandangan dan kritikan. Kita akan menyampuk perbicaraan apabila diberi peluang daripada rakan-rakan yang lain.

d) Bila kita harus diam berbicara. Kita harus diam berbicara apabila berlaku konflik yang merumitkan seperti kematian, upacara keagamaan, kemalangan, dan sebagainya. Dalam situasi ini kita tidak digalakkan berbicara dengan lantang bagi menjaga dan menghormati seseorang yang terbabit di dalam masalah tersebut.

e) Bagaimana kualiti suara dan sikap fizik kita dalam berbicara itu. Apabila kita bercakap sesama rakan kita biasa menggunakan nada suara yang tinggi dan beremosi. Apabila kita berbicara dengan orang yang lebih tua daripada kita, intonasi suara lebih lembut dan bersopan.

            Seseorang akan disebut bijak berbahasa apabila dia menguasai tatacara atau etika berbahasa itu. Kajian mengenai etika berbahasa ini biasanya dikenali etnografi berbahasa. Dalam kajian anttropologi istilah etnografi digunakan untuk pemerian budaya. Dalam hal ini, memang tidak bertentangan, sebab etika berbahasa itu juga merupakan subsistem kebudayaan.

Rujukan
Abdul Chaer & Leonie Agustina 1995, Sosiolinguistik Perkenalan Awal. Jakarta:PT Rineka Cipta.

Friday, 6 April 2012

Fungsi bahasa yang berbeza-beza


Berdasarkan situasi di bawah :
Situasi : Seorang kanak-kanak lelaki pulang ke rumah mencari abangnya, berlari-lari dan kelihatan sangat riang.

Adik : Bang Man, Bang Man, pasukan kita menang! Pasukan kita menang!
Abang : Yakah, Berapa gol?
Adik : Tiga berbalas satu. Satu gol Mus yang masukkan.
Abang : Bagus, Mus. Mari kita beritahu ayah. Tentu dia gembira.
    Penggunaan bahasa di atas untuk menyatakan perasaan, dan dalam hal ini adalah perasaan kegembiraan. Melalui kata-kata dengan disertai intonasi suara tertentu, pelbagai perasaan dapat disampaikan : Perasaan sedih, marah, kecewa, dan berbagai-bagai lagi. Melalui bahasa dengan susunan tertentunya, kita, pengguna-pengguna bahasa dapat melahirkan apa yang tersemat dalam sanubari, menyampaikan perasaan-perasaan tertentu untuk tujuan-tujuan tertentu. Cuba perhatikan perasaan yang ditimbulkan dalam ayat-ayat di bawah :

(Memuja)      : Oh, cantik sungguh alam ciptaan Tuhan!
(Hairan)        : Dia bersalah dalam kemalangan itu?
(marah)         : Pergi dari sini!
(Mengejek )  :  Untunglah! Dapat kereta baharu.

    Dalam contoh ketiga di atas, kita dapat melihat satu lagi aspek penggunaan bahasa, iaitu penggunaan bahasa sebagai alat untuk menyampaikan buah fikiran yang lebih tinggi, buah fikiran yang abstrak, dan bersifat kreatif.